Wednesday 6 October 2010

Mohd Akif Farhan Bin Ahmad Basri A126895 LJ12

"The sign of an intelligent people is their ability to control emotions by the application of resources," kata Marya Mannes, seorang penulis Amerika yang sangat terkenal pada zaman 90-an. Bagi saya, kata-kata ini bermaksud manusia yang mampu mengawal emosi kerana berfikiran rasional adalah manusia yang sangat bijak. Namun jika kebijaksanaan diukur dengan emosi, bolehkah kita katakan bahawa lelaki lebih bijak daripada wanita hanya kerana wanita lebih bersifat emosional? Bagi saya hal ini ada kebenarannya. Walaupun ada yang berfikiran adalah seksis untuk mengatakan lelaki lebih bijak daripada wanita, tetapi hakikatnya memang majoriti lelaki lebih pandai daripada wanita. Pengalaman saya di sekolah membuktikan hal ini. Pelajar lelaki yang kelihatan malas belajar dan nakal akan mendapat gred yang lebih tinggi daripada perempuan yang kelihatan rajin dan selalu menyiapkan kerja sekolah. Mungkin perbezaan antara rasionaliti dan emosionaliti adalah jawapan kepada hal ini.

 

Ibu bapa perlu pandai memainkan peranan melahirkan emosi positif dalam keluarga kerana emosi yang positif mewujudkan suasana keluarga yang harmoni. Arwah ayah saya, Ahmad Basri Md Yusoff merupakan seorang yang sangat mementingkan makan malam bersama. Apabila makan malam siap sahaja dihidangkan, beliau akan memanggil kami adik-beradik untuk makan bersama. Semasa saya kecil saya tidak mengerti mengapa perlu makan bersama semeja, sedangkan kita boleh mengambil makanan dan melakukan hal sendiri seperti menonton televisyen atau bermain komputer. Kini baru saya mengerti bahawa makan malam bersama boleh mewujudkan emosi positif dalam keluarga, seterusnya mewujudkan suasana yang sangat aman dan harmoni. Pada masa itulah seluruh keluarga akan bergelak ketawa mendengar kisah hidup ahli keluarga masing-masing. Emosi yang positif ini akan mengeratkan silaturrahim antara keluarga.

 

Arwah ayah saya juga pernah menekankan betapa pentingnya menghormati keputusan ahli keluarga yang lain. Saya masih ingat waktu saya masih bersekolah, ayah saya menghormati keputusan saya untuk mereka bentuk bilik saya sendiri, dan menjadikan saya pereka design untuk dinding ruang tamu dan dapur. Kepercayaan yang diberikan oleh arwah ayah saya telah melahirkan emosi yang positif dalam keluarga. Saya menjadi lebih yakin untuk melakukan sesuatu keputusan.

 

Ibu saya pula sangat mementingkan soal menghargai orang lain. Ucapan 'terima kasih' pada setiap pertolongan menjadi sesuatu yang wajib dalam keluarga kami. Kini baru saya mengerti, perkara-perkara kecil seperti ini boleh mewujudkan suasana keluarga yang harmoni kerana penglibatan emosi yang positif.   #

No comments:

Post a Comment