Thursday 30 September 2010

A133720 Nurul LJ10

             Kebijaksanaan Emosi merupakan tajuk yang dibincangkan dalam kuliah Pengurusan Emosi pada hari Rabu yang lepas. Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, kita seharusnya tahu apa yang dimaksudkan dengan  pengurusan emosi. Menurut Totterdell, pengurusan emosi merujuk kepada cara seseorang mengurus dan mempengaruhi perasaan dan ekspresi mereka sendiri dan juga orang lain.

 Sebagaimana yang kita sedia maklum, emosi seseorang dapat dilihat melalui mimik muka yang ditunjukkan dan juga intonasi suara yang dilontarkan. Saya berikan satu contoh yang paling dekat dengan saya iaitu kawan rapat saya. Pada suatu hari , dia menerima satu panggilan telefon yang mengatakan  bahawa abangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Matanya yang membesar dan mulutnya yang sedikit ternganga itu jelas menunjukkan yang dia begitu terkejut dengan berita yang baru disampaikan itu. Dengan melihat reaksi dan mimik muka yang ditunjukkan itu sudah  menjelaskan perasaannya ketika itu.

Selain itu, emosi juga boleh berubah mengikut situasi yang kita alami. Sebagai contoh, kita akan berasa gembira apabila mendapat hadiah daripada seseorang namun perasaan gembira itu boleh berubah menjadi marah apabila mendapati bahawa hadiah itu adalah seekor katak. Kita akan marah kerana merasakan diri kita telah  dipermainkan.

Satu kajian mendapati bahawa emosi ini lebih cenderung kepada wanita. Cuba kita lihat, wanita mudah menitiskan air mata jika mereka sedih namun lelaki tidak melakukan demikian walaupun mereka sedih. Mereka akan cuba menyembunyikan perasaan sedih itu dengan tidak mengalirkan air mata. Teringat saya akan kata-kata Prof. Zamri suatu ketika dulu. Beliau mengatakan bahawa air mata ibarat hujan bagi wanita namun bagi kaum lelaki ianya ibarat mutiara.

Untuk lebih memahami tajuk pada kali ini, kami telah diberikan kuiz yang menunjukkan ekspresi muka yang berlainan. Kuiz yang pertama amat mudah untuk mengesan riak wajah yang ditunjukkan tetapi kuiz yang kedua sedikit mengelirukan kerana riak muka yang ditunjukkn adalah hampir sama untuk semua elemen seperti marah, sedih, gembira, terkejut dan sebagainya. Di sinilah kita perlu bijak mentafsir riak wajah yang ditunjukkan untuk mengetahui perasaan dan emosi yang dialami seseorang ketika itu. Bahasa badan juga membantu dalam kita mengenal pasti emosi seseorang. Saya pernah melihat seorang perempuan yang sedang menunggu seseorang ketika saya makan bersama kawan-kawan di sebuah restoran. Gelagatnya ketika itu menarik perhatian saya. Perempuan itu asyik melihat jam di tangan dan dia tidak senang duduk di kerusinya. Air di dalam gelas sudah hampir separuh diminum. Daripada gelagatnya itu saya tahu bahawa dia resah kerana telah lama menunggu. Benarlah kata orang bahawa penantian adalah satu penyeksaan.

Kesimpulannya, kita haruslah bijak dalam mentafsir emosi seseorang dengan hanya melihat mimik muka dan intonasi suaranya. Justeru, kita akan lebih memahami diri seseorang terutamanya orang yang kita baru kenal.


No comments:

Post a Comment