Saturday 22 January 2011

A135322 TAN YAN CHENG – TAJUK 4 PEMBELAJARAN EMOSI NEGATIF

Minggu ini adalah minggu keempat saya mencatat catatan pembelajaran.Minggu ini kuliah berjalan seperti biasa. Tajuk pembelajaran pada minggu ini ialah emosi negatif . Emosi negatif  termasuklah takut,malu,sedih dan marah.

Takut ialah tindak balas emosi terhadap situasi bahaya,berkaitan dengan emosi bimbang. Emosi takut akan diwujud secara tidak disedari dan tidak dapat diukur. Takut juga adalah mekanisma untuk kelangsungan hidup dan berlaku bila ada situasi negatif. Terdapat beberapa sebab-sebab yang menyebabkan ketakutan. Antaranya termasuklah:kejadian yang memberikan kesan trauma,contohnya ialah  jatuh dalam perigi menyebabkan seseorang    mengalami claustrophobia ( takut kepada ruang tertutup) atau hydrophobia (takut pada air). Kesan trauma akan memberikan kesan negatif  terhadap kehidupan individu tersebut dan menyebabkan dia sukar melupakan kejadian tersebut.Perkara atau konsep yang abstrak seperti takut hilang pengaruh ,takutkan kritikan,takut diejek oleh masyarakat dan sebagainya.Hilang keyakinan untuk menghadapi situasi yang bakal berlaku seperti menghadapi kuiz, peperiksaan , pertandingan,persembahan dan lain-lain. Menghadapi situasi yang membahayakan dan mengancam keselamatan diri seperti diugut. Terdapat beberapa ekspresi muka apabila seseorang mengalami emosi takut iaitu mata terbuka luas (menjangka apa yang bakal berlaku), anak mata berkedip, bibir atas naik , kening ke dalam dan bibir dipanjangkan. Terdapat beberapa tahap-tahap emosi. Contohnya ialah tikus lari apabila ditangkap dan berlawan dengan agresif. Manusia senang terpengaruh oleh rasa takut telah menyebabkan mereka menuruti kehendak orang lain tanpa terfikir tentang keselamatan diri. Takut juga akan menyebabkan seseorang menjadi ganas dan mengakibatkan kematian. Ini adalah reaksi instintif, bukannya yang dirancang secara sedar. Bulu roma seseorang juga akan dipanjangkan apabila takut.

Malu akan dirasai apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Biasanya emosi malu akan melibatkan air muka atau maruah bergantung kepada situasi yang dialami. Namun, perasaan malu ini hanya akan dirasai oleh sendiri dan tidak akan diketahui oleh orang lain. Emosi takut juga boleh disebabkan melakukan sesuatu yang secara sosialnya tidak diterima walaupun tidak salah di segi moral dan dosa di segi agama. Contohnya adalah silap memakai kasut ,memakai baju terbalik dan lain-lain.Perasaan malu dibahagikan kepada dua kategori iaitu personal dan professional. Malu yang bersifat personal berlaku apabila perhatian orang lain bertumpu kepada hal-hal peribadi seperti kesilapan diri kita dan sebagainya. kesilapan diri adalah seperti memakai seluar terbalik. Namun ,perasaan malu yang bersifat personal juga boleh berlaku disebabkan oleh tindakan kita seperti didapati berbohong,buat kesilapan dan sebagainya. Biasanya perasaan ini diikuti dengan tanda-tanda seperti tersipu-sipu,berpeluh, gementar,tergagap-gagap dan gelisah. Kadang-kala , individu yang malu itu cuba menyembunyikan rasa malu dengan berpura-pura senyum. Manakala, malu yang bersifat professional atau rasmi pula melibatkan urusan yang berkaitan dengan perkerjaan. Contoh adalah seperti kemudahan,perbelanjaan dan kehidupan nyawa dan sebagainya. Malu professional juga boleh dikaitkan dengan dasar kerjaya yang gagal, pendedahan salah guna kuasa,tindakan yang melanggar etika,selebriti yang menghadapi tindakan undang-undang dan sebagainya. Contohnya ialah artis-artis yang disyaki menghisap dadah dan terlibat dalam kes langgar lari.

Sedih merupakan perasaan yang paling menderita dan sukar diterima antara emosi-emosi negatif.  Perasaan sedih menggambarkan perasaan kerugian dan kehilangan. Jika serius akan membawa kemurungan kepada individu tersebut dan memerlukan rawatan intervensi daripada pakar berkaitan. Jika rawatan tidak diberikan dan kemurungan berterusan akan membawa kesan-kesan negatif kepada individu tersebut. Apabila sedih,seseorang itu akan menjadi pendiam,tidak bersemangat dan suka mengasingkan diri. Individu tersebut juga akan tiada keinginan untuk berjumpa dan bersosial dengan orang lain. Antara tanda-tanda kesedihan adalah muka tunduk,badan condong ke depan,bibir ke dalam,fizikal yang lemah dan pergerakan yang perlahan. Selain itu,orang yang sedih juga akan memproses maklumat dengan lebih perlahan dan kurang ketepatan berbanding dengan orang yang gembira. Orang yang sedih memerlukan sumber kognitif yang lebih untuk memproses maklumat dengan tepat berbanding dengan orang yang gembira. Orang yang sentiasa gembira mempunyai sifat penyayang dan senang bersosial dengan orang lain. Manakala ,orang yang sedih pula tiada bersemaya dan lemah untuk melakukan sesuatu. Antara sebab-sebab yang menyebabkan seseorang sedih adalah kehilangan orang tersayang, menghadapi tekanan yang membebankan,masalah kewangan,masalah keluarga,gagal dalam percintaan dan sebagainya. Individu yang sedih dan kemurungan memerlukan masa untuk memulihkan dan jangka masa bergantung kepada tahap kesedihan dan ketabahan seseorang. Yang terpenting ialah sokongan dari ahli keluarga adalah sangat membantu dan menggalakkan dalam proses memulihkan seseorang.

Akhir sekali ialah emosi marah.Marah adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan,perspepsi adanya penderitaan ,ketegangan atau ancaman. Marah boleh diekspresikan secara aktif atau pasif. Marah secara aktif boleh dikaitkan dengan serangan secara verbal atau fizikal. Marah secara aktif ini akan mengakibatkan pergaduhan. Manakala marah secara pasif pula tidak melibatkan serangan fizikal dan tidak menunjukkan secara terus-terang. Malah ,ia sering ditandai dengan merajuk,diam,perilaku pasif-agresif,permusuhan dan ketegangan. Terdapat beberapa sebab-sebab menyebabkan kemarahan dialami oleh seseorang. Antaranya termasuklah hasil daripada rasa simpati. Contohnya ialah marah jika orang lain dizalimi. Kemarahan bertambah apabila didapati bahawa tindakan yang menyebabkan kematian atau penderitaan adalah sengaja. Ini menyebabkan saya terfikir bahawa banyak kanak-kanak yang tidak berdosa dizalimi demi memuaskan nafsu dan atas sebab peperangan. Kanak – kanak selalunya dijadikan korbanan atas kegagalan orang dewasa. Emosi marah juga dihasilkan oleh amygdala iaitu kenal pasti ancaman dan bertindak balas dengan memulakan tindakan dalam badan. Amygdala bertindak terlalu cepat dan mengakibatkan beberapa ekpresi muka berlaku. Apabila seseorang marah, kadar denyutan jantung bertambah,kadar tekanan darah meningkat , tahap pernafasan juga meningkat dan muka menjadi kemerahan. Kemarahan selalunya disebabkan tindakan-tindakan yang menyebabkan kita sakit hati. Contohnya ialah hati dilukai apabila orang lain bercakap kasar dan tidak bersopan dengan kita. Kemarahan sukar dikawal dalam masa yang singkat dan memerlukan masa untuk mencapai ketenangan. Apabila menghadapi situasi yang menyebabkan kemarahan,langkah-langkah berikut boleh dijadikan panduan. Iaitu mengakui hakikat bahawa kita berada dalam keadaan marah,menilai samada situasi ini sesuai untuk kita meluahkan kemarahan atau tidak,Sekiranya anda rasa sesuai untuk meluahkan kemarahan tersebut, nilaikan adakah anda perlu menggunakan pendekatan secara langsung atau tidak langsung. Namun,langkah terbaik untuk menghilangkan kemarahan seseorang ialah pengampunan.   Mengampunkan seseorang bukan sesuatu yang mudah tetapi merupakan sesuatu tindakan yang mulia.

 

Banyak manfaat dan kaedah telah saya mempelajari hasil daripada kuliah minggu ini. Kuliah ini mengajar saya macam mana menguruskan emosi-emosi negatif saya terutamanya ialah emosi marah dan sedih.Kebanyakan orang akan hilang panduan dan arah apabila menghadapi kedua-dua emosi ini. Malah bertindak secara melulu dan tidak logik. Padahal emosi-emosi ini pula tidak dapat dielakkan oleh sesiapa sahaja. Oleh itu,laangkah terbaik untuk menghadapi emosi-emosi ini adalah menanganinya dengan tenang.

A130117 Normashitah Tajuk 4 Emosi Negatif

Salam muhibbah buat semua…


 Minggu ini iaitu pada 18 Januari lepas kami telah mempelajari tajuk emosi negatif. Secara fitrahnya emosi atau perasaan telah dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia tidak kira jantina, pangkat, umur dan darjat seseorang itu. Emosi negatif yang kami telah pelajari adalah takut, malu, sedih dan marah. Walaupun kalau di teliti banyak lagi emosi negatif yang ada pada diri seseorang itu, namun jika disentuh semuanya pastinya tidak sempat habis la pembelajaran pada sem ini. Hakikatnya setiap manusia tidak akan pernah lari dari perasaan negatif walaupun dia seorang yang berkedudukan.


Seperti mana yang kita maklum, emosi adalah naluri yang telah diprogramkan oleh Yang Maha Pencipta buat hambaNya. Ini kerana dengan perasaan ini akan membantu mempermudahkan manusia dalam kehidupan di dunia ini. Seperti mana perasaan takut, manusia akan berada dalam keadaan yang selamat sekiranya dia berada dalam keadaan yang terancam. Takut itu adalah tindak balas yang berlaku akibat kebimbangan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi. Dengan perasaan ini juga manusia akan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu tindakan. Bayangkan sekiranya kita berjalan keseorangan dan secara tiba-tiba muncul anjing liar yang sedang berkeliaran di kawasan yang tidak jauh dari tempat kita. Pastinya kita merasa takut pada waktu itu dan tindakan yang akan menyusul adalah menjauhkan diri daripada anjing tersebut. Begitulah perasaan takut yang telah diprogramkan pada manusia yang fungsinya sebagai pelindung diri.


Seperti mana yang telah di pelajari, perasaan takut itu terdiri daripada pelbagai bentuk dan peringkat. Ada orang takut pada tempat tinggi, ada orang takut pada air, ada orang takut tinggal keseorangan dan pelbagai lagi perasaan takut pada setiap individu. Teringat pula pada kuliah lepas Dr. Ahmad Zamri telah mempamerkan gambar yang menyeramkan. Memang pada masa itu saya tidak merasa apa-apa, namun setelah pulang ke kolej hati saya tidak aman dan merasa takut walaupun duduk di bilik sendiri. Hendak ke bilik air pun teragak-agak. Tambahan pula baru-baru ini penghuni kolej telah dikejutkan dengan tragedi hysteria malah kejadian-kejadian di kolej sebelum ini pun telah membuatkan diri ini berasa takut tinggal keseorangan. Namun hidup mesti diteruskan, semangat perlu di kuatkan agar tidak tersasar dari landasan yang benar.


Saya ada terbaca satu artikel yang mengatakan rasa takut itu muncul dari ketegangan mental. Ketakutan yang berlebihan juga katanya mempengaruhi ginjal dan limpa. Ini kerana terdapat satu kes dimana sebuah keluarga telah 'terkucil' akibat ketakutan semasa ditawan oleh perompak yang memecah masuk rumah mereka. ini bererti ketakutan membuat fungsi ginjal menjadi tidak terkawal dan akhirnya secara tidak sengaja air kencingnya terkeluar. Erm, agak menarik juga ya…


Beralih pula dengan perasaan negatif seterusnya iaitu malu. Didalam Islam malu itu terletak pada ranking yang tertinggi yang mempunyai pengertian yang besar kerana sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat malunya adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman berjalan seiringan. Begitulah martabat sifat malu di sisi Islam sehinggakan terdapat sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwah yang pertama ialah: "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka".

Namun emosi malu yang diketengahkan pada kuliah lepas adalah sesuatu perkara yang tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Contohnya seperti seorang pekerja pergi ke tempat kerja dengan mengenakan butang baju yang senget seperti Pak Uda dalam sitkom Pi Mai Tang Tu yang pernah disiarkan di tv3. Dari segi moral tidak ada salahnya kerana jelas-jelas telah menutup aurat dengan sempurna namun dari segi etika berpakaian ke tempat kerja dia telah memalukan dirinya sendiri kerana berpakaian dalam keadaan luar biasa dan tidak boleh diterima oleh masyarakat sekelilingnya.


Ekspresi malu juga pelbagai jenis kerana ia terpulang kepada seseorang individu menzahirkannya. Kerana kategori malu ada dua jenis iaitu personal dan professional. Ada orang menunjukkan dia malu dengan tersipu-sipu. Kebiasaannya tersipu-sipu ni apabila seorang perempuan dilamar oleh jejaka idaman. Mana tidaknya, hatinya pasti berbung-bunga kerana dia tidak bertepuk sebelah tangan! Bak kata orang dulu la…selain itu ekspresi yang dapat dilihat akibat malu adalah dengan gementar, gagap dalam pertuturan, gelisah atau tidak senang duduk dibuatnya dan yang ini bagi saya professional iaitu berpura-pura senyum atau ketawa. Ada juga manusia yang malu tidak bertempat.


Seringkali kita lihat di dada-dada akhbar dan kaca television kes-kes artis-artis tempatan yang seakan-akan menjadi trend dalam masyarakat artis pada hari ini. Kebiasaannya kes perceraian. wajah mereka bukannya tidak penah dilihat malah selalu sahaja terpampang di kaca television, namun apabila kes-kes tersebut berlaku maka mereka berselindung di sebalik kaca mata hitam. Itu menunjukkan mereka ada rasa malu atas apa yang terjadi.


Emosi seterusnya ialah sedih dan marah. Perasaan sedih menggambarkan seseorang itu merasa kerugian atau kehilangan. Jika perasaan sedih itu mencapai tahap serius ia akan membawa kepada kemurungan dan perlu mendapatkan nasihat dari pakar motivasi. Dengan emosi ini juga membolehkan seseorang itu berada di dalam kemurungan, tidak bersemangat dan akan menyebabkan seseorang itu suka mengasingkan diri daripada bertemu dengan orang lain serta tidak tumpu di dalam melakukan sesuatu. Berbeza dengan orang yang gembira, dia akan lebih melakukan sesuatu dengan lebih focus dan teliti kerana emosinya berada pada tahap yang stabil. Manakala marah pula adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan. Kadang-kadang perasaan ini juga menghasilkan rasa simpati dan juga sedih. Seperti mana yang berlaku pada saudara kita di Palestine. Kita merasa marah pada kuasa-kuasa besar yang tidak berkeperimanusiaan dan kita juga merasa sedih dan simpati melihat keadaan yang menimpa rakyat Palestin.


Baru-baru ini saya ada mendengar slot motivasi di salah sebuah radio yang disampaikan oleh seorang ustaz. Ustaz tersebut telah mengenengahkan kisah seorang bapa kepada seorang anak yang agak agresif tingkah lakunya. Pada suatu hari, bapa itu telah membeli sebuah kereta. "Bayangkan lah perasaan orang yang memiliki sesuatu yang baru, pastinya akan dibelek-belek kereta tersebut walaupun ia berada dalam pagar rumah sendiri!". Begitu lah gaya ustaz itu sampaikan. Seluruh ahli keluarga pun tumpang gembira melihat kereta baru tersebut, sampaikan bibik yang tengah menggoreng ikan di dapur pun keluar sama dek kerana mahu melihat kereta baru tuannya. Begitulah nak gambarkan betapa bahagianya keluarga tersebut menyambut kereta baru.


Hendak dijadikan cerita, pada keesokan harinya sebelum ayah kepada budak itu pergi ke pejabat, dia dengan rasa penuh bersemangat terus bertukar menjadi marah yang bersangatan. Mana tidaknya, kereta yang semalam baru dibeli cantik berkilat, namun pada pagi itu kereta tersebut telah calar balar dan tidak lagi seperti semalam. Anak nya pula seorang yang sangat suka melukis. Dengan tidak semena-mena ayah itu telah melakukan tindakan luar kawalan dengan mengetuk-ngetuk tangan anaknya sehingga berdarah-darah. Pensil warna yang dibelikan untuk anaknya, dibuangnya bersepah di sekitar halaman rumah. Walaupun telah dihalang oleh isteri dan pembantunya, dia tetap dengan tindakan luar kawalannya.


Pada pagi itu dia merasa sangat tertekan hanya kerana tidak dapat membawa kereta barunya ke pejabat untuk di perkenalkan kepada rakan-rakan sepejabat. Setelah itu bapa terebut mengarahkan kepada pembantu rumahnya agar jangan diikut kehendak anaknya supaya dapat diberi pengajaran atas tindakan anak itu tadi. Setelah sesampainya dia di pejabat dia telah menerima satu panggilan yang mengatakan pihak hospital memerlukan tanda tangannya untuk menjalankan pembedahan segera terhadap anaknya. Dia yang terkejut dengan berita itu segera bergegas ke hospital. Rupa-rupanya tangan anaknya yang luka tadi telah masuk kuman dan perlu di buang dengan segera agar tidak merebak keseluruh badan. Betapa menyesalnya bapa tadi atas perbuatan yang telah dilakukan tanpa berfikir dahulu sebelum bertindak. Anak kecil itu menangis memohon ampun kepada ayahnya dan meminta di pulangkan semula pensil colour beserta tangan nya yang telah hilang. Ayah tersebut merasa sangat bersalah terhadap anaknya dan mustahil baginya memulangkan semula tangan anaknya yang hilang itu. Begitulah kisah hanya sebuah kereta baru segalanya berlaku sekelip mata.


Sewaktu saya mendengarkan kisah ini hati saya merasa sedih. Tergamak seorang bapa melakukan hal tersebut pada seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Begitu jugalah seperti peristiwa-peristiwa di sekeliling kita hari ini yang kita dengar dan kita tonton dikaca televisison. Teringat pula Dr. Ahmad Zamri mengatakan kemarahan juga menggambarkan kekuatan atau kekuasaan seperti mana pengetua di sekolah-sekolah. Oleh itu marilah kita renungkan Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Bukanlah orang yang kuat itu seorang yang pandai bergusti, akan tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya daripada marah".              

[Muttafaqun 'alayh]


Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud:


"Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk jika masih tidak hilang kemarahan hendaklah dia berbaring secara mengiring"

[Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud]


Sekian dari saya, semoga coretan ini bermanfaat buat kita semua…selamat beramal :)

 

 


A128145 Rohaida binti Abdul Latiff Tajuk 4 Emosi Negatif

Salam seindah kata pembuka bicara. Pada coretan kali ini saya ingin berkongsi mengenai sesi pembelajaran yang telah saya belajar pada kuliah minggu ini yang mana saya telah mempelajari mengenai emosi negatif. Agak sedih sedikit kerana saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kuliah minggu ini akibat kesihatan diri yang kurang mengizinkan. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk saya tidak memahami apa yang dipelajari pada minggu ini. Saya dapat memahami mengenai emosi negatif dengan baik setelah merujuk nota kuliah.

 

Emosi negatif merangkumi sifat takut, malu, sedih dan marah. Takut merupakan tindak balas emosi terhadap situasi budaya yang berkaitan dengan emosi bimbang. Kebiasaannya, seseorang itu menjadi takut kerana kejadian yang memberikan kesan trauma kepadanya. Contohnya, jatuh ke dalam perigi, takut hilang pengaruh dan takutkan kritikan.

 

Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan yang mana peristiwa tersebut telah menyebabkan saya mengalami ketakutan dan trauma ialah ketika saya mengalami kemalangan sewaktu berumur 15 tahun. Kemalangan tersebut berlaku ketika hari pertama saya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila berakhirnya peperiksaan matapelajaran Pendidikan Agama Islam (PAI) pada pukul 4.30 petang, saya bergegas untuk pulang ke rumah. Semasa hendak melintas jalan, kereta Wira telah melanggar saya dari arah yang bertentangan. Saya tidak dapat mengawal motosikal yang saya naiki lalu bertembung dengan kereta tersebut dan menyebabkan saya tercampak ke jalan raya lalu tidak sedarkan diri. Saya berada di hospital sebaik sahaja tersedar dan mendapati bahawa kepala saya telah dijahit sebanyak 4 jahitan dan terdapat luka-luka kecil di badan. Saya juga terpaksa menghadapi peperiksaan PMR di hospital akibat keadaan kesihatan yang tidak baik. Semenjak kejadian tersebut, saya berasa takut untuk menunggang motosikal. Akan tetapi, dengan semangat dan sokongan yang diberikan oleh keluarga, saya dapat mengatasi perasaan takut atau trauma tersebut dan kini saya lebih berhati-hati apabila menunggang motosikal.

 

Kemudian, sifat malu pula dirasai apabila melakukan sesuatu yang  tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Sifat malu juga melibatkan air muka seseorang bergantung kepada sesuatu yang dialami. Terdapat dua kategori malu iaitu:

 

Personal : malu apabila perhatian orang lain bertumpu kepada kita kerana kesalahan yang dilakukan, kalah dalam pertandingan atau melakukan pembohongan terhadap orang lain.

 

Professional : ianya melibatkan urusan pekerjaan seperti dasar kerajaan yang gagal dan   pendedahan salah guna kuasa.

 

Teringat kisah sewaktu saya berumur belasan tahun di mana pada waktu itu saya pergi ke pusat membeli belah bersama rakan-rakan. Semasa sedang khusyuk memilih baju, saya terdengar ada seorang makcik yang memanggil nama saya lalu saya menyahut panggilan tersebut dengan kuat. "Iya saya..ada yang boleh saya bantu ke makcik?", makcik tersebut seakan-akan pelik dengan tingkahlaku saya. Rupa-rupanya makcik itu memanggil anak dia yang sama namanya dengan saya. Malunya saya! Merah padam muka saya dibuatnya ketika itu.

 

Kemudian, emosi sedih menggambarkan suatu perasaan kerugian atau kehilangan seseorang individu di mana sifat sedih ini boleh mengakibatkan seseorang itu menghadapi kemurungan, pendiam, tidak mempunyai semangat dalam melakukan sesuatu perbuatan, dan tiada keinginan untuk berhadapan dengan orang ramai. Kebiasaannya, orang yang sedih akan menunjukkan ekspresi muka seperti menundukkan muka, bibir akan ke dalam dan fizikal yang lemah dan pergerakan yang perlahan.

 

Sebuah kisah yang dapat saya kongsikan di sini adalah mengenai kisah jiran saya yang saya gelarkannya sebagai Cik Zie. Cik Zie merupakan seorang jiran yang prihatin, mudah beramah mesra dengan orang lain dan seorang yang periang. Dia sudah berumah tangga hampir 29 tahun dan memperolehi 6 orang puteri. Keluarga mereka hidup dengan gembira dan bahagia sehinggalah Cik Zie dan keluarga telah diuji oleh Allah iaitu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan yang dihadapi oleh Cik Zie dan anak-anak. Sejak itu, kehidupan keluarganya mula berubah. Cik Zie mula mengasingkan dirinya akibat malu dengan jiran tetangga bahkan menjadi seorang yang pendiam, sentiasa sedih dan menangis. Suaminya pula mula kurang mengambil berat tentang Cik Zie dan anak-anak. Setiap hari Cik Zie mengadu dengan ibu saya dan meminta nasihat serta semangat untuk dia meneruskan sisa-sisa hidup di muka bumi ini. Setahun lamanya untuk Cik Zie kembali mendapatkan semangat dan redha dengan takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya. Setiap hari dia memohon agar keluarganya kembali bahagia seperti dahulu dan berkat kesabarannya, suaminya pulang ke pangkuan Cik Zie dan semoga mereka sentiasa bahagia sehingga akhir hayat.

 

Emosi marah pula merupakan suatu tindak balas emosi yang mana jika marah itu terus dibiarkan akan memberikan kesan buruk pada diri terutama pada tindakan. Tindak balas agresif pasti akan mencetuskan suasana yang lebih tegang jika tiada usaha untuk meredakan kemarahan tersebut.  Marah boleh diumpamakan sebagai api yang sedang marak. Oleh itu, jangan sekali-kali kita cuba mencurahkan minyak kerana pasti kemarahan akan menyebabkan konflik yang lebih teruk dan sukar dikawal. Oleh kerana itulah ketika mana sahabat Rasulullah datang meminta nasihat daripada baginda, Rasulullah berpesan "Jangan kamu marah! Jangan  kamu marah! Jangan kamu marah!". Tiga kali baginda mengulangi nasihat yang sama kepada sahabat. Ia menunjukkan bahawa kemarahan yang melampaui batas juga bahayanya amat besar.  Sebagai contoh, perceraian dalam perkahwinan juga boleh berlaku hanya disebabkan hati yang marah dan tidak dapat dikawal.

 

Akhirnya, emosi merupakan  suatu yang mendatangkan padah jika tidak tahu cara untuk mengatasinya. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bertenang dan mampu untuk tidak beremosi negatif. Kita mampu mencantas emosi negatif setiap kali ia cuba bertandang dalam minda lalu kita mampu memiliki kekuatan dalaman yang tinggi untuk kekal tenang.

 

Wassalam.

 

 


A134166 NOORHASNIYAH MD RODZEE TAJUK 4 EMOSI NEGATIF

Syukur alhmdulillah pada minggu ini merupakan penulisan jurnal saya yang keempat. Sekejap sahaja masa berlalu. Tajuk kuliah pada minggu ini berlawanan dengan tajuk kuliah pada minggu lepas. Tajuk kuliah pada minggu ini iaitu bersamaan dengan 18 Januari 2011, adalah "EMOSI NEGATIF". Emosi negatif ini selalunya dikaitkan dengan perasaan takut, malu, sedih dan marah. Saya yakin semestinya setiap orang pernah merasai emosi-emosi negatif seperti ini dalam hidup mereka.

Emosi negatif pertama yang diajar oleh Dr. Zamri ialah emosi takut. Takut ini merupakan tindak balas emosi terhadap situasi bahaya, berkaitan dengan emosi bimbang. Takut juga adalah mekanisma untuk kelangsungan hidup dan biasanya berlaku apabila mempunyai tindak balas yang spesifik. Manusia senang terpengaruh oleh rasa takut menyebabkan mereka menuruti kehendak orang lain tanpa memikirkan tentang keselamatan diri. Antara sebab-sebab yang menyebabkan takut ini adalah kejadian yang memberikan kesan trauma. Contohnya pada masa kini kita boleh lihat ramai kanak-kanak yang mudah menjadi takut selepas mereka menonton cerita yang berunsurkan seram. Tidak dinafikan saya juga boleh dikategorikan dalam golongan seperti mereka kerana saya sendiri menjadi takut selepas menonton cerita-cerita seram. Ternyata emosi takut pasti menguasai diri sendiri. Kebiasaannya, kita sendiri boleh melihat ekspresi muka seseorang apabila takut seperti mata terbuka luas, anak mata berkedip, bibir dipanjangkan, bibir atas naik, dan kelihatan kening ke dalam.

Mengimbau kembali pengalaman "takut" yang pernah terjadi dalam hidup saya memang amat menakutkan bagi saya. Sehingga sekarang masih lagi teringat peristiwa tersebut. Peristiwa ini berlaku ketika saya berumur 15 tahun. Dulu saya memang amat gemar berjaga malam sehingga hampir ke pukul 4.00 pagi. Kadang-kadang saya berjaga untuk belajar dan kadang-kadang kerana tidak dapat tidur. Pada suatu malam, saya membuat "homework" pada pukul 3.00 pagi. Pada ketika itu, tingkap di dalam bilik saya terbuka kerana kebiasaannya saya akan membuka tingkap bagi mendapat udara yang sejuk dari luar. Secara tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Sepantas kilat saya berlari menuju ke tingkap. Ketika hendak menutup tingkap,tiba-tiba saya terpandang kelibat yang kelihatan seperti seolah-olah manusia yang berpakaian berwarna putih dan berambut panjang. Memang amat menakutkan! Dalam fikiran saya pada ketika itu hanya satu perkataan iaitu "HANTU". Dengan pantasnya saya menutup tingkap dan menarik tirai. Sejurus itu saya terus berlari ke katil, lantas menutup muka dengan selimut dan terus membaca semua ayat-ayat al-quran yang saya ingat pada saat itu. Nasib saya baik kerana pada malam itu saya tidak diganggu atau bermimpi benda-benda pelik. Sememangnya peristiwa ini memang amat menakutkan bagi saya.

Emosi negatif yang kedua ialah malu. Malu boleh didefinisikan sebagai perasaan apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Ia biasanya melibatkan air muka atau maruah yang bergantung kepada situasi yang dialami. Perasaan malu terbahagi kepada dua iaitu malu professional   dan malu personal. Malu professional ini melibatkan urusan yang berkaitan dengan pekerjaan. Contohnya seorang guru ditangkap kerana mencuri harta benda sekolah. Kejadian ini boleh menyebabkan masyarakat memandang serong kepadanya dan turut menjatuhkan maruahnya juga. Malu personal pula bermaksud malu apabila perhatian orang lain bertumpu kepada hal-hal peribadi seperti kesilapan diri sendiri. Contohnya seperti memakai baju terkalih, memakai kasut yang berlainan pasangannya, jatuh tangga dan sebagainya. Apabila seseorang mengalami malu personal, ia akan diikuti dengan tanda-tanda seperti tersipu-sipu, berpeluh dan gementar.

Selain itu, emosi negatif yang ketiga ialah sedih. Sedih ini mengambarkan perasaan kerugian dan kehilangan. Kebiasaannya kita sendiri boleh meramal seseorang itu tengah bersedih. Contohnya, seseorang itu akan menjadi pendiam, tidak bersemangat, dan suka mengasingkan diri. Bercerita mengenai sedih, secara tiba-tiba saya teringat kesedihan yang dialami oleh ahli keluarga kawan iaitu yang bernama Nur Syahirah. Kami memang agak rapat sejak dibangku sekolah lagi. Selepas SPM, dia mendapat tawaran ke Institut Perguruan di Pulau Pinang manakala saya pula meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi di Perak. Baru-baru ini saya ada mendapat satu mesej yang agak panjang yang menyatakan "Syahirah mengalami kemalangan pada petang semalam bersama ayahnya ketika dalam perjalanan pulang ke Institut Perguruan. Mereka menaiki motosikal. Motosikal mereka dilanggar oleh sebuah lori. Ayahnya meninggal ditempat kejadian manakala Syahirah sekarang terlantar di wad ICU. Keadaannya agak kritikal. Terdapat darah beku dalam kepalanya, kaki kanannya patah, kedua-dua buah pinggangnya rosak dan tulang pinggulnya patah..harap doa kalian berterusan agar Tuhan memberi dia kekuatan dan sembuh seperti sedia kala..". Saya rasa hilang semangat sejurus membaca mesej yang dihantar daripada rakan saya itu. Pada cuti hujung minggu, saya pulang ke kampung dan pergi melihat keadaannya. Saya tidak dapat menahan air mata ini apabila melihat keadaannya. Ibunya hanya mampu menangis. Syahirah merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya semuanya masih kecil. Ibunya pula tidak bekerja. Saya amat sedih melihat kekuatan ibunya menghadapi saat-saat sebegini. Semoga disebalik kejadian terselindung seribu hikmah yang tersembunyi. Buat sahabatku Syahirah kuatknlah dirimu, dan bangunlah dari lenamu yang panjang,doa ku panjatkan semoga dipermudahkn proses penyembuhnmu dan kembali seperti sedia kala..tabahlah Syahirah…

Emosi negatif terakhir ialah marah. Emosi marah ini adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan, persepsi adanya penderitaan atau ketegangan ataupun ancaman. Ekspresi marah boleh ditunjukkan secara aktif dan pasif. Bagi secara aktif ,emosi marah ini dilakukan secara verbal ataupun fizikal seperti bergaduh, bertumbuk dan sebagainya manakala bagi secara pasif pula ,emosi marah ini dapat ditunjukkan melalui riak muka yang garang ataupun perwatakannya berubah menjadi pendiam. Emosi marah juga boleh dialami hasil daripada rasa simpati. Tanda-tanda marah yang pasif ialah merajuk diam, perilaku pasif tapi dalam keadaan agresif, permusuhan dan ketegangan. Tanda-tanda marah yang aktif ialah dengan menggunakan perlakuan atau luahan perkataan yang kasar kepada target ( orang yang dimarahi).

