Tuesday 21 September 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ08

Assalamualaikum saya ucapkan kepada ProfZambri, pensyarah Pengurusan Emosi. Kuliah kami pada minggu ini memang berlainan daripada biasa dan ianya amat menarik perhatian saya. Sambil mendengar audio rakaman tajuk kelapan itu, saya sempat menekan butang jeda di pemain audio tersebut untuk mengulang semula bahagian yang saya kurang faham. Tajuk pada minggu ini adalah Tajuk 08 Emosi dan Motivasi.

Erti motivasi di sini adalah sebagai suatu pendorong atau pencetus satu kelakuan manusia. Untuk setiap kelakuan kita dalam seharian, terdapat berbagai-bagai faktor yang mendorongnya dan emosi merupakan pendorong yang utama. Mengapa kita belajar bersungguh-sungguh di alam persekolahan dan universiti? Untuk mendapat kerja yang baik. Mengapa kita mahu mendapat kerja yang baik? Kerana emosi kita yang inginkan perkara yang terbaik untuk diri sendiri. Tidak kurang juga bagi tidak menghampakan ibubapa yang menaruhkan emosi mereka agar kita berjaya.

Memandangkan emosi itu merupakan sesuatu yang sangat subjektif, ianya boleh juga membawa kepada reaksi yang negatif. Seeloknya janganlah kita terlalu layankan sangat perasaan yang negatif kita seperti sedih dan marah. antara persoalan yang memenuhi minda pakar psikologi ialah apakah yang mendorong seseorang yang baik itu untuk menjadi jahat dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik? Bagaimana seorang penjenayah itu mampu membunuh orang tanpa belas kasihan? Jawapannya ialah mereka mendapat dorongan yang kuat dari emosi yang negatif. Contohnya seorang pencuri melakukan kesalahan tersebut kerana tamak. Seorang pembunuh pula kerana dengki atau cemburu.

Namun begitu, tidak semua motivasi yang terdapat dalam diri seseorang itu berbentuk negatif. Emosi yang positif boleh membawa kepada tingkah laku yang positif. Ingin saya kongsikan sebuah cerita yang bagi saya mempunyai kaitan dengan tajuk kuliah kali ini.

Pada tahun 1981 di Bandar San Francisco, seorang jurujual kelengkapan medikal telah membelanjakan wang simpanannya untuk menanam modal dalam mesin pengimejan yang boleh digunakan di klinik-klinik dan hospital. Walaubagaimanapun, usahanya menjadi sia-sia kerana dia tidak mampu menjual peralatan tersebut. Akibatnya keluarganya semakin renggang dan akhirnya isterinya meninggalkan dia bersama anak lelakinya yang berusia lapan tahun.

Dalam usahanya menjual peralatan tesebut, dia terserempak dengan seorang pengurus syarikat saham dan dia mendapat peluang temujanji untuk kerja sebagai pekerja sambilan di syarikat tersebut. Dalam tempohnya sebagai pekerja sambilan, dia tidak akan dibayar selagi belum mendapat kerja itu secara tetap. Tambahan pula, hanya terdapat satu tempat kosong untuk kerja itu dan dia perlu bersaing dengan 18 pekerja sambilan lain. Oleh sebab dia sudah berhenti menjual peralatan medikal, satu-satunya sumber kewangannya, dia semakin kesempitan wang sehingga dia dan anak lelakinya telah dihalau dari rumah sewanya. Dalam tempoh lebih 5 bulan kerja sambilannya, dia dan anaknya terpaksa tidur di tandas awam dan rata-rata lagi tempat penginapan orang tidak berumah. Walaupun dia dalam keadaan sebegini, dia tidak pernah sekali pun mengadu kepada rakan kerjanya tentang masalahnya. Dia bekerja lebih keras dari orang lain kerana desakan hidupnya. Akhirnya usaha kerasnya berbalas juga apabila dia diberitahu yang dia berjaya mendapat jawatan sebagai 'stockbroker' di syarikat itu. Mulai saat itu, dia berjaya mengubah hidupnya sepenuhnya. Selepas beberapa tahun bekerja di syarikat tersebut, dia membuat keputusan membuka syarikat pengurusan sahamnya sendiri. Kini hampir 30 tahun semenjak waktu terburuk dalam hidupnya; Chris Gardner merupakan seorang usahawan, pakar motivasi dan juga jutawan yang memiliki syarikat Gardner Rich & Co yang bernilai berbilion dollar.

Jelas di sini seorang yang sedang menghadapi waktu paling sukar dalam hidupnya mampu juga menukar nasibnya sendiri jika mendapat dorongan yang positif.

No comments:

Post a Comment