Saturday 30 July 2011

NUR SYAZZUAN BIN SAIDON A131999 LJ01 EMOSI DAN UCAPAN


A131999 Nur Syazzuan B. Saidon
LJ 01 : Emosi dan ucapan

Pada 27 Julai 2011, buat pertama kali, saya didedahkan dengan kuliah secara formal berkaitan dengan pengurusan emosi. Apa yang ingin saya coretkan di sini bukanlah perkara yang terlalu akademik. Tetapi saya ingin berkongsi pendapat dan pandangan berkaitan emosi ketika memberi ucapan dan emosi orang yang mendengar ucapan. Saya ingin meluahkan pendapat mengenai perkara ini selepas melihat keadaan sekeliling saya, semasa pensyarah memanggil beberapa orang pelajar untuk memberikan ucapan mereka di khalayak ramai mengenai emosi, selepas tamat kuliah. Saya melihat, bagi mereka yang sudah mempunyai pengalaman, perkara ini bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Namun, bagi orang yang pertama kali menyentuh mikrofon, detik itu merupakan detik yang sangat mendebarkan, memalukan serta saat yang akan dikenang sepanjang hayat. Itu untuk mereka yang memberi ucapan. Berbeza dengan mereka yang sekadar duduk dan mendengar. Golongan ini saya lihat, lebih gemar memberikan perhatian mereka kepada perkara-perkara lain sekiranya ucapan seseorang itu dianggap membosankan. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada ucapan seperti ucapan yang memalukan seperti tergagap-gagap, atau ucapan yang sangat menarik perhatian seperti isu kontroversi dan pengalaman hidup yang menarik.
            Tetapi, apa yang saya ingin kupas bukanlah seperti situasi di atas. Tetapi, saya lebih berminat untuk mengupas masalah orang yang suka cakap di belakang. Maksud saya bukanlah orang yang mengumpat, tetapi orang yang sangat aktif bercakap, memperolokkan orang yang sedang bercakap di hadapan, tetapi bila disuruh memberi ucapan, dialah orang pertama yang menundukkan kepala. Perkara ini merupakan satu norma dalam kalangan pelajar khususnya pelajar melayu. Bukan ingin menimbulkan isu yang berbaur perkauman, tapi ini hanyalah berdasarkan pemerhatian saya secara kasar sahaja. Namun, apakah yang membuatkan golongan sebegini begitu bising di belakang tetapi menjadi penakut untuk bercakap di hadapan? Adakah perbezaan emosi memainkan peranan? Hal inilah yang bakal saya kupas dalam jurnal pertama.
            Yang pertama, mari kita lihat apakah yang terjadi semasa seseorang itu dipanggil untuk memberi ucapan. Seperti yang kita telah maklum, emosi terdiri daripada 4 komponen iaitu afektif, proses kognitif, perubahan fisiologi dan juga melibatkan tingkah laku. Apabila seseorang dipanggil untuk memberi ucapan di khalayak ramai buat pertama kalinya, sudah semestinya, beliau akan merasa takut. Justeru, ianya telah mempengaruhi aspek emosi yang pertama iaitu afektif atau perasaan. Apabila perasaan takut mula menguasai diri seseorang, perkara ini akan menjejaskan komponen emosi yang kedua iaitu proses kognitif. Hal ini menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan pantas serta menyusun susunan ayat yang ingin diucapkan. Hasilnya, kita mendengar ucapan yang tergagap-gagap. Apabila seseorang berasa takut, akan berlaku perubahan fisiologi untuk menyiapkan diri dengan apa yang bakal dihadapi. Peningkatan hormon adrenalin ataupun 'adrenaline rush' akan mengaktifkan system saraf simpatetik, sekali gus menyebabkan seseorang berdebar-debar. Perubahan hormon ini turut menyebabkan kapilari darah di kawasan yang berdekatan dengan kulit mengecut, seterusnya menjadikan seseorang itu kelihatan pucat. Semua perubahan ini dapat dilihat dalam orang yang pertama kali bercakap di khalayak ramai. Perubahan tingkah laku turut dilihat apabila seseorang itu sedang takut. Tingkah laku yang kurang manis seperti menggigit jari ketika memberikan ucapan, menggoyangkan tangan dengan kuat dan sebagainya adalah antara perubahan tingkah laku yang dapat dilihat. Itu bagi orang yang pertama kali memberikan ucapan. Bagi mereka yang sudah berpengalaman, mereka menganggap bercakap di khalayak ramai adalah satu perkara yang biasa bagi mereka. Justeru, apabila dipanggil memberikan ucapan, mereka tidak mengalami perubahan perasaan yang ketara. Hal ini secara langsung tidak menjejaskan proses kognitif mereka, menyebabkan mereka dapat berfikir dan menyampaikan ayat dalam sususan yang baik. Perubahan fisiologi pula tidak banyak yang berlaku. Contohnya, mereka mungkin tidak rasa begitu berdebar dan muka mereka mungkin tidak sebegitu pucat berbanding dengan orang yang pertama kali menyentuh mikrofon. Apabila mereka mampu menenangkan diri, maka tidak banyak perubahan tingkah laku yang dilakukan. Mereka ini sudah mampu untuk mengawal bahasa tubuh badan mereka untuk disesuaikan dengan gaya percakapan mereka. Ini adalah perubahan yang mempengaruhi emosi seseorang ketika berucap.

           
Bagaimana pula dengan golongan yang pandai tunjuk berani pula? Saya rasa ini merupakan satu fenomena yang sangat menarik. Bagaimana seorang yang begitu hebat berkata-kata dibelakang, tiba-tiba diam, kelu seribu bahasa di khalayak ramai. Dalam situasi selesa, golongan ini berada dalam keadaan yang tenang. Maka, mereka tidak mengalami perubahan proses kognitif yang menyebabkan mereka begitu hebat berkata-kata. Pendek cerita, mereka tidak mengalami sebarang perubahan emosi yang ketara. Golongan ini juga begitu yakin yang nama mereka tidak akan dipanggil oleh pensyarah, menambahkan lagi keegoan mereka ketika di belakang. Namun, sejurus sahaja nama mereka dipanggil oleh pensyarah, perasaan takut mula menguasai diri. Disini, komponen afektif mereka telah dipengaruhi. Proses bagaimana mereka boleh terdiam ketika berdiri di hadapan, lebih kurang sama dengan apa yang telah saya jelaskan dalam proses untuk orang yang pertama kali memberi ucapan.

            Justeru, apa yang dapat saya simpulkan, adalah perlu untuk kita menghormati orang memberi ucapan di hadapan. Meskipun mereka tergagap-gagap, janganlah kita mentertawakan mereka, sebaliknya kita harus memberikan mereka semangat untuk mengasah lagi bakat berucap di khalayak ramai. Kita seharusnya memahami dan membantu mereka mengatasi masalah ini. Sejujurnya, adalah sesuatu yang sangat menyakitkan hati apabila orang tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya ketika anda memberikan ucapan. Anda akan merasakan diri anda seperti tidak dihargai dan kehadiran anda adalah sia-sia. Oleh yang demikian, sentiasa sematkan di dalam hati, untuk sentiasa menghormati orang yang memberikan ucapan di hadapan. Bukan mudah untuk seseorang memberanikan diri berucap di khalayak ramai. Perkara ini memerlukan azam, semangat dan juga latihan yang mengambil masa yang lama untuk diasah.
Dan bagi mereka yang berasa malu dengan kejadian ketika pertama kali memberikan ucapan, jangan mudah mengalah. Anggaplah ini sebagai satu cabaran buat diri anda untuk memperbaiki kelemahan diri anda. Anda seharusnya ingat, usaha untuk mengasah bakat berucap di khalayak ramai bukanlah perkara yang mudah serta memakan masa yang lama, untuk anda belajar teknik-teknik berucap khususnya teknik mengawal emosi. Oleh yang demikian, berusahalah untuk memantapkan lagi skil pengucapan umum, kerana ianya bukanlah satu kerugian besar, sebaliknya ianya adalah nikmat yang anda harus syukuri. Semua orang boleh bercakap, tapi tidak semua orang mampu bercakap di khalayak ramai. Juga, dengan kata-kata, anda mampu menguasai dunia.
Akhir kata, apa yang penting semasa berucap adalah pengawalan emosi. Oleh itu, orang yang memberi ucapan dengan baik, adalah orang yang mampu mengawal emosinya. Jadi, moral of the story, kawal emosi anda, insyaALLAH, anda mampu untuk menjadi seorang public speaker yang baik.
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 




No comments:

Post a Comment