Friday 10 September 2010

A123875 Nurul LJ08

Bismillahirrahmanirrahim.


Hari ini adalah hari yang bertarikh 10 September  2010 iaitu bersamaan dengan 1 syawal 1431H.  Jika orang lain membawa hadiah kuih raya, baju raya dan ketupat rendang ketika pulang ke kampung, aku juga tidak ketinggalan membawa hadiah.  Cuma, hadiahku berupa tugasan-tugasan dan kerja-kerja projek yang perlu aku selesaikan.  Inilah harga yang perlu dibayar demi mendapatkan segulung ijazah.  Beberapa hari sebelum aku pulang berhari raya, aku sibuk menguruskan proses yang pertama untuk Latihan Ilmiah.  Aku mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Sepanjang hari itu, aku berjumpa dengan pensyarah yang menguruskan Latihan Ilmiah, pergi ke AISEC dan JPPel untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang proses yang perlu dilakukan jika ingin melakukan Latihan Ilmiah di luar negara.  Selepas aku mendapatkan penerangan daripada pensyarah dan mendapatkan maklumat penting dari AISEC, semangatku berkobar-kobar untuk belajar ke luar negara.  Namