Friday 1 October 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ10

Sebelum kuliah bermula pada minggu ini, pensyarah telah memperkenalkan kami kepada ujian ekspresi muka. Ujian tersebut telah menyedarkan kita bahawa sungguhpun ekspresi muka merupakan tanda emosi, terdapat ekspresi muka yang kurang menonjol dan susah diperhatikan kerana ekspresi muka setiap orang adalah tidak sama. Ujian ini juga membantu kita dalam memahami kuliah kita pada minggu ini, iaitu Kebijaksanaan Emosi.

Istilah 'pengurusan emosi' merujuk kepada cara kita menguruskan dan mempengaruhi perasaan dan ekspresi sendiri di samping mempengaruhi orang lain, manakala istilah 'kebijaksanaan emosi' pula bermaksud kebolehan seseorang untuk mengesan perasaan dan emosi diri dan orang lain dan menggunakan ciri-ciri tersebut untuk membimbing pertimbangan dan tindakan orang tersebut. Ia adalah tidak sama dengan EQ atau 'Emotional Quotient' yang mengukur kompetensi dan kemahiran seseorang untuk memandu prestasi dalan bidang pengurusan, dan adalah lebih berkesan daripada EQ dalam meramal kejayaan seseorang dalam kerjayanya.

Konsep Kebijaksanaan Emosi diperkenalkan oleh Daniel Goleman yang membahagikan pengukuran konsep ini kepada 4 bahagian, iaitu kesedaran diri (self-awareness), pengurusan diri (self-management), kesedaran sosial (social awareness) dan pengurusan hubungan (relationship management). Kesedaran diri merupakan kebolehan diri untuk membaca emosi seseorang dan menyedari akibat pencetusan emosi itu di samping menggunakan perasaan tersebut untuk membimbing diri dalam membuat keputusan. Pengurusan diri bermaksud kebolehan mengawal emosi dan tindak balas diri serta menyesuaikan diri dengan perubahan sekeliling. Contohnya, kita harus menyesuaikan diri apabila tinggal dalam sesuatu kawasan yang baru dengan bersuai kenal dengan jiran supaya tidak berasa terlalu sepi.

Kesedaran sosial ialah kebolehan seseorang merasa, memahami dan bertindak balas kepada emosi seseorang dalam menjalankan hubungan sosial. Hal ini adalah biasa di kalangan kaunselor, di mana mereka menggunakan unsur empati untuk merasa emosi seseorang dan memahami emosi itu untuk membantu klien mereka dalam pencarian penyelesaian masalah klien. Pengurusan hubungan pula menunjukkan kebolehan mengilhamkan, mempengaruhi dan mengembangkan potensi orang lain di samping menguruskan konflik. Unsur-unsur tersebut bukanlah diperoleh secara semula jadi, tetapi dipelajari dan mestilah dipraktikkan. Walaubagaimanapun, seseorang itu dilahirkan dengan kebijaksanaan emosi yang umum yang akan diacu pada masa kelak.

Kompetensi emosi pula merujuk kepada kemahiran seseorang menunjukkan emosi mereka. Seseorang yang berkompetensi emosi tidak akan menekan emosi mereka tetapi akan menunjukkan emosi mereka dalam kaedah yang tidak keterlaluan, justeru membantu dalam komunikasi dan kesihatan kerana stres akan dapat dielakkan.

Sungguhpun pengurusan emosi adalah keadaan yang biasa, terdapat sesetengah orang yang menghadapi masalah 'alexithymia' atau kekosongan emosi. Mereka tidak tahu apakah emosi yang sedang dialami diri dan tidak dapat menunjukkan emosi diri. Contohnya, seorang yang menghadapi masalah kekosongan emosi mungkin tidak terasa apa-apa apabila bertembung dengan penjenayah kerana tidak terasa takut. Oleh itu, masalah 'alexithymia' ini boleh menjadi bahaya bukan sahaja kerana seseorang memerlukan emosi takut untuk menyedarkan diri tentang bahaya, mereka juga harus memiliki perasaan empati dan simpati terhadap yang kurang bernasib baik.

Demikianlah akhirnya jurnal saya pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment