Wednesday 26 January 2011

A128608 HAZWANI BINTI MOHAMAD TAJUK 4 PEMBELAJARAN TEORI ARAS ADAPTASI SAYA

Pada 25 Januari 2011, pembelajaran tentang teori aras adaptasi telah menambah pengetahuan saya dalam bidang pengurusan emosi. Terdapat dua teori yang dipelajari iaitu Teori Aras Adaptasi dan Teori Proses Berlawanan Solomon.

Sebagai permulaan, penjelasan tentang Teori Aras Adaptasi. Konsep asas teori ini ialah bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan berdasarkan aras adaptasi semasa.

Aras adaptasi tidak tetap dan sama sepanjang masa tetapi akan berubah mengikut situasi yang berbeza.

Contoh bagi Teori Aras Adaptasi ialah perbezaan aras adaptasi di antara seorang kanak-kanak perempuan dan seorang remaja perempuan. Pada zaman kanak-kanak seorang perempuan, naluri untuk memiliki anak patung 'Barbie', peralatan permainan masak-masak, patung beruang, dan sebagainya lebih tinggi akan tetapi aras adaptasi itu akan berubah apabila menuju ke zaman remaja bagi seorang perempuan. Ketika di zaman remaja, seorang perempuan lebih cenderung kepada ingin memiliki alat solek, pakaian, kasut, beg yang mahal dan mengikut arus fesyen masa kini. Selain itu terdapat banyak contoh yang dapat dikaitkan dengan teori aras adaptasi iaitu perubahan ketika dari alam belajar ke alam pekerjaan. Seperti contoh yang diberi Prof. Ahmad Zamri, ketika di zaman universiti seorang pelajar akan gembira bila mendapat RM2000 setiap bulan akan tetapi bila masuk ke alam pekerjaan, wang RM2000 tidak akan cukup lagi untuk menampung perbelanjaan seharian dan menampung kehidupan dan menginginkan wang yang lebih daripada RM2000 sekurang-kurangnya RM3500 untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta, bil elektrik, air, telefon dan sebagainya sedangkan di universiti tidak perlu fikir tentang semua perbelanjaan itu.

Kedua-dua contoh tentang Teori Aras Adaptasi itu dapat disimpulkan bahawa setiap orang akan mengalami perubahan aras adaptasi tersebut mengikut faktor yang mempengaruhi situasi dan keadaan tersebut.

Penjelasan tentang Teori Proses Berlawanan Solomon pula ialah emosi mepunyai pasangan. Apabila satu emosi dialami, 'pasangan'nya akan di 'tahan'. Bukankah pelik ayat tersebut dan amat sukar untuk difahami. Tetapi apabila diberikan contoh barulah saya fahami ayat tersebut. Sebenarnya ayat itu menerangkan bahawa setiap emosi yang terbit mempunyai pasangan. Contohnya penagih dadah yang ketagih dadah. Dia mengambil dadah tapi dalam keadaan kesakitan akan tetapi pasangan kesakitan tersebut adalah keseronokan apabila khayal dengan kandungan dadah tersebut. Bagi ayat 'apabila satu emosi dialami pasangannya akan ditahan' pula, contohnya apabila penagih dadah sedang mengambil dadah, dia akan berasa kesakitan dahulu sebelum keseronokan. Perkataan 'tahan' itu bermaksud 'pendam'.

Teori ini juga mempunyai dua keadaan iaitu awal dan berlawanan. Apabila mengulangi sesuatu pengalaman emosi, secara tidak langsung akan meningkatkan kekuatan relatif emosi yang berlawanan. Contohnya ialah seperti pengalaman yang saya sendiri alami. Ketika di sekolah menengah, saya merupakan seorang pengawas. Pada mulanya saya Cuma pengawas biasa akan tetapi saya dipilih sebagai pengawas untuk menyandang tugas menjadi pengerusi majlis setiap kali perhimpunan. Pada mulanya saya menolak kerana saya mudah berasa cemas, terketar-ketar dan kelu untuk berkata apabila berhadapan dengan orang ramai. Saya dipaksa untuk menerima tugas tersebut dan akhirnya dengan keadaan terpakasa saya menerima tugas tersebut. Pada mulanya saya sering kali tersalah skrip, tersilap sebut, dan menggigil memegang skrip. Tetapi setelah setiap minggu saya berdiri di khalayak ramai, saya sudah biasa dan dapat beradaptasi dengan keadaan sekeliling. Tiada lagi suara terketar-ketar, tangan menggigil malah saya berdiri dengan bangga dan bersuara lantang ketika menjadi pengerusi majlis. Bahkan saya bukan sahaja menjadi pengerusi majlis di waktu perhimpunan tetapi saya sudah dapat menyertai pelbagai pertandingan yang perlu berhadapan dengan orang ramai contohnya Pesta Pantun, Syarahan dan keaktifan itu telah membuatkan saya akhirnya layak dipilih sebagai seorang Ketua Pengawas. Benarlah kata orang, Alah bisa tegal biasa. Emosi awal saya adalah takut manakala emosi berlawanan adalah berani!


No comments:

Post a Comment