Saturday 22 January 2011

A130117 Normashitah Tajuk 4 Emosi Negatif

Salam muhibbah buat semua…


 Minggu ini iaitu pada 18 Januari lepas kami telah mempelajari tajuk emosi negatif. Secara fitrahnya emosi atau perasaan telah dikurniakan Tuhan kepada setiap manusia tidak kira jantina, pangkat, umur dan darjat seseorang itu. Emosi negatif yang kami telah pelajari adalah takut, malu, sedih dan marah. Walaupun kalau di teliti banyak lagi emosi negatif yang ada pada diri seseorang itu, namun jika disentuh semuanya pastinya tidak sempat habis la pembelajaran pada sem ini. Hakikatnya setiap manusia tidak akan pernah lari dari perasaan negatif walaupun dia seorang yang berkedudukan.


Seperti mana yang kita maklum, emosi adalah naluri yang telah diprogramkan oleh Yang Maha Pencipta buat hambaNya. Ini kerana dengan perasaan ini akan membantu mempermudahkan manusia dalam kehidupan di dunia ini. Seperti mana perasaan takut, manusia akan berada dalam keadaan yang selamat sekiranya dia berada dalam keadaan yang terancam. Takut itu adalah tindak balas yang berlaku akibat kebimbangan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi. Dengan perasaan ini juga manusia akan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu tindakan. Bayangkan sekiranya kita berjalan keseorangan dan secara tiba-tiba muncul anjing liar yang sedang berkeliaran di kawasan yang tidak jauh dari tempat kita. Pastinya kita merasa takut pada waktu itu dan tindakan yang akan menyusul adalah menjauhkan diri daripada anjing tersebut. Begitulah perasaan takut yang telah diprogramkan pada manusia yang fungsinya sebagai pelindung diri.


Seperti mana yang telah di pelajari, perasaan takut itu terdiri daripada pelbagai bentuk dan peringkat. Ada orang takut pada tempat tinggi, ada orang takut pada air, ada orang takut tinggal keseorangan dan pelbagai lagi perasaan takut pada setiap individu. Teringat pula pada kuliah lepas Dr. Ahmad Zamri telah mempamerkan gambar yang menyeramkan. Memang pada masa itu saya tidak merasa apa-apa, namun setelah pulang ke kolej hati saya tidak aman dan merasa takut walaupun duduk di bilik sendiri. Hendak ke bilik air pun teragak-agak. Tambahan pula baru-baru ini penghuni kolej telah dikejutkan dengan tragedi hysteria malah kejadian-kejadian di kolej sebelum ini pun telah membuatkan diri ini berasa takut tinggal keseorangan. Namun hidup mesti diteruskan, semangat perlu di kuatkan agar tidak tersasar dari landasan yang benar.


Saya ada terbaca satu artikel yang mengatakan rasa takut itu muncul dari ketegangan mental. Ketakutan yang berlebihan juga katanya mempengaruhi ginjal dan limpa. Ini kerana terdapat satu kes dimana sebuah keluarga telah 'terkucil' akibat ketakutan semasa ditawan oleh perompak yang memecah masuk rumah mereka. ini bererti ketakutan membuat fungsi ginjal menjadi tidak terkawal dan akhirnya secara tidak sengaja air kencingnya terkeluar. Erm, agak menarik juga ya…


Beralih pula dengan perasaan negatif seterusnya iaitu malu. Didalam Islam malu itu terletak pada ranking yang tertinggi yang mempunyai pengertian yang besar kerana sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah hilang sifat malunya adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman berjalan seiringan. Begitulah martabat sifat malu di sisi Islam sehinggakan terdapat sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwah yang pertama ialah: "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka".

Namun emosi malu yang diketengahkan pada kuliah lepas adalah sesuatu perkara yang tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Contohnya seperti seorang pekerja pergi ke tempat kerja dengan mengenakan butang baju yang senget seperti Pak Uda dalam sitkom Pi Mai Tang Tu yang pernah disiarkan di tv3. Dari segi moral tidak ada salahnya kerana jelas-jelas telah menutup aurat dengan sempurna namun dari segi etika berpakaian ke tempat kerja dia telah memalukan dirinya sendiri kerana berpakaian dalam keadaan luar biasa dan tidak boleh diterima oleh masyarakat sekelilingnya.


Ekspresi malu juga pelbagai jenis kerana ia terpulang kepada seseorang individu menzahirkannya. Kerana kategori malu ada dua jenis iaitu personal dan professional. Ada orang menunjukkan dia malu dengan tersipu-sipu. Kebiasaannya tersipu-sipu ni apabila seorang perempuan dilamar oleh jejaka idaman. Mana tidaknya, hatinya pasti berbung-bunga kerana dia tidak bertepuk sebelah tangan! Bak kata orang dulu la…selain itu ekspresi yang dapat dilihat akibat malu adalah dengan gementar, gagap dalam pertuturan, gelisah atau tidak senang duduk dibuatnya dan yang ini bagi saya professional iaitu berpura-pura senyum atau ketawa. Ada juga manusia yang malu tidak bertempat.


Seringkali kita lihat di dada-dada akhbar dan kaca television kes-kes artis-artis tempatan yang seakan-akan menjadi trend dalam masyarakat artis pada hari ini. Kebiasaannya kes perceraian. wajah mereka bukannya tidak penah dilihat malah selalu sahaja terpampang di kaca television, namun apabila kes-kes tersebut berlaku maka mereka berselindung di sebalik kaca mata hitam. Itu menunjukkan mereka ada rasa malu atas apa yang terjadi.


Emosi seterusnya ialah sedih dan marah. Perasaan sedih menggambarkan seseorang itu merasa kerugian atau kehilangan. Jika perasaan sedih itu mencapai tahap serius ia akan membawa kepada kemurungan dan perlu mendapatkan nasihat dari pakar motivasi. Dengan emosi ini juga membolehkan seseorang itu berada di dalam kemurungan, tidak bersemangat dan akan menyebabkan seseorang itu suka mengasingkan diri daripada bertemu dengan orang lain serta tidak tumpu di dalam melakukan sesuatu. Berbeza dengan orang yang gembira, dia akan lebih melakukan sesuatu dengan lebih focus dan teliti kerana emosinya berada pada tahap yang stabil. Manakala marah pula adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan. Kadang-kadang perasaan ini juga menghasilkan rasa simpati dan juga sedih. Seperti mana yang berlaku pada saudara kita di Palestine. Kita merasa marah pada kuasa-kuasa besar yang tidak berkeperimanusiaan dan kita juga merasa sedih dan simpati melihat keadaan yang menimpa rakyat Palestin.


Baru-baru ini saya ada mendengar slot motivasi di salah sebuah radio yang disampaikan oleh seorang ustaz. Ustaz tersebut telah mengenengahkan kisah seorang bapa kepada seorang anak yang agak agresif tingkah lakunya. Pada suatu hari, bapa itu telah membeli sebuah kereta. "Bayangkan lah perasaan orang yang memiliki sesuatu yang baru, pastinya akan dibelek-belek kereta tersebut walaupun ia berada dalam pagar rumah sendiri!". Begitu lah gaya ustaz itu sampaikan. Seluruh ahli keluarga pun tumpang gembira melihat kereta baru tersebut, sampaikan bibik yang tengah menggoreng ikan di dapur pun keluar sama dek kerana mahu melihat kereta baru tuannya. Begitulah nak gambarkan betapa bahagianya keluarga tersebut menyambut kereta baru.


Hendak dijadikan cerita, pada keesokan harinya sebelum ayah kepada budak itu pergi ke pejabat, dia dengan rasa penuh bersemangat terus bertukar menjadi marah yang bersangatan. Mana tidaknya, kereta yang semalam baru dibeli cantik berkilat, namun pada pagi itu kereta tersebut telah calar balar dan tidak lagi seperti semalam. Anak nya pula seorang yang sangat suka melukis. Dengan tidak semena-mena ayah itu telah melakukan tindakan luar kawalan dengan mengetuk-ngetuk tangan anaknya sehingga berdarah-darah. Pensil warna yang dibelikan untuk anaknya, dibuangnya bersepah di sekitar halaman rumah. Walaupun telah dihalang oleh isteri dan pembantunya, dia tetap dengan tindakan luar kawalannya.


Pada pagi itu dia merasa sangat tertekan hanya kerana tidak dapat membawa kereta barunya ke pejabat untuk di perkenalkan kepada rakan-rakan sepejabat. Setelah itu bapa terebut mengarahkan kepada pembantu rumahnya agar jangan diikut kehendak anaknya supaya dapat diberi pengajaran atas tindakan anak itu tadi. Setelah sesampainya dia di pejabat dia telah menerima satu panggilan yang mengatakan pihak hospital memerlukan tanda tangannya untuk menjalankan pembedahan segera terhadap anaknya. Dia yang terkejut dengan berita itu segera bergegas ke hospital. Rupa-rupanya tangan anaknya yang luka tadi telah masuk kuman dan perlu di buang dengan segera agar tidak merebak keseluruh badan. Betapa menyesalnya bapa tadi atas perbuatan yang telah dilakukan tanpa berfikir dahulu sebelum bertindak. Anak kecil itu menangis memohon ampun kepada ayahnya dan meminta di pulangkan semula pensil colour beserta tangan nya yang telah hilang. Ayah tersebut merasa sangat bersalah terhadap anaknya dan mustahil baginya memulangkan semula tangan anaknya yang hilang itu. Begitulah kisah hanya sebuah kereta baru segalanya berlaku sekelip mata.


Sewaktu saya mendengarkan kisah ini hati saya merasa sedih. Tergamak seorang bapa melakukan hal tersebut pada seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Begitu jugalah seperti peristiwa-peristiwa di sekeliling kita hari ini yang kita dengar dan kita tonton dikaca televisison. Teringat pula Dr. Ahmad Zamri mengatakan kemarahan juga menggambarkan kekuatan atau kekuasaan seperti mana pengetua di sekolah-sekolah. Oleh itu marilah kita renungkan Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Bukanlah orang yang kuat itu seorang yang pandai bergusti, akan tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya daripada marah".              

[Muttafaqun 'alayh]


Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud:


"Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk jika masih tidak hilang kemarahan hendaklah dia berbaring secara mengiring"

[Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud]


Sekian dari saya, semoga coretan ini bermanfaat buat kita semua…selamat beramal :)

 

 


No comments:

Post a Comment