Kesimpulannya, emosi-emosi negatif seperti marah, sedih, malu dan takut memang pernah dirasai dalam hidup setiap orang. Oleh itu, gembira adalah salah satu cara untuk mengembalikan semula perasaan yang normal pada setiap orang itu. Setakat ini sahaja dulu coretan saya, semoga bertemu lagi pada kuliah yang akan datang. InsyaAllah…J


Friday 21 January 2011

A133718 Izzati Liyana bt Mohd Rahim Tajuk 4 Emosi Negatif

Assalamualaikum ,

Pelbagai emosi atau perasaan telah dikurniakan daripada Allah S.W.T kepada setiap manusia di dunia ini .Remaja sebagai manusia biasa juga tidak terkecuali daripada merasai emosi-emosi tersebut .Emosi negatif adalah salah satu emosi yang turut dirasai bagi setiap manusia .Antara emosi-emosi negatif adalah seperti marah ,takut ,sedih ,dukacita ,tidak berharga dan sebagainya .Apa yang penting adalah mengenal pasti cara anda menunjukkan emosi yang negatif kerana emosi jenis ini selalu membawa kepada keburukan .Emosi negatif ini terbahagi kepada empat emosi utama iaitu takut ,malu ,sedih dan marah .

Bagi emosi yang pertama adalah emosi takut .Emosi ini merupakan tindak balas emosi terhadap situasi bahaya dan berkaitan emosi bimbang .Mekanisma untuk kelangsingan hidup berlaku apabila berlakunya situasi yang negatif .Sebagai contoh ,Zuhail yang sedang memburu dihutan .Tiba-tiba dia ternampak seekor singa yang sangat besar sedang berehat di bawah pokok yang rendang itu .Dia berasa sangat takut lalu dengan pergerakan yang senyap dan perlahan ,dia pun beredar meninggalkan kawasan singa tersebut .Terdapat dua sebab kenapa emosi takut ini boleh berlaku .Sebab takut yang pertama adalah apabila sesuatu kejadian ataupun peristiwa yang boleh memberi trauma kepada seseorang individu tersebut seperti takut kepada air ,takut kepada ketinggian dan sebagainya .Sebab takut yang kedua pula adalah berkaitan dengan konsep abstrak seperti takut kepada kritikan ,takut jika hilang pengaruh didalam sesuatu keadaan dan sebagainya .Kebiasaan orang yang berasa takut ini ,akan mengekspresikan mukanya dengan mata yang terbuka luas ,anak mata berkedip ,bibir atas naik ,kening ke dalam serta bibir dipanjangkan .

Emosi malu adalah emosi negaif yang kedua .Emosi ini dapat dirasai apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima dahulu pekerjaan ataupun masyarakat yang akan melibat air muka atau maruah seseorang itu yang bergantung kepada situasi yang dialaminya sendiri .Emosi malu juga adalah sesuatu sosial yang tidak diterima walaupun tidak salah dari segi moralnya dan tindakan itu hanya diketahui oleh individu itu sendiri .Terdapat dua kategoi emosi malu ini .Kategori yang pertama adalah kategori personal iaitu melibatkan diri individu itu sendiri apabila segala tumpuan mahupun perhatian orang lain tertumpu kepada individu tersebut seperti tersalah memakai baju ,memakai selipar yang berlainan pasangannya dan sebagainya .Kategori yang kedua pula adalah kategori profesional yang boleh dilihat melalui urusan yang berkaitan pekerjaan mahupun kerjaya seseorang itu .Sebagai contoh ,seorang artis yang berasal dari luar negara telah melakukan kesalahan yang berat sehingga menyebabkan dia telah dihukum penjara dan terpaksa melakukan kerja-kerja amal di tempat-tempat kebajikan .Berita mengenainya telah tersebar luas di muka depan akhbar serta di semua rangkaian televisyen .Dia bagaimanapun terpaksa menanggung malu akibat perbuatanya itu .

Emosi negatif yang ketiga adalah emosi sedih .Emosi ini mengambarkan perasaan kerugian ataupun kehilangan .Apabila seseorang itu bersedih ,dia akann menjadi pendiam ,tidak bersemangat serta suka mengasingkan diri .Orang yang bersedih ,proses maklumatnya akan menjadi lebih perlahan dan kurang ketepatannya berbanding dengan orang yang gembira .Menurut Forgas ,1992 ,1994 ,beliau manyatakan bahawa sumber kognitif yang lebih diperlukan bagi seseorang yang sedang bersedih untuk mempercepatkan lagi proses maklumatnya .Terdapat beberapa kenyataan yang telah ditulis oleh La Tahzan mengenai emosi sedih ini dan antaranya adalah "Goreskan pada dinding hatimu bahawa hari ini adalah milikmu" .Apa yang dapat kita fahami daripada kenyataan ini adalah kita perlu jadikan sesuatu hari itu adalah hari yang positif dan bukanlah kepada hari yang negatif kerana kita yang menentukan sesuatu hari itu .Emosi sedih ini telah mengingatkan aku tentang kisah mak cik Zara yang telah kematian anak kesayangannya pada tahun yang lalu .Mak cik Zara hanya mempunyai seorang anak .Mak cik Zara sangat sedih diatas pemergian anaknya kesayangannya itu .Anaknya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya .Berita yang sangat mengejutkan itu telah menyebabkan mak cik Zara sakit ,terbaring di atas katil selama lebih kurang dua minggu .Sejak dari itu ,kehidupan makcik Zara menjadi terumbang-ambing dan tidak terurus .Aku sedih melihat keadaan mak cik Zara yang seakan-akan sudah putus harapan untuk hidup lagi .Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya telah pergi meninggalkannya .

Emosi yang terakhir pula adalah emosi marah .Emosi marah ini adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan ,persepsi adanya penderitaan atau ketegangan ataupun ancaman .Ekspresi marah boleh ditunjukkan secara aktif dan pasif .Bagi secara aktif ,emosi marah ini dilakukan secara verbal ataupun fizikal seperti bergaduh ,bertumbuk dan sebagainya manakala bagi secara pasif pula ,emosi marah ini dapat ditunjukkan melalui riak muka yang garang ataupun perwatakannya berubah menjadi pendiam .Emosi marah juga boleh dialami hasil daripada rasa simpati .Sebagai contoh ,Zahid yang marah kepada Zaki,samseng kampung dusun itu kerana telah menyeksa kucing itu sehingga menyebabkan kucing itu mati .Zahid simpati melihat keadaan kucing itu setelah diseksa dengan kejam sekali .

Kesimpulannya ,emosi negatif ini terdiri daripada empat emosi utama iaitu takut ,malu ,sedih dan marah .Walaubagaimanapun ,keempat-empat emosi negatif ini ,sering berlaku dalam kehidupan kita .Jadi ,kita mestilah pandai untuk mengatasi ataupun mengawal emosi negatif ini supaya kehidupan kita akan menjadi lebih teratur dan terurus .

Sekian ,terima kasih .


Thursday 20 January 2011

A128608 HAZWANI MOHAMAD TAJUK 4 PEMBELAJARAN EMOSI NEGATIF SAYA

Pada 18 Januari 2011, pembelajaran tentang emosi negatif telah memberi banyak pengajaran yang bermakna kepada saya untuk hari tersebut. Apabila terdengar ayat emosi negatif semestinya saya akan membayangkan perkara-perkara yang berlawanan dengan emosi positif yang dipelajari pada minggu sebelumnya contohnya perkara yang akan membuat saya rasa marah, geram, menyampah dan sebagainya. Ternyata apa yang saya bayangkan itu sangat tepat dengan apa yang terpampang di slaid.

