Wednesday 6 October 2010

A128123 Ruhil LJ11

Tajuk kuliah pada minggu ini ialah Mengurus Emosi Individu dan Keluarga dan Mengurus Emosi di Tempat Kerja dan Organisasi. Kuliah pada minggu ini lebih mudah difahami berbanding pada awal kuliah Pengurusan Emosi yang lebih banyak membincangkan mengenai teori.

Emosi merupakan pendorong kepada kita untuk melakukan sesuatu. Terdapat dua domain atau aspek emosi dalam perhubungan. Pertama ialah hubungan di tempat kerja atau organisasi dan kedua ialah hubungan peringkat keluarga atau masyarakat. Emosi di tempat kerja memainkan peranan yang penting. Antaranya ialah, emosi dapat mempengaruhi prestasi kerja. Emosi juga memainkan peranan penting dalam proses membuat keputusan. Jika seseorang itu tidak bijak untuk menguruskan emosi ketika membuat keputusan, kebarangkalian baginya untuk memilih keputusan yang salah adalah tinggi. Emosi juga memainkan peranan dalam penerimaan mesej daripada pengurusan.  Terdapat kaitan yang rapat antara emosi dan motivasi kerja. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan ini kerana ia berdasarkan pengalaman kerja saya dahulu. Saya merupakan seorang yang sukakan sesuatu yang baru dan suka bertemu dengan rakan yang baru. Semasa menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sempat menghabiskan masa bekerja di sebuah butik di Langkawi. Sepanjang bekerja saya gembira dapat belajar sesuatu yang baru seperti mengenali jenis mutiara dan batu seperti Tiger eye, Sandy moon, Delima dan lain-lain. Di samping itu, saya juga bertemu dan berkawan dengan pelancong dari pelbagai Negara seperti Eropah, China, jepun dan lain-lain. Saya sangat gembira dapat bekerja di butik tersebut  sehinggakan supervisor saya menyedari semakin hari jualan dan prestasi kerja  saya semakin meningkat dan dia gembira melihat saya melayan pelanggan yang datang. Semangat dan pujian yang di berikan oleh supervisor membuatkan saya termotivasi untuk meningkatkan prestasi kerja. Hal ini juga melibatkan emosi saya yang positif mempengaruhi saya untuk meningkatkan jualan di samping dapat menambahkan pengetahuan tentang negara lain melalui pelancong yang saya temui. Tambahan lagi, pekerjaan saya ketika itu menuntut saya sentiasa tersenyum dan bertindak positif kerana kita tahu bahawa pelanggan mesti diutamakan dan saya juga percaya dengan kata-kata bahawa  "A man without a smile must not open a shop".

Seterusnya, kandungan kuliah ini juga menyebut  terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita dalam menguruskan dan mengekspresi emosi mereka dan mereka harus bijak mengawal emosi tersebut demi kepentingan bersama. Wanita berkomunikasi untuk menjalinkan hubungan manakala lelaki berkomunikasi untuk melaporkan. Hal ini kerana terdapat unsur emosi dalam percakapan wanita dan golongan ini juga bijak membaca dan mengekspresi emosi. Manakala kaum lelaki kurang peka untuk membaca emosi wanita dan mereka sukar mengekspresikan emosi serta terlalu terbuka ketika berbicara. Lelaki kelihatan gagah berbanding wanita. Namun, kelemahan lelaki adalah air mata wanita kerana pada pandangan saya wanita bijak bermain dengan emosi mereka untuk mempengaruhi orang lain. Selain itu, cara kita menguruskan emosi juga di pengaruhi oleh budaya. Kita sebagai masyarakat timur lebih bersifat merendah diri dalam sesuatu hal berbanding masyarakat barat. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya  kita perlu mengadaptasi budaya yang berlainan ketika berada dalam kalangan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan agama.

Mengurus emosi individu dan keluarga amat penting untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia, melahirkan zuriat yang soleh dan mewujudkan masyarakat yang aman sentosa. Emosi suami, isteri dan anak-anak memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia. Setiap orang harus bijak menguruskan emosi.  Dalam hidup berkeluarga, setiap individu seharusnya sentiasa menunjukkan kasih sayang  dalam keluarga. Manakala sebagai ibu bapa pula seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Selanjutnya, dalam mengekspresikan emosi keluarga juga dapat di pecahkan kepada verbal dan non verbal seperti 'body language'. Namun, dalam berkomunikasi 'body language' juga seharusnya selaras dengan percakapan kita bagi memudahkan komunikasi sesama kita. Begitu juga dalam kehidupan bermasyarakat, kita seharusnya sentiasa menghormati masyarakat di sekeliling kita dan menjalin hubungan yang mesra. Sekian.

No comments:

Post a Comment