Friday 8 October 2010

A133579 AHMAD SHUKERY BIN AZIZAN LJ11


Hari demi hari kini kian berlalu. Tidak ku sangka, hampir beberapa minggu lagi aku akan tempuhi peperiksaan akhir semester 1 juga peperiksaan akhir pertama sepanjang aku berada di ukm ini. Dan tanpa aku sedari juga, kini kuliah pengurusan emosi aku sudah masuk tajuk yang kedua terakhir iaitu Emosi dalam keluarga dan Masyarakat. Dan kali Ini pula mungkin merupakan jurnal ku yang terakhir untuk kuliah pengurusan emosi dalam semester ini setelah beberapa minggu berhempas pulas membuat jurnal untuk setiap minggu. Tajuk kuliah hari ini agak menarik dan input yang aku perolehi pada kuliah kali ini aku akan cuba terapkan dalam diri aku dan kepada keluarga juga masyarakat setempat.
Dalam sesebuah keluarga, perlu adanya pelbagai elemen-elemen penting bagi mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Setiap orang boleh membina keluarga, tetapi adakah setiap orang juga mampu membina keluarga bahagia atau dalam islam di panggil keluarga sakinah? Sudah pasti tidak. Sekarang ini sahaja kita melihat kes cerai-berai banyak berlaku di Malaysia ini. Adakah ini di panggiil keluarga bahagia? Jika penceraian berlaku, apakah nasib anak-anak? Jika bercerai secara aman, mungkin kebarangkalian nasib anak-anak akan terbela, namun jika tidak, maka kita sendiri akan tahu kesannya kepada anak-anak ini. Menurut Hasnan Kasan (2006), keluarga bahagia adalah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong menolong, berkasih sayang, bahagia membahagiakan dan damai mendamaikan antara satu sama lain. Walaubagaimana pun, elemen paling penting dalam menjadi keluarga yang bahagia ialah mengenai sudut keagamaan. Jika keluarga ini terbina asas dari Islam contohnya, maka akan lahirlah keluarga bahagia. Ini kerana dalam islam telah menerapkan nilai-nilai murni juga menerangkan tanggungjawab suami dan isteri dalam menguruskan rumahtangga. Malah, islam juga menekankan aspek emosi supaya keluarga yang terbina tidak suram dan layu di pertengahan jalan.
Jika emosi ini tidak dapat di kawal dengan baik dan bijaksana, maka peluang untuk membina keluarga bahagia akan pudar malah mungkin akan roboh di tengah jalan. Aku teringat satu artikel yang aku pernah baca mengenai seorang suami. Suami ini seorang yang panas baran dan memiliki akhlak yang buruk namun isterinya seorang yang penyabar juga solehah. Isterinya tetap sabar dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan tulus meskipun hampir setiap hari di maki, di pukul dan sebagainya. Sehingga pada suatu hari, ketika suami ini pulang ke rumah dalam keadaan marah, isterinya segera untuk menyambutnya di pintu. Namun malangnya, suami ini pada asalnya hanya mahu menendang pintu rumah, secara tidak tersengaja tertendang isterinya yang sarat mengandung. Akhirnya isterinya meninggal dunia dan kandungannya bernasib baik kerana terselamat. Suami ini sangat menyesal dan akhirnya berubah. Namun segalanya telah terlambat. Berdasarkan artikel ini, kita dapat lihat bagaimana jika kita tidak dapat mengawal emosi terutama yang buruk dengan baik, kita pasti akan menyesal yang teramat sangat pada suatu hari. Jadi, suami dan isteri dalam hal ini perlu bijak dalam menguruskan emosi sendiri juga memahami emosi pasangan masing-masing.
Kuliah kali ini juga turut membincangkan tentang pengurusan emosi dengan masyarakat. Dalam Al-Quran, Allah telah berfirman, "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal",(Surah Al-Hujuraat: 13). Allah telah memberitahu kita (umat islam) bahawa Dia telah menciptakan manusia berkaum-kaum supaya saling kenal mengenali. Jadi, kita sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat, perlu bijak bercampur dengan masyarakat serta menguruskan emosi kita dengan masyarakat sekeliling. Terutama sekali bagi penduduk Malaysia ini yang penuh dengan variasi kaum. Jadi, bagaimana untuk kita bercampur dengan masyarakat? Kita perlu menunjukkan ciri-ciri yang positif juga beradab ketika bergaul dengan masyarakat. Bagi umat islam, Rasulullah s.a.w telah mengajar kita dalam hidup bermasyarakat menerusi hadis baginda "Wahai manusia, berikanlah salam, beri lah makan, jalinkanlah silaturrahim solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera", ( Riwayat Ahmad no 24513, Ibn Majah no 3374,al-Baihaqi dalam al-Syu'ab no 8490 ).  . Menerusi hadis ini, jelas menunjukkan islam mementingkan perhubungan yang baik dalam bermasyarakat khususnya.
Kesimpulannya, apa yang aku peroleh dari kuliah kali ini lebih kepada tentang bagaimana untuk kita menguruskan emosi kita juga peranan dalam keluarga serta masyarakat. Insya'Allah aku akan cuba praktikan dalam kehidupan seharian juga akan aku simpan ilmu ini untuk masa hadapan dalam membina keluarga aku sendiri pada suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment