Sunday 31 July 2011

A131463 CHOO LI YONG LJ01 Mengawal Emosi dan Berjaya Dalam Kehidupan


              Selamat sejahtera saya ucapkan kepada kawan-kawan dan pensyarah kita yang amat dihormati, Dr. Zamri. Saya berasa cukup bersyukur kerana pada semester ini kita pelajar perubatan tahun dua berpeluang untuk belajar subjek Pengurusan Emosi yang begitu penting dan bermanfaat sekali. Sebagai seorang pelajar perubatan yang akan menjadi seorang doktor pada masa depan, kami perlulah menguasai pengurusan emosi supaya dapat menangani masalah kerja atau pesakit yang akan dihadapi.  Walaupun penulisan jurnal bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya bersetuju bahawa inilah cara yang terbaik untuk mengulang kaji dan menyusun semula ilmu-ilmu yang telah dipelajari semasa kuliah. Cara pengajaran Dr. Zamri yang menarik, seperti penggunaan video yang mengharukan sebagai bahan pengajaran telah membangkitkan keminatan saya terhadap subjek ini. Oleh itu, saya ingin membuat satu rumusan tentang apa yang telah saya pelajari dan memahami mengenai kuliah yang telah dihadir pada 27 Julai 2011 yang lalu.

              Seperti yang telah disebut di atas, kuliah kami dimulakan dengan tayangan video yang begitu menarik sekali iaitu "Emotional Theory of Talented Korean", Video ini menceritakan tentang kejayaan seorang lelaki yang bernama Sung-bong, menerusi video itu saya dapat menyaksikan bagaimana beliau mengawal bukan sahaja emosi sendiri tetapi juga emosi orang lain, iaitu juri-juri dan para penonton. Beliau sebenarnya agak gementar dan tidak berkeyakinan sama ada pertunjukannya akan memdapat sambutan yang baik. Tetapi apabila berdiri di atas pentas, beliau menenangkan emosi sendiri dengan menumpukan perhatian dan menikmati pertunjukan sendiri. Beliau juga tidak dipengaruhi oleh perasaan simpati orang lain terhadap pengalaman hidupnya yang susah, sebaliknya mengusik hati mereka dengan nyanyian yang begitu merdu sekali. Hal ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk memajukan diri sendiri dengan percubaan untuk menguruskan emosi dengan baik. Pada malam selepas kuliah pada hari Rabu, saya cuba mengurangkan tekanan dengan sambil mendengar muzik lembut sambil belajar, dan saya menumpukan perhatian pada ilmu-ilmu yang perlu dipelajari tetapi mengelakkan diri daripada asyik memikirkan peperiksaan yang akan dihadapi. Sebagai hasil saya mendapati bahawa saya dapat belajar dengan lebih efektif dan tenang.

               Selepas sesi video, kami telah diperkenalkan dengan definisi "Emosi", sebenarnya emosi dan perasaan mempunyai banyak perbezaan dari pelbagai segi. Menurut Kleinginna(1981), emosi adalah interaksi diantara pegangan seseorang berdasarkan pengalaman yang dialami dengan faktor atau keadaaan yang boleh mengubah sesuatu keadaaan. Empat komponen iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan membentukkan emosi. Saya telah mengaitkan teori ini dengan pengalaman saya semasa tertinggal bas yang menghantar para pelajar ke HUKM untuk menghadiri kelas CSL. Apabila saya diberitahu oleh kawan bahawa bas tersebut sudah bertolak sebelum pukul 1.00 petang, saya berasa cemas dan risau(perasaan). Selepas itu saya berbincang dengan kawan yang juga tertinggal dan memikirkan langkah yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini(proses kognitif). Kami pergi ke stesen bas untuk cari pemandu yang lain dan cuba memujuk beliau untuk menghantar kami ke HUKM, kami berdenyup-denyup apabila menunggu keputusan pemandu itu dan berasa lega( perubahan fisiologi) apabila beliau bersetuju dengan permintaan kami. Selepas peristiwa ini, saya telah menyedari kepentinga prihatin terhadap perubahan sekeliling dan sekarang saya akan menepati masa tanpa mengira pergi ke mana pun(perubahan tingkahlaku).

               Seterusnya, menurut Lang et al (1992), emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Hal ini ditekan sekali lagi apabila Baron dan Logan (1993) mengata bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi . Saya amat bersetuju dengan fakta ini kerana hal ini dapat dikaitkan dengan pembelajaran saya. Perasaan ingin tahu telah mendorong saya untuk mencarikan jawapan apabila menghadapi sesuatu yang tidak difahami. Selain itu, perasaan takut untuk mendapat keputusan yang tidak memuaskan pula menjadi satu motivasi kepada saya untuk terus berusaha dan tidak terpengaruh oleh godaan luar seperti membazirkan masa dalam menonton wayang dan bersiar-siar. Akhirnya, perasaan gembira semasa saya mendapat keputusan yang baik pula menjadi motivasi kepada saya untuk meneruskan usaha lagi untuk mencapai kejayaan pada masa depan. Walaupun begitu, dalam sesuatu keadaan sahaja emosi boleh menjadi pendorong (motivator) dan bukan semua pendorong(motivator) berasaskan kepada emosi. Emosi boleh dibahagi kepada dua struktur asas, yang pertama adalah secara lisan dimana seseorang itu menceritakan perasaan yang dialaminya dengan sendiri. Kedua adalah melalui pengkajian secara terus dengan membuat penilaian dengan menggunakan ukuran fisiologi. Beberapa teori seperti Teori Darwin, Plutchik, Tomkin dan Izard juga telah menjelaskan struktur dan eksperasi emosi. Di samping itu, Teori Fisiologi, Teori Kognitif dan Teori Fisioanalisis pula menjelaskan perbezaan eksperasi emosi.

               Secara perinci, Teori Darwin telah menyatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas (primary emotion). Emosi asas  ini merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta dieksperasikan dalam bentuk yang sama dalam semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", beliau mengata bahawa eksperasi wajah melambangkan emosi kerana eksperasi wajah paling mudah dikenal pasti. Satu bukti yang menarik telah mengukuhkan penyataan ini, 16 soalan tentang emosi diedarkan kepada 36 bangsa yang berbeza dan didapati jawapan adalah sama. Banyak teori seperti Teori Robert Plutchik, Silvan Tomkins, Caroll Izard dan Paul Ekman juga menyatakan emosi asas menghasilkan emosi-emosi yang lain. Emosi asas adalah emosi yang bersifat penyesuaian. Kesemua emosi yang wujud adalah gabungan antara emosi-emosi asas (Rolls, 1990). Plutchik pula menyatakan 3 teori bagi emosi asas. Pertama merupakan bahasa emosi, kedua reaksi adaptif asas dan ketiga adalah demensi asas. Bahasa emosi pula boleh dipaparkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif merupakan bahasa lazim bagi emosi seperti sedih, gembira dan takut. Bahasa tingkahlaku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah diransang seperti menangis dan menutup muka dengan tapak tangan disebabkan oleh perasaan sedih. Bahasa fungsian pula merujuk kepada bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Di dalam reaksi adaptif asas pula terdapat 8 reaksi iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Manakala terdapat 3 demensi penting di dalam demensi emosi iaitu keamatan, kesamaan dan kepolaran. Keamatan merujuk kepada darjah kekuatan emosi seperti dari terperanjat kepada takut. Kesamaan merujuk kepada hubungan atau perkaitan seperti marah dan sedih lebih dekat berbanding dengan marah dan gembira. Kepolaran pula merujuk kepada kekutuban seperti gembira lawannya sedih.

               Sebagai kesimpulan, saya telah menyedari tentang kepentingan pengawalan emosi selepas pendedahan kepada subjek ini. Sebagai satu langkah untuk memajukan diri, saya telah mengkaji semula apa yang telah dipelajari semasa kuliah dan  mencari maksud teori-teori yang tidak difahami menerusi internet. Seterusnya, saya akan berusaha untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan harian.


A131579 Mah Wan Cheng LJ01- Makna Sebenar Emosi

Salam sejahtera. Ini merupakan jurnal pertama saya dalam kursus ZT2253 selepas saya menghadiri kuliah pertama Pengurusan Emosi bertajuk "Pengenalan" dan "Struktur Asas Emosi" pada 27 Julai 2011,hari Rabu yang lalu. Secara jujurnya, saya hanya berpendapat bahawa emosi merupakan salah satu saluran untuk menunjukkan pemikiran sendiri melalui pelbagai perasaan seperti gembira, sedih, gementar, takut dan lain-lain lagi dan sudah tentunya tidak seluas dan sedalam pun seperti yang diajar oleh Dr. Zamri sebelum kuliah ini. Ini telah menanam minat saya dalam kursus ini kerana kelebihan untuk memahami emosi orang lain dapat menguatkan perhubungan sesama insan dan juga banyak membantu dalam menangani penyakit-penyakit dalam karier perubatan kelak.

