Friday 24 September 2010

A123147 Syuhaidah LJ09

Perkuliahan pada minggu ini adalah berkaitan dengan emosi, personaliti dan tingkah laku. Emosi dan personaliti penting untuk membezakan seseorang individu. Personaliti boleh merujuk kepada kombinasi tret psikologi yang digunakan untuk mengklasifikasikan dan menerangkan ciri-ciri seseorang. Personaliti juga dapat dibahagikan kepada personaliti jenis A dan jenis B.

           

Berdasarkan hasil kajian pakar, individu yang mempunyai personaliti jenis A lebih berisiko tinggi mendapat penyakit berkaitan dengan tekanan berbanding dengan individu yang mempunyai personaliti jenis B. Personaliti jenis A mengingatkan saya kepada seorang rakan sekolah saya. Dia mempunyai sikapnya yang kuat belajar dan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamatnya. Saya juga mendapati dirinya sangat mementingkan masa kerana dia tidak akan membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan masa terluangnya selalu diisi dengan membaca. Selain itu, dia juga sering tergesa-gesa dan kurang sabar dalam melakukan sesuatu perkara. Ciri-ciri ini menunjukkan dia mempunyai daya saing yang tinggi.

 

Myer Briggs Type Indicator (MBTI) merupakan salah satu alat ujian yang dapat digunakan untuk menilai personaliti seseorang. MBTI mempunyai empat dimensi iaitu melibatkan extroverted vs introvert, sensing vs intuitive, thinking vs feeling dan judging vs perceiving. Contoh perbezaan personaliti extrovert dan introvert dapat dilihat dalam kalangan pelajar. Pelajar yang aktif dalam kelas seperti berani menonjolkan diri, sering meluahkan pendapat, bertanya soalan, ceria, mesra dan mudah bercampul gaul merupakan seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai extrovert. Pelajar yang mempunyai personaliti introvert pula merupakan seorang pelajar yang pasif, tidak mahu mengeluarkan pendapat dan bertanya, pendiam, pemalu, berfikir dahulu sebelum bertindak dan tenang. Kebiasaannya, pelajar yang cemerlang di sekolah merupakan pelajar yang mempunyai personaliti introvert.

 

Kategori sensing dan intuitive pula dapat saya bandingkan dengan diri saya dan rakan saya dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Saya dapati diri saya adalah lebih kepada jenis sensing disebabkan saya boleh dikatakan sebagai seorang yang praktikal, lebih teliti, bersistematik dan terperinci dalam melakukan sesuatu perkara. Saya juga biasanya mementingkan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu. Segala tugasan dan perkara yang perlu dilakukan juga seperti assignment saya telah senaraikan dengan jelas dalam bentuk jadual. Selain itu, saya juga selalunya akan menyiapkan tugasan-tugasan dengan lebih awal berbanding rakan saya yang mempunyai personaliti intuitive. Hal ini berbeza dengan rakan saya yang biasanya akan menyiapkan kerja saat-saat akhir.

 

Selain itu, personaliti jenis thinking dan feeling pula dapat dilihat dalam diri seseorang dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Mereka yang mempunyai personaliti thinking sentiasa menggunakan logik dan sebab untuk mengendalikan sesuatu permasalahan. Selain itu, mereka turut mementingkan fakta. Sebaliknya, personaliti jenis feeling pula, melibatkan emosi dan perasaan dalam pembuatan keputusan. Contohnya, majikan yang mempunyai personaliti jenis feeling akan mementingkan kebajikan pekerjanya. Manakala majikan jenis thinking lebih mementingkan penghasilan produk kepada organisasi sehingga mengabaikan kebajikan pekerjanya.

 

Akhir sekali ialah personaliti jenis judging dan perceiving. Individu yang mempunyai sifat judging merupakan seorang yang suka mengawal, tegas dan bersistematik dalam segala hal. Mereka yang bersifat perceiving pula lebih fleksibel dalam segala hal dalam melakukan sesuatu perkara. Selain itu, mereka yang tergolong dalam personaliti jenis ini juga didapati mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

 

Selain itu, Model Besar Lima juga digunakan untuk menilai personaliti seseorang dan model ini mempunyai lima dimensi iaitu ekstrovert, kepersetujuan, kesedaran, berfikiran terbuka dan neurotisisme. Dimensi neurotisisme atau kestabilan emosi adalah mengukur kemahiran individu mengawal tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Kebiasaanya individu yang mempunyai personaliti jenis ini akan berhadapan dengan emosi yang negatif.

 

            Kesimpulannya, jenis personaliti yang dimiliki orang seseorang kebiasaanya mempunyai perkaitan dengan emosi yang ditunjukkan apabila berhadapan dalam pelbagai situasi. Melalui personaliti yang ditunjukkan oleh seseorang juga, kita dapat memahami seseorang itu dengan lebih mendalam. Kita juga memang tidak dapat dinafikan bahawa semua orang mahukan pembentukan personaliti yang positif. Jika seseorang mempunyai ciri-ciri positif, ini akan menjadikan mereka yakin kepada diri sendiri dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sama ada sosial atau emosi.

 

          


No comments:

Post a Comment