Friday 24 September 2010

A127070 Sakinah LJ09

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Dr. Zamri dan rakan-rakan sekalian. Setelah bercuti selama dua minggu, kami hadir ke kuliah seperti biasa. Ada yang kelihatan gembira tetapi ada juga yang kelihatan kurang gembira kerana merindukan suasana hari raya bersama keluarga. Tajuk kuliah pada minggu ini ialah berkaitan dengan emosi, personaliti, dan tingkah laku. Pada mulanya, saya menyangkakan, tajuk ini biasa saja seperti tajuk-tajuk sebelum ini, tetapi setelah pensyarah menerangkan tentang jenis-jenis personaliti individu, saya mulai tertarik untuk menumpukan perhatian.

            Pertama sekali, untuk memahami isi kuliah dengan lebih lanjut, pensyarah menerangkan tentang maksud personaliti terlebih dahulu. Personaliti ialah kombinasi sifat-sifat psikologi yang kita gunakan untuk mengelaskan & menggambarkan seseorang dalam hal ciri-ciri seperti tenang, pasif, keras, agresif, dan sebagainya. Menurut penunjuk personaliti Myers-Briggs, terdapat empat pasangan ciri personaliti yang menjadi penunjuk kepada individu untuk menentukan personaliti masing-masing. Seseorang individu biasanya dikelaskan mengikut kumpulan extroverted atau introverted (E atau I), sensing atau intuitive (S atau N), thinking atau feeling (T atau F), dan judging atau perceiving (J atau P). Individu yang mempunyai sifat extroverted merupakan seseorang yang bergaul bebas dengan orang ramai dan tegas manakala introverted ialah orang yang pendiam dan pemalu. Individu yang sensitif pula bersifat praktikal dan sering fokus terhadap sesuatu secara teliti berbanding dengan orang yang intuitive.

            Selain itu, individu yang mempunyai personaliti thinking adalah individu yang menggunakan fakta dan logik berbanding dengan individu yang berpersonaliti feeling yang mengaitkan sesuatu berdasarkan emosi dan nilai. Individu yang bersifat judging pula ialah orang yang suka mengawal orang di sekeliling manakala individu yang bersifat perceiving adalah golongan yang fleksibel dan spontan. Mereka juga boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

            Selain itu, terdapat juga model personaliti yang lain iaitu "Big Five Model". Model ini merangkumi sifat-sifat seperti extroversion, agreeableness, conscientiousness, emotional stability, dan openness to experience. Orang yang berpersonaliti extroversion adalah orang yang suka bergaul dan bersosial dengan orang ramai sehinggakan dia merasa susah hati sekiranya tidak bercakap dengan sesiapa. Individu yang berada dalam golongan agreeableness pula merujuk kepada orang yang mudah tunduk kepada orang lain. Orang yang berada dalam golongan ini cenderung dibuli kerana tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mudah percaya kepada semua orang. Selain itu, individu yang bersifat conscientiousness pula ialah orang bersikap cermat dalam semua perkara. Contoh terbaik bagi menggambarkan orang yang cermat ini ialah mereka sentiasa meletakkan barang mereka di tempat asal bagi mengelakkan keserabutan. Berdasarkan orang di sekeliling saya, saya mendapati bahawa abang saya merupakan seorang yang cermat dalam kebanyakan hal. Sebagai contoh, dia menjaga barang-barangnya dengan rapi sehinggakan telefon bimbit yang dipakai sejak beberapa tahun yang lepas masih dalam keadaan yang elok tanpa kesan calar yang teruk.

            Terdapat juga individu yang mampu mengawal kemarahan dan tekanan. Golongan ini biasanya bukan orang panas baran dan cepat marah. individu seperti ini mempunyai personaliti yang baik kerana mereka tidak bertindak mengikut perasaan. Mereka juga mampu mengawal tekanan dan menghadapinya dengan tenang.

            Personaliti seseorang individu juga boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu dalam kategori A dan kategori B. Individu yang termasuk dalam kategori A ialah individu yang suka bekerja. Individu ini juga bersifat tegas dan sering komited dalam melakukan kebanyakan kerja dalam kehidupan sehariannya. Berbeza dengan individu dalam kategori B, mereka biasanya bersikap tidak tergesa-gesa dalam melakukan kerja. Individu yang tergolong dalam kategori ini biasanya disenangi ramai orang kerana mereka tidak suka mendesak dan mengawal orang lain.

            Kesimpulannya, personaliti setiap individu adalah berbeza mengikut tingkah laku masing-masing. Personaliti adalah komponen yang penting dalam hidup seseorang kerana ia menggambarkan cara hidup kita dan bagaimana kita mengawal dan memanipulasi keadaan sekeliling. Orang yang mempunyai personaliti menarik biasanya akan memperoleh ramai kawan dan disenangi ramai. Oleh itu, kita seharusnya sedar bahawa personaliti diri adalah sangat penting. Dalam keadaan tertentu, ianya perlu untuk kita mengubah personaliti sekiranya ia menimbulkan ketidakpuasan hati orang lain. Sekian.


No comments:

Post a Comment