 

Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai interaksi yang kompleks antara faktor objektif dan subjektif dengan pengaruh sistem hormone dan saraf dalam badan kita. Dan ini telah membawa empat komponen, iaitu perasaan (feeling), proses kognitif (cognitive process), perubahan fisiologi (physiological change) dan tingkah laku berkaitan (associated behaviors). Hampir kesemua komponen ini wujud dalam setiap situasi yang kita hadapi dalam kehidupan seharian, misalnya semasa menjawab soalan yang ditujukan oleh pensyarah dalam sesi perbincangan kumpulan kecil. Saya terkejut dan berdebar-debar apabila dr. menamakan saya untuk menjawab soalan tertentu yang tidak terdapat dalam latihan. Dalam beberapa saat yang seterusnya, saya akan cuba memikir balik pengetahuan yang telah saya dapat dalam kuliah dan pembacaan sebelum ini. Semua persoalan sedang dikaitkan secara sistematik dalam minda. Namun, tekanan darah saya menaik dan tangan saya mula bergetar serta mengalami kesejukan dalam proses mendapatkan jawapan daripada ingatan. Pada akhirnya, saya meringkaskan poin pada kertas dan menyuarakan kepada pensyarah dan rakan-rakan sekalian.

 

Ukuran tahap emosi turut didedahkan dalam kuliah tersebut. Terdapat tiga cara utama untuk mencapai tahap emosi, iaitu laporan kendiri, kelihatan secara langsungnya serta pengukuran dalam aspek fisiologi badan. Laporan kendiri boleh diperoleh melalui sesi temu bual, borang survey dan pengawasan diri dengan rekod tindakan dari semasa ke semasa. Cara ini amat memerlukan kesanggupan dan sikap kejujuran pada diri untuk mengupaskan segala masalah yang didapati secara terbuka hatinya. Oleh itu, ia sering tersekat dengan perbezaan perspektif, budaya kaum serta norma masyarakat di sekeliling seseorang tersebut. Cara yang kedua pula banyak bergantung pada daya pemerhatian yang teliti untuk mendapati sebarang kemusykilan pada orang tersebut. Ini tidak mudah dilakukan sedangkan seseorang itu mungkin menyembunyikan emosinya dan tidak ditunjukkan pada luaran. Seterusnya tinggallah cara yang lebih saintifik iaitu peninjauan aspek fisiologi badan. Antara aspek yang  ketara dan biasa ditinjaui ialah tekanan darah, kadar denyutan jantung, tahap ketegangan otot dan kadar pernafasan. Cara ini mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi kerana pengukuran dibuat dengan alat dan ini boleh mengelakkan faktor kemanusiaan yang menjejaskan analisis.

 

Selain itu, saya juga didedahkan beberapa teori untuk menjelaskan emosi manusia. Dalam teori asas emosi Darwin (Darwin's basic theory of emotion), emosi kita terdiri daripada emosi primari yang merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspreskan dalam bentuk yang seragam oleh semua bangsa dan budaya pada wajah (Kokoszka, 1993). Apabila badan kita menerima rangsangan biarpun dari luar atau dalaman, otak kita yang berfungsi sebagai pusat kawalan minda dan pergerakan akan menafsirkan bahan rangsangan tersebut, membuat analisis yang secukupnya dalam masa yang tersingkat dan menghantar isyarat / arahan menerusi sistem saraf dan endokrin kepada bahagian badan yang lain, contohnya muka dan tangan untuk membawa pergerakan. Sebab itulah, emosi bersifat adaptif selepas penafsiran dan pengiktirafan di otak kita.

 

Primari emosi teori Plutchik (Plutchik's Primary Theory of Emotion) menggambarkan tiga aspek bahasa dalam emosi, iaitu bahasa subjektif, tingkah laku dan fungsian. Saya difahamkan bahawa sesuatu perasaan (subjektif) akan menunjukkan tanda-tanda atau pergerakan(tingkah laku) yang berperanan untuk membangkitkan tindakan supaya dapat menjauhkan dirinya daripada sumber rangsangan yang menimbulkan perasaan (fungsian). Sebagai contohnya, saya berasa sedih kerana tidak mendapat keputusan peperiksaan seperti yang dijangkakan. Akibatnya, saya mengalirkan air mata dan minat terhadap subjek itu berkurangan. Namun selepas bertenang selama beberapa jam kemudian, saya berkeputusan untuk menguatkan kesungguhan untuk banyak membaca dan mengulangkaji bersama rakan-rakan yang cemerlang. Perasaan takut, gembira, sedih, terperanjat, marah, meluat, terima serta rasa ingin tahun boleh diklasifikasikan sebagai lapan tindak balas adapsi asas dalam teori ini. Saya turut tidak sangka bahawa emosi mempunyai bidang dimensi, iaitu darjah kekuatan (intensity), hubungan/perkaitan (similarity) dan kekutuban/kelawanan (polarity). Pengetahuan ini dapat membantu kami untuk mengenalpastikan tahap dan jenis emosi yang ada bagi mengatasinya dengan efektif jika ia merupakan unsur negatif.

 

Di samping itu, mimik muka semula jadi yang dicadangkan oleh Izard (Izard's Innate Facial Expression) juga menambahkan beberapa kenyataan tentang emosi manusia. Di bawah teori ini, emosi manusia ialah sejenis tindakbalas yang dizahirkan daripada naluri dan batin secara semula jadi dengan bantuan sistem saraf. Oleh itu, keupayaan untuk menunjukkan pelbagai ekspresi muka tidak perlu diajar seperti ilmu pengetahuan lain. Sebelum ini saya tertanya-tanya kenapa bayi yang baru dilahirkan dapat menunjukkan muka sedih dan senyum sedangkan mereka tidak pernah diajarkan untuk berbuat sedemikian.  Mereka akan ketawa apabila kita mengusik-usik dan bermain dengan mereka. Mereka juga akan menangis apabila permintaan mereka tidak dipenuhi. Adakah ini merupakan anugerah Tuhan sebagai kemampuan minimal untuk memulakan kehidupan mereka di bumi ini? Rasanya inilah jawapannya. Mengikut Scherer dan Wallbott (1994), konsep kesejahteraan yang terselit dalam emosi muka adalah mantap dan stabil tetapi yang berbezany ialah bagaimana emosi dialami dan dikawal dan bukannya bagaimana ia dizahirkan.

 

Teori maklum balas muka Tomkin (Tomkin's Facial Feedback Theory) pula mengulas tentang hubungan antara pergerakan muka dengan emosi. Memang tidak susah didapati bahawa kami lebih cenderung untuk ketawa terbahak-bahak dalam keadaan kami betul-betul berasa gembira dan tiada sebarang sekatan terutamanya pada bahagian muka untuk menunjukkan expresi. Seperti yang dibentangkan oleh Zajonc, otot muka memainkan peranan yang penting menentukan jenis mimik muka yang dipaparkan. Secara lazimnya, perubahan otot muka telah menjejaskan aliran darah dari bahagian muka sehingga ke otak dan ini akan memanipulasikan sama ada kesan permanasan atau penyejukan pada otak. Emosi-emosi positif seperti kegembiraan dan kegirangan didorong oleh kesan permanasan dalam otak dan sebaliknya. Dalam konteks yang lain, ekspresi muka ditunjukkan tidak semestinya merupakan petunjuk sakti emosi yang dialami pada waktu tersebut. Hal ini kerana wajah yang dipaparkan turut merupakan salah satu saluran interaksi sesama individu dan kami bukannya gembira setiap kali kami senyum pada orang lain.

 

Akhir kata, kuliah ini telah banyak membuka minda saya tentang emosi dan ekspresi pada muka. Pemerhatian yang teliti amat diperlukan supaya tekaan perasaan dalaman seseorang itu dapat dibuat dengan tepat dan saksama dan seterusnya memahami emosi yang dialami pada saat  tersebut. Mahupun sesetengah emosi telah dikatakan diwarisi daripada generasi yang lalu, namun kita masih boleh mengawalkannya supaya ia dapat dipaparkan dengan cara yang betul dan sesuai. Aspek ini sangat penting bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk kita. Kita juga akan mendapati bahawa kebanyakan emosi akan ditunjukkan apabila dicetuskan oleh faktor di sekeliling kita dan kepelbagaiannya bertambah sepanjang perkembangan serta pembangunan nilai kita.