Wednesday 6 October 2010

A127070 SAKINAH BINTI NORZALI LJ11

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Dr. Zambri dan rakan-rakan seperjuangan. Pada minggu ini, kami telah diberi kuliah yang bertajuk  Mengurus Emosi dalam dari segi individu dan keluarga. Kuliah pada minggu ini membincangkan tentang cara-cara seseorang individu menguruskan emosi dalam institusi keluarga. Seperti mana yang kita sedia maklum, setiap individu perlu bijak menguruskan emosi untuk pelbagai kebaikan. Kebaikan tersebut ialah untuk menjamin keluarga yang bahagia, menangani emosi dalam keluarga, dan panduan ke arah keluarga bahagia.

            Dalam proses untuk menuju ke arah keluarga yang bahagia, kita biasanya akan menempuhi dua alam hubungan yang tidak lepas dari fitrah hidup semua manusia. Cinta dan perkahwinan adalah perkara penting yang akan kita tempuhi dalam menuju ke arah keluarga bahagia. Seperti pepatah yang pernah disebut, "Dictionary is the only place where divorce comes before marriage". Pepatah ini juga menunjukkan kepada kita bahawa tiada perpisahan yang akan wujud sebelum kebahagiaan sebuah keluarga. Menuru Hasnan Kasan (2006), konsep keluarga bahagia adalah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk saling tolong menolong, berkasih sayang, bahagia membahagiakan dan damai mendamaikan antara satu sama lain. Matlamat pembentukan keluarga bahagia adalah mencapai kebahagiaan, melahirkan anak yang soleh, mewujudkan masyarakat aman & sentosa, dan membentuk keluarga harmonis.

            Oleh itu, kita haruslah sentiasa bijak dalam menguruskan emosi dalam keluarga bagi menjamin kebahagian yang berkekalan. Setiap isi keluarga mempunyai emosi dan ia biasanya bergantung kepada situasi di rumah yang akan mencorak emosi setiap isi keluarga. Sekiranya emosi tidak dikawal dengan baik, maka, akan timbul pelbagai masalah yang akan meretakkan hubungan sesebuah institusi keluarga. Sebagai contoh, sekiranya suami marah, isteri biasanya akan cenderung untuk marah juga. Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang anak, saya mendapati bahawa, sebuah keluarga tidak akan aman sekiranya emosi ibu bapa tidak stabil. Hal ini kerana, anak-anak akan mendapat tempiasnya dan akan timbullah tekanan perasaan. Sebagai contoh, sekiranya ibu bapa saya bergaduh, saya akan menjadi sedih dan tertekan dengan keadaan tersebut. Oleh itu, sebagai ibu bapa, mereka harus sedar bahawa situasi tersebut tidak elok untuk anak-anak mereka. Langkah yang diambil oleh ibu bapa saya untuk duduk berbincang dengan baik, membolehkan masalah dan emosi negatif dapat dikawal dan mengelakkan berlakunya kesuraman perhubungan dalam sebuah keluarga.

            Seperti mana yang dijelaskan dalam kuliah, untuk mengawal emosi, seseiran individu perlu bersikap matang dalam pemikiran. Selain itu, mereka haruslah celik emosi dan mempunyai EQ yang tinggi supaya dapat menyedari manakah emosi yang harus dikawal dan dielakkan dalam menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Dalam kuliah pada kali ini juga, terdapat penerangan tentang penggunaan El dalam kehidupan keluarga. Sesebuah keluarga perlu mengaplikasikan El dalam kehidupan keluarga untuk pelbagai kebaikan iaitu dari segi  kesedaran diri, pengurusan diri (self-management), empati (social awareness), dan  pengurusan perhubungan (relationship management).

            Perkahwinan adalah suatu perkara yang sangat penting dalam hidup seseorang. Sebagai seorang suami atau isteri, kita akan memikul tanggungjawab yang berat untuk menjamin keluarga bahagia. Menurut Dr. Aisha Ramdan, cara terbaik untuk mendapatkan perkahwinan yang bahagia ialah dengan menganggap suami atau isteri kita sebagai saudara sesama Islam, tidak memegang anggapan yang melampau, jadi kawan baik bagi pasangan kita, jadikan diri seorang yang suka berlawak, beri kejutan terhadap pasangan, mengaku kesalahan diri, habiskan waktu bersama, dan juga tidak mengungkit kesalahan yang lepas. Keadaan ini sangat penting bagi memastikan hubungan perkahwinan mampu bertahan lama dan tidak timbulnya isu penceraian dalam rumah tangga.

            Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa setiap individu harus bijak dalam menguruskan emosi bagi memastikan kehidupan yang dilalui lebih berkualiti dan terjamin. Hal ini kerana, kebanyakan kes penceraian yang berlaku biasanya disebabkan oleh sikap sesetengah pihak yang tidak pandai menguruskan emosi. Tambahan lagi, kawalan emosi penting dalam institusi keluarga bagi mengelakkan berlakunya keruntuhan akhlak remaja yang sering tertekan dengan kehidupan di rumah dan seterusnya mencari insiatif luar bagi menghilangkan tekanan. Sekian.

 

 


No comments:

Post a Comment