Thursday 20 January 2011

A128608 HAZWANI MOHAMAD TAJUK 4 PEMBELAJARAN EMOSI NEGATIF SAYA

Pada 18 Januari 2011, pembelajaran tentang emosi negatif telah memberi banyak pengajaran yang bermakna kepada saya untuk hari tersebut. Apabila terdengar ayat emosi negatif semestinya saya akan membayangkan perkara-perkara yang berlawanan dengan emosi positif yang dipelajari pada minggu sebelumnya contohnya perkara yang akan membuat saya rasa marah, geram, menyampah dan sebagainya. Ternyata apa yang saya bayangkan itu sangat tepat dengan apa yang terpampang di slaid.

Emosi negatif terbahagi kepada empat iaitu takut, malu, sedih dan marah.

Takut dapat didefinisikan sebagai tindak balas emosi terhadap situasi bahaya dan sangat berkaitan dengan bimbang. Terdapat dua punca perasaan takut iaitu kejadian yang menyebabkan trauma dan dipengaruhi oleh perkara atau konsep yang abstrak.

Contoh kejadian yang menyebabkan trauma terlalu banyak tetapi dengan sukacitanya saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai contoh kejadian yang telah menyebabkan saya trauma terhadap lori-lori besar di jalan raya sehingga hari ini. Pernah suatu hari saya menunggang motorsikal berseorangan ke kedai untuk membeli barang keperluan. Sampai di persimpangan jalan yang mempunyai lampu isyarat yang menandakan lampu merah, saya berhenti seperti pemandu-pemandu yang lain. Sementara saya menungu lampu isyarat berubah dari merah ke hijau, saya perasan lampu isyarat di simpang kanan saya telah berubah hijau akan tetapi sebuah motorsikal yang dipandu oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an masih tidak bergerak dan terdapat sebuah lori besar di belakangnya. Kemungkinan besar pemandu lori tersebut tidak perasan kehadiran motorsiakl yang kecil di depannya. Dengan tergesa-gesa tanpa menyedari ada motorsikal di hadapan lori tersebut, pemandu lori terus bergerak maju ke hadapan dan menggilis penunggang motorsikal terbabit. Penunggang tersebut tersepit di antara tayar tersebut. Pemandu lori yang perasan sesuatu yang tidak kena memberhentikan lorinya dan menjenguk keluar ke bhagian bawah lorinya. Dia cuba mengeluarkan lelaki tersebut dari tayar tetapi tidak berjaya. Akhirnya pemandu lori tersebut mengambil keputusan untuk memandu kebelakang sedikit lorinya. Sebaik sahaja lori itu bergerak ke belakang, penunggang itu jatuh ke jalan dengan darah memancut-mancut. Saya hamper pitam melihat darah tersebut, tetapi saya gagahkan diri meneruskan perjalanan saya. Saya tidak berhenti untuk menolong kerana saya tidak mampu berbuat apa-apa dan keadaan saya yang lemah semangat ketika itu tetapi saya tetap berdoa supaya penunggang tersebut masih selamat. Sehingga kini apabila saya berhenti di lampu isyarat saya akan berada di belakang sekali mengikut urutan.

Manakala contoh bagi perkara atau konsep yang abstrak pula adalah takut dengan kritikan orang sekeliling. Saya mempunyai seorang kawan yang sangat gemar menggayakan tudung dan selendang fesyen terkini setiap kali ke kelas. Malangnya pada suatu hari dia telah menggayakan satu selendang yang terbaru yang lain daripada lain tetapi nampak seakan pelik. Di tambahkan dengan aksesori yang sarat dan solekan yang tebal. Secara kebetulan di dalam kelas saya terdapat seorang pelajar lelaki yang terlalu berterus terang dan tidak berkalis apabila mengutuk sesorang dan dia telah mengutuk dan mengkritikan penampilan kawan saya. Akibat kejadian tersebut dia hilang keyakinan diri untuk menggayakan fesyen terkini kerana takut dengan kritikan orang lain tentang dirinya.

Bagi emosi malu pula dapat didefinisikan sebagai emosi yng dialami seseorang apabila melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima dan melibatkan air muka dan maruah seseorang.

Simptom-simptom sesorang itu mengalami emosi malu ialah tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergagap-gagap dan gelisah.

Bagi emosi sedih bermaksud perasaan kerugian atau kehilangan. Emosi sedih sering membawa kepada kemurungan. Tanda-tanda sedih adalah sayu, murung, muram dan suram.

Marah pula adalah tindak balas emosi terhadap kesakitan, persepsi penderitaan dan ketegangan. Marah terbahagi kepada dua, iaitu pasif dan aktif.

Tanda-tanda marah yang pasif ialah merajuk diam, perilaku pasif tapi dalam keadaan agresif, permusuhan dan ketegangan.

Tanda-tanda marah yang aktif ialah dengan menggunakan perlakuan atau luahan perkataan yang kasar kepada target ( orang yang dimarahi).

 


No comments:

Post a Comment