Saturday 22 January 2011

A134166 NOORHASNIYAH MD RODZEE TAJUK 4 EMOSI NEGATIF

Syukur alhmdulillah pada minggu ini merupakan penulisan jurnal saya yang keempat. Sekejap sahaja masa berlalu. Tajuk kuliah pada minggu ini berlawanan dengan tajuk kuliah pada minggu lepas. Tajuk kuliah pada minggu ini iaitu bersamaan dengan 18 Januari 2011, adalah "EMOSI NEGATIF". Emosi negatif ini selalunya dikaitkan dengan perasaan takut, malu, sedih dan marah. Saya yakin semestinya setiap orang pernah merasai emosi-emosi negatif seperti ini dalam hidup mereka.

Emosi negatif pertama yang diajar oleh Dr. Zamri ialah emosi takut. Takut ini merupakan tindak balas emosi terhadap situasi bahaya, berkaitan dengan emosi bimbang. Takut juga adalah mekanisma untuk kelangsungan hidup dan biasanya berlaku apabila mempunyai tindak balas yang spesifik. Manusia senang terpengaruh oleh rasa takut menyebabkan mereka menuruti kehendak orang lain tanpa memikirkan tentang keselamatan diri. Antara sebab-sebab yang menyebabkan takut ini adalah kejadian yang memberikan kesan trauma. Contohnya pada masa kini kita boleh lihat ramai kanak-kanak yang mudah menjadi takut selepas mereka menonton cerita yang berunsurkan seram. Tidak dinafikan saya juga boleh dikategorikan dalam golongan seperti mereka kerana saya sendiri menjadi takut selepas menonton cerita-cerita seram. Ternyata emosi takut pasti menguasai diri sendiri. Kebiasaannya, kita sendiri boleh melihat ekspresi muka seseorang apabila takut seperti mata terbuka luas, anak mata berkedip, bibir dipanjangkan, bibir atas naik, dan kelihatan kening ke dalam.

Mengimbau kembali pengalaman "takut" yang pernah terjadi dalam hidup saya memang amat menakutkan bagi saya. Sehingga sekarang masih lagi teringat peristiwa tersebut. Peristiwa ini berlaku ketika saya berumur 15 tahun. Dulu saya memang amat gemar berjaga malam sehingga hampir ke pukul 4.00 pagi. Kadang-kadang saya berjaga untuk belajar dan kadang-kadang kerana tidak dapat tidur. Pada suatu malam, saya membuat "homework" pada pukul 3.00 pagi. Pada ketika itu, tingkap di dalam bilik saya terbuka kerana kebiasaannya saya akan membuka tingkap bagi mendapat udara yang sejuk dari luar. Secara tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Sepantas kilat saya berlari menuju ke tingkap. Ketika hendak menutup tingkap,tiba-tiba saya terpandang kelibat yang kelihatan seperti seolah-olah manusia yang berpakaian berwarna putih dan berambut panjang. Memang amat menakutkan! Dalam fikiran saya pada ketika itu hanya satu perkataan iaitu "HANTU". Dengan pantasnya saya menutup tingkap dan menarik tirai. Sejurus itu saya terus berlari ke katil, lantas menutup muka dengan selimut dan terus membaca semua ayat-ayat al-quran yang saya ingat pada saat itu. Nasib saya baik kerana pada malam itu saya tidak diganggu atau bermimpi benda-benda pelik. Sememangnya peristiwa ini memang amat menakutkan bagi saya.

Emosi negatif yang kedua ialah malu. Malu boleh didefinisikan sebagai perasaan apabila melakukan sesuatu yang tidak diterima dalam pekerjaan atau masyarakat. Ia biasanya melibatkan air muka atau maruah yang bergantung kepada situasi yang dialami. Perasaan malu terbahagi kepada dua iaitu malu professional   dan malu personal. Malu professional ini melibatkan urusan yang berkaitan dengan pekerjaan. Contohnya seorang guru ditangkap kerana mencuri harta benda sekolah. Kejadian ini boleh menyebabkan masyarakat memandang serong kepadanya dan turut menjatuhkan maruahnya juga. Malu personal pula bermaksud malu apabila perhatian orang lain bertumpu kepada hal-hal peribadi seperti kesilapan diri sendiri. Contohnya seperti memakai baju terkalih, memakai kasut yang berlainan pasangannya, jatuh tangga dan sebagainya. Apabila seseorang mengalami malu personal, ia akan diikuti dengan tanda-tanda seperti tersipu-sipu, berpeluh dan gementar.

Selain itu, emosi negatif yang ketiga ialah sedih. Sedih ini mengambarkan perasaan kerugian dan kehilangan. Kebiasaannya kita sendiri boleh meramal seseorang itu tengah bersedih. Contohnya, seseorang itu akan menjadi pendiam, tidak bersemangat, dan suka mengasingkan diri. Bercerita mengenai sedih, secara tiba-tiba saya teringat kesedihan yang dialami oleh ahli keluarga kawan iaitu yang bernama Nur Syahirah. Kami memang agak rapat sejak dibangku sekolah lagi. Selepas SPM, dia mendapat tawaran ke Institut Perguruan di Pulau Pinang manakala saya pula meneruskan pengajian di Kolej Matrikulasi di Perak. Baru-baru ini saya ada mendapat satu mesej yang agak panjang yang menyatakan "Syahirah mengalami kemalangan pada petang semalam bersama ayahnya ketika dalam perjalanan pulang ke Institut Perguruan. Mereka menaiki motosikal. Motosikal mereka dilanggar oleh sebuah lori. Ayahnya meninggal ditempat kejadian manakala Syahirah sekarang terlantar di wad ICU. Keadaannya agak kritikal. Terdapat darah beku dalam kepalanya, kaki kanannya patah, kedua-dua buah pinggangnya rosak dan tulang pinggulnya patah..harap doa kalian berterusan agar Tuhan memberi dia kekuatan dan sembuh seperti sedia kala..". Saya rasa hilang semangat sejurus membaca mesej yang dihantar daripada rakan saya itu. Pada cuti hujung minggu, saya pulang ke kampung dan pergi melihat keadaannya. Saya tidak dapat menahan air mata ini apabila melihat keadaannya. Ibunya hanya mampu menangis. Syahirah merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya semuanya masih kecil. Ibunya pula tidak bekerja. Saya amat sedih melihat kekuatan ibunya menghadapi saat-saat sebegini. Semoga disebalik kejadian terselindung seribu hikmah yang tersembunyi. Buat sahabatku Syahirah kuatknlah dirimu, dan bangunlah dari lenamu yang panjang,doa ku panjatkan semoga dipermudahkn proses penyembuhnmu dan kembali seperti sedia kala..tabahlah Syahirah…

Emosi negatif terakhir ialah marah. Emosi marah ini adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan, persepsi adanya penderitaan atau ketegangan ataupun ancaman. Ekspresi marah boleh ditunjukkan secara aktif dan pasif. Bagi secara aktif ,emosi marah ini dilakukan secara verbal ataupun fizikal seperti bergaduh, bertumbuk dan sebagainya manakala bagi secara pasif pula ,emosi marah ini dapat ditunjukkan melalui riak muka yang garang ataupun perwatakannya berubah menjadi pendiam. Emosi marah juga boleh dialami hasil daripada rasa simpati. Tanda-tanda marah yang pasif ialah merajuk diam, perilaku pasif tapi dalam keadaan agresif, permusuhan dan ketegangan. Tanda-tanda marah yang aktif ialah dengan menggunakan perlakuan atau luahan perkataan yang kasar kepada target ( orang yang dimarahi).

Kesimpulannya, emosi-emosi negatif seperti marah, sedih, malu dan takut memang pernah dirasai dalam hidup setiap orang. Oleh itu, gembira adalah salah satu cara untuk mengembalikan semula perasaan yang normal pada setiap orang itu. Setakat ini sahaja dulu coretan saya, semoga bertemu lagi pada kuliah yang akan datang. InsyaAllah…J


No comments:

Post a Comment