Friday 3 September 2010

A121741 Mas Ayu LJ07

Dalam kehidupan ini kita sering disarankan supaya menceburi bidang yang kita minati. Pernahkah kita terfikir kenapa cadangan tersebut sering dikemukakan? Kaunselor sekolah aku dahulu pun pernah cakap perkara yang sama. Kini aku lebih mengerti pentingnya minat dalam mempelajari sesuatu. Minat ini dicetuskan oleh emosi suka atau perasaan gembira. Apabila kita gembira proses pembelajaran akan lebih lancar sebab di situ wujudnya sikap keterbukaan dan sedia menerima. Kesediaan yang terhasil daripada emosi suka memcetuskan fokus matlamat yang lebih jelas. Hal ini membantu otak kita dalam mengorganisasi maklumat dengan baik. Pengekodan maklumat dan pengeluaran semula maklumat adalah lebih sistematik. Hal ini menjelaskan kepada kita tentang peranan emosi terhadap ingatan. Orang yang suka tentang sesuatu subjek yang dipelajarinya didapati lebih mudah mengingati semula informasi yang berkaitan subjek tersebut berbanding individu yang kurang minat.

Minat pelajar terhadap sesuatu subjek pula turut dipengaruhi oleh minat mereka terhadap cara penyampaian guru atau pensyarahnya. Hasil pemerhatian aku dari zaman sekolah hingga kini, aku dapati fokus pelajar terhadap sesi pembelajaran bagi subjek atau pengajar yang diminati adalah lebih lama. Ruang atau kapasiti fokus belajar didapati turut meningkat. Keinginan untuk mengetahui lebih lanjut tentang subjek yang diminati menyebabkan mereka tidak bosan walaupun belajar dalam tempoh masa yang agak lama malah mereka mampu menunjukkan prestasi yang memberansangkan.

Pernahkah anda terfikir kenapa kita mudah ingat kata-kata orang yang kita suka atau kata-kata orang yang kita benci? Hal ini disebabkan kedua-dua situasi tersebut melibatkan elemen emosi. Apabila kita membicarakan tentang konsep emosi dan ingatan terdapat 2 elemen emosi utama yang perlu kita ketahui iaitu kandungan emosi dan mood. Kandungan emosi merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang mampu memberi kesan yang mendalam terhadap individu. Peristiwa kehilangan orang tersayang sama ada ibu-bapa, kekasih mahupun kawan karib pasti menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan dalam hidup. Kita mungkin cuba sedaya upaya untuk melupakan kesedihan dengan menjauhkan segala bentuk keadaan yang boleh mengundang ingatan kita terhadap mereka namun ada ketikanya kita tidak mampu menghalang ingatan tentang mereka yang tiba-tiba wujud.  Ransangan dari persekitaran mampu mencetuskan ingatan kepada seseorang atau peristiwa lalu.

Aspek kedua yang boleh mempengaruhi ingatan adalah mood. Ingatan boleh dipengaruhi oleh dua keadaan mood iaitu kebergantungan mood (mood dependent) dan kesesuaian suasana (mood congruence). Ingatan bergantung kepada mood. Kita akan mudah mengingat semula tentang sesuatu yang kita pelajari atau alami dalam mood yang sama. Sebagai contoh, sekiranya kita belajar subjek pengurusan emosi dalam keadaan gembira kita akan mudah ingat tentang maklumat yang dipelajari apabila kita mengalami emosi gembira pada waktu yang lain, begitu juga sebaliknya. Ingatan dipengaruhi oleh kesesuaian suasana pula menjelaskan bahawa kita akan lebih peka terhadap maklumat atau keadaan yang bersesuaian dengan mood atau perasaan yang kita alami. Sebagai contoh, jika anda dalam keadaan sedih dan mood yang negatif anda akan cenderung untuk lebih peka terhadap sindiran rakan anda berbanding pujian. Sindiran yang hanya berbentuk gurauan dipandang serius oleh anda kerana anda berada dalam mood negatif. Apabila kita berada dalam mood negatif kita cenderung membuat andaian atau berfikiran negatif tentang sesuatu peristiwa.

Secara keseluruhan terdapat 3 bahagian otak yang memainkan peranan penting dalam regulasi emosi iaitu amigdala, sereblum dan korteks frontal. Ketiga-tiga bahagian ini saling mempengaruhi antara satu sama lain dalam persepsi emosi. Persepsi juga turut dipengaruhi oleh pengalaman. Emosi yang positif akan mengingatkan kita tentang sesuatu perkara yang positif. Emosi negatif pula akan mengingatkan kita perkara yang negatif. Mood yang positif menyebabkan kita lebih peka atau cenderung untuk mendengar maklumat yang positif. Mood yang negatif menyebabkan kita lebih mudah mendengar maklumat yang negatif. Hal ini berkait dengan pendengaran berpilih. Emosi mempengaruhi maklumat yang diproses oleh sistem kognitif kita. Keadaan ini melahirkan persepsi individu terhadap persekitaran.end# 


No comments:

Post a Comment