Emosi negatif terbahagi kepada empat iaitu takut, malu, sedih dan marah.

Takut dapat didefinisikan sebagai tindak balas emosi terhadap situasi bahaya dan sangat berkaitan dengan bimbang. Terdapat dua punca perasaan takut iaitu kejadian yang menyebabkan trauma dan dipengaruhi oleh perkara atau konsep yang abstrak.

Contoh kejadian yang menyebabkan trauma terlalu banyak tetapi dengan sukacitanya saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai contoh kejadian yang telah menyebabkan saya trauma terhadap lori-lori besar di jalan raya sehingga hari ini. Pernah suatu hari saya menunggang motorsikal berseorangan ke kedai untuk membeli barang keperluan. Sampai di persimpangan jalan yang mempunyai lampu isyarat yang menandakan lampu merah, saya berhenti seperti pemandu-pemandu yang lain. Sementara saya menungu lampu isyarat berubah dari merah ke hijau, saya perasan lampu isyarat di simpang kanan saya telah berubah hijau akan tetapi sebuah motorsikal yang dipandu oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an masih tidak bergerak dan terdapat sebuah lori besar di belakangnya. Kemungkinan besar pemandu lori tersebut tidak perasan kehadiran motorsiakl yang kecil di depannya. Dengan tergesa-gesa tanpa menyedari ada motorsikal di hadapan lori tersebut, pemandu lori terus bergerak maju ke hadapan dan menggilis penunggang motorsikal terbabit. Penunggang tersebut tersepit di antara tayar tersebut. Pemandu lori yang perasan sesuatu yang tidak kena memberhentikan lorinya dan menjenguk keluar ke bhagian bawah lorinya. Dia cuba mengeluarkan lelaki tersebut dari tayar tetapi tidak berjaya. Akhirnya pemandu lori tersebut mengambil keputusan untuk memandu kebelakang sedikit lorinya. Sebaik sahaja lori itu bergerak ke belakang, penunggang itu jatuh ke jalan dengan darah memancut-mancut. Saya hamper pitam melihat darah tersebut, tetapi saya gagahkan diri meneruskan perjalanan saya. Saya tidak berhenti untuk menolong kerana saya tidak mampu berbuat apa-apa dan keadaan saya yang lemah semangat ketika itu tetapi saya tetap berdoa supaya penunggang tersebut masih selamat. Sehingga kini apabila saya berhenti di lampu isyarat saya akan berada di belakang sekali mengikut urutan.

Manakala contoh bagi perkara atau konsep yang abstrak pula adalah takut dengan kritikan orang sekeliling. Saya mempunyai seorang kawan yang sangat gemar menggayakan tudung dan selendang fesyen terkini setiap kali ke kelas. Malangnya pada suatu hari dia telah menggayakan satu selendang yang terbaru yang lain daripada lain tetapi nampak seakan pelik. Di tambahkan dengan aksesori yang sarat dan solekan yang tebal. Secara kebetulan di dalam kelas saya terdapat seorang pelajar lelaki yang terlalu berterus terang dan tidak berkalis apabila mengutuk sesorang dan dia telah mengutuk dan mengkritikan penampilan kawan saya. Akibat kejadian tersebut dia hilang keyakinan diri untuk menggayakan fesyen terkini kerana takut dengan kritikan orang lain tentang dirinya.

Bagi emosi malu pula dapat didefinisikan sebagai emosi yng dialami seseorang apabila melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima dan melibatkan air muka dan maruah seseorang.

Simptom-simptom sesorang itu mengalami emosi malu ialah tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergagap-gagap dan gelisah.

Bagi emosi sedih bermaksud perasaan kerugian atau kehilangan. Emosi sedih sering membawa kepada kemurungan. Tanda-tanda sedih adalah sayu, murung, muram dan suram.

Marah pula adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan, persepsi penderitaan dan ketegangan. Marah terbahagi kepada dua, iaitu pasif dan aktif.

Tanda-tanda marah yang pasif ialah merajuk diam, perilaku pasif tapi dalam keadaan agresif, permusuhan dan ketegangan.

Tanda-tanda marah yang aktif ialah dengan menggunakan perlakuan atau luahan perkataan yang kasar kepada target ( orang yang dimarahi).

 


A126800 IRA FAZLIANA BINTI SADELI TAJUK 4 EMOSI NEGATIF (-VE)

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Bertemu kembali dalam bicara tentang "Pengurusan Emosi". Hari ini 18 Januari 2011. Semakin hari semakin bertambah bilangan tarikh. Sekejap rasanya sudah pertengahan Januari. Hari ini kuliah berjalan seperti biasa seperti minggu-minggu sudah. Tajuk kuliah hari ini tentang EMOSI NEGATIF. Berbicara soal negatif, kebanyakkan di kalangan kita tidak suka hal-hal berkaitan dengan negatif. Selalunya sifat negatif merangkumi sifat takut, malu, sedih dan marah. Setiap orang pasti memiliki sifat negatif seperti yang disebutkan tadi, termasuk jugalah saya. Namun begitu, sifat-sifat tersebut di lihat bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengawal perasaan negatifnya.  

 

Takut boleh didefinisikan sebagai tindak balas terhadap situasi bahaya yang berkaitan dengan emosi bimbang. Pada kebiasaannya, kita akan berasa takut apabila kita berada dalam situasi negatif. Sebagai contoh ada sesuatu kejadian yang berlaku seperti kejadian jatuh dalam perigi yang akan mengakibatkan berlakunya trauma pada tempat-tempat gelap. Takut juga boleh dikaitkan dengan sesuatu yang abstrak sebagai contoh takut di ejek oleh masyarakat di sebabkan kecacatan dan sebagainya yang akan menyebabkan seseorang itu tidak suka berdepan dengan masyarakat.

 

Teringat saya sewaktu di zaman persekolahan. Ketika itu saya berada di sekolah menengah. Ketika saya berada di awal persekolahan sewaktu di tingkatan 1, 2 dan 3. Tidak tahu kenapa saya cukup takut apabila berdepan dengan orang, lebih-lebih lagi sewaktu pembentangan di dalam kelas. Mungkin di sebabkan perasaan malu yang terlampau. Asal saya berada di hadapan kelas membentangkan sesuatu, tangan saya pasti akan menggeletar dan suara saya juga agak terketar-ketar dek kerana gemuruh yang teramat sangat. Kadang-kadang saya rasa malu kalau-kalau ada di kalangan rakan saya yang duduk di bahagian hadapan terlihat kegemuruhan saya sekaligus dengan tangan yang menggeletar. Dari hari ke hari saya cuba untuk mengurangkan gemuruh saya apabila adanya pembentangan di dalam kelas. Kisah bermula sewaktu saya berada di tingkatan 4 di mana saya telah dicalonkan untuk memegang jawatan setiausaha jawatankuasa tertinggi asrama. Setiap malam kami akan adakan perhimpunan sebelum masing-masing ke kelas ulangkaji dan setiap AJK pula ada dijadualkan untuk mengendalikan perhimpunan tersebut termasuklah saya. Terpaksalah juga saya memberanikan diri. Dari minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun akhirnya tangan saya yang dahulunya menggeletar apabila berdepan dengan orang semakin berkurangan. Semenjak saya memegang jawatan di exco asrama pada tingkatan 4, semenjak itulah banyak pula jawatan yang perlu saya pegang sebagai contoh AJK mana-mana program sekolah, naqibah dan sebagainya. Dari situlah lama kelamaan saya semakin terbiasa dan Alhamdulillah sehingga kini saya dapat mengurangkan darah gemuruh saya walaupun sesekali perasaan itu masih ada. Betullah kata Dr Zamri, perasaan-perasaan seperti ini boleh dididik dan dikawal mengikut cara bagaimana kita mengawalnya.

 

Berbalik kita kepada tajuk. Sifat negatif seterusnya ialah malu. Malu di rasai apabila melakukan sesuatu yang tidak dapat di terima dalam pekerjaan atau masyarakat. Ianya melibatkan air muka atau maruah bergantung kepada sesuatu yang dialami sebagai contoh melakukan sesuatu yang tidak normal atau sesuatu yang tidak dapat di terima oleh masyarakat seperti silap memakai kasut, memakai baju terbalik dan sebagainya.

Terdapat 2 kategori malu iaitu:-

1.       Personal – orang lain tertumpu kepada kita di sebabkan kesilapan kita atau kalah dalam sesuatu permainan.

2.       Profesional – urusan yang berkaitan dengan pekerjaan sebagai contoh seorang pensyarah dipecat kerana telah berkhalwat dengan pelajar sendiri.

 

Seterusnya ialah emosi sedih. Sedih menggambarkan perasaan kerugian dan kehilangan. Jika emosi sedih yang serius ianya akan membawa kepada kemurungan dan perlu intervensi daripada pakar. Seseorang yang dahulunya periang akan bertukar menjadi pendiam apabila terdapat kesedihan dalam dirinya. Orang yang dilanda kesedihan kebiasaannya tidak semangat dan suka mengasingkan diri serta enggan untuk berjumpa dengan orang lain.

 

Teringat saya kisah beberapa tahun lepas. Kisah ini telah berlaku kepada makcik saya sendiri, Cik Ani yang mana dia telah kehilangan suami yang sangat dicintai dan disayangi secara mengejut. Pada malam itu arwah suami serta keluarga Cik Ani saya berkumpul satu keluarga sambil makan malam bersama dengan hidangan tom yam yang telah dibeli oleh arwah suami Cik Ani. Mereka bercerita sambil bergurau senda pada malam tersebut. Keesokkan paginya seperti biasa Cik Ani akan mengejutkan suaminya untuk bersiap-siap ke tempat kerja diikuti anak-anaknya pula untuk ke sekolah. Namun pada pagi itu, suami Cik Ani tidak juga bangun seperti kebiasaannya. Setelah anak-anak ke sekolah tergerak hati Cik Ani untuk membuka lampu bilik. Sangat terkejut Cik Ani apabila mendapati suaminya terkujur kaku dengan wajahnya yang kebiruan. Suaminya meninggal secara mengejut di dalam tidur. Semenjak hari itu, Cik Ani semakin lemah semangat, kemurungan dan sedih di atas pemergian suami sehinggakan pernah Cik Ani memberitahu saya terdetik di hatinya "kalau boleh acik nak ikut sekali arwah pergi". Terbayangkan anak-anaknya, Cik Ani semakin hari semakin cuba untuk menguatkan diri dan menerima segala kehendak Allah dengan redha. Dan Alhamdulillah akhirnya sehingga kini Cik Ani dapat semula menjalankan tanggungjawabnya membesarkan anak-anak walaupun tanpa suami tercinta di sisi.

 

Emosi yang terakhir ialah emosi marah. Marah boleh diertikan sebagai tindak balas emosi terhadap kesakitan dengan adanya persepsi penderitaan atau ketegangan dan ancaman. Emosi marah diekspresi dalam 2 bentuk iaitu secara aktif seperti tindakan memukul dan secara pasif seperti bermasam muka dan sebagainya. Teringat saya untuk mengaitkan emosi marah yang diekspresi secara aktif. Kalau kita lihat drama-drama di kaca tv banyak sekali terdapat rancangan-rancangan berkisar tentang sebuah keluarga yang hidup dalam porak peranda. Si suami atau ayah yang tidak bekerja asyik berjudi, ke kelab malam, berfoya-foya dan sebagainya dan si isteri pula yang bersengkang mata siang malam mengambil upah menjahit semata-mata untuk menanggung keluarga. Apa yang berlaku, apabila si suami pulang saja ke rumah semua layanan isteri serba tak kena dan di pukulnya isteri dan anak-anak tanpa belas kasihan dek kerana kemarahan yang membara di atas sebab-sebab yang kecil sahaja.

 

Menurut perspektif Islam pula, marah merupakan tanda kelemahan kita kerana kita tidak dapat mengawal diri kita sendiri dengan kesabaran. Di bawah diterangkan apa yang patut kita lakukan sekiranya kita berada dalam situasi marah.

1.       Mengakui yang anda berada dalam keadaan marah.

2.       Menilai situasi tersebut sesuai untuk marah atau tidak.

3.       Jika sesuai untuk luahkan kemarahan, nilai pula pendekatan apa yang patut digunakan. Secara langsung atau tidak langsung.

4.       Setelah marah cuba bermuhasabah diri kembali apa yang telah di alami untuk memperbaiki diri.

 

Pada kelas tutorial pula, kelas berjalan seperti biasa. Hari ini, Dr Zamri membahagikan kami kepada kumpulan kecil mewakili 4 emosi yang dibincangkan semalam. Untuk hari ini hanya emosi sedih dan marah sahaja yang sempat dibincangkan. Teringat saya tentang kesah yang diceritakan oleh salah seorang daripada kumpulan perbincangan sedih. Di mana beliau terpaksa berjauhan dengan ibunya yang terpaksa menjalani satu pembedahan kanser pangkal rahim. Bagi saya, apapun hal yang menimpa salah seorang ahli keluarga kita ataupun orang yang sangat kita sayangi memang amat menyedihkan lagi-lagi bila mana kita sendiri tidak dapat berada di sampingnya.

 

Akhir kalam, cuba renungkan kata-kata di bawah:

" Jika kamu kesusuahan, ingatlah untuk menyimpan kesabaran" dan "kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah". Don't be sad.  Renung-renungkan dan selamat beramal. Ketemu lagi di coretan yang akan datang. Wassalam