Friday 3 September 2010

A133720 Nurul LJ07

Emosi dan ingatan merupakan tajuk kuliah pengurusan emosi pada minggu lepas. Pada permulaan kuliah, kami disajikan dengan satu video mengenai kejadian tsunami yang telah melanda pada tahun 2004. Walaupun kejadian itu telah berlaku hampir enam tahun, namun ianya masih segar dalam ingatan. Peristiwa itu bukan sahaja telah mengorbankan ribuan nyawa malah telah memusnahkan seluruh Bandar Acheh. Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa hilang tempat bergantung dan para penduduk hilang mata pencarian dalam sekelip mata. Peristiwa itu begitu menyayat hati dan pastinya meninggalkan kesan yang mendalam terutamanya bagi mereka yang mengalami sendiri peristiwa itu. Walaupun saya tidak mengalaminya, namun sebagai seorang yang berperikemanusiaan, saya turut merasai keperitan dan kesedihan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa tsunami.

Tajuk ini telah mengigatkan saya kepada peristiwa yang pernah saya alami bersama kawan-kawan ketika di tingkatan lima dulu. Sekolah saya telah mengadakan satu perkhemahan untuk pelajar-pelajar tingkatan lima yang bertempat di Agro Resort, Setiu. Memandangkan sekolah kami sekolah perempuan, segala persiapan seperti medirikan khemah dan mengangkat barang-barang perkhemahan terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan kaum adam. Hujan merupakan cabaran pertama yang terpaksa kami tempuhi kerana turun tanpa henti sesampainya kami di sana. Namun, ianya tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan aktiviti yang telah dirancang.

Aktiviti pada malam pertama telah mencabar keberanian kami sebagai kaum hawa yang sering dianggap lemah. Pada malam tersebut, kami telah mengadakan aktiviti 'night walk'. Seorang demi seorang dilepaskan di dalam hutan setiap dua minit. Perasaan saya ketika itu bercampur antara takut, berdebar dan teruja. Mana tidaknya, pertama kali berjalan seorang diri di dalam hutan pada pukul 1 pagi. Akhirnya, kami berjaya menghabiskan aktiviti itu pada pukul 3 pagi. Keesokannya, sekali lagi kami dicabar dengan aktiviti lasak iaitu 'jungle treking'. Beberapa buah gua telah kami terokai sepanjang aktiviti itu. Antaranya ialah Gua Tonggek, Gua Kura-kura dan Gua Tapak Gajah. Gua Tonggek agak sukar untuk dilalui kerana guanya agak sempit dan rendah. Kami terpaksa merangkak sepanjang melalui gua tersebut. Suasana di dalam hutan begitu mempesonakan dengan pelbagai flora dan fauna.

Kayak adalah aktiviti terakhir yang kami lakukan. Itu merupakan kali pertama saya berkayak dan perasaan kekok menguasai diri. Kami diberi penerangan sebelum berkayak dan diajar cara-cara mendayung kayak dengan betul. Nampak senang sahaja tetapi apabila melakukannya sendiri barulah saya tahu bahawa ianya tidaklah semudah yang disangka. Kita perlu pandai mengimbangi kayak supaya tidak terbalik dan terjatuh ke dalam air. Geli hati melihat pelbagai gaya dan aksi rakan-rakan ketika berkayak. Maklumlah, rata-rata dalam kalangan kami mengatakan itu adalah pengalaman pertama mereka berkayak. Apapun, pengalaman yang kami perolehi sepanjang perkhemahan tersebut benar-benar memberi makna dan kesan yang mendalam. Walaupun peristiwa itu telah berlaku hampir dua tahun yang lalu, namun, ianya masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Hal ini bertepatanlah dengan apa yang saya belajar pada minggu lepas iaitu mood dependence. Mood dependence merupakan emosi yang membuatkan kita lebih mengingati sesuatu perkara kerana kita sendiri mengalaminya.

Kesimpulannya, tajuk pada kali ini merupakan tajuk yang amat berkait rapat dengan kehidupan kita seharian. Kita akan lebih mengingati sesuatu peristiwa setelah mengalaminya.

No comments:

Post a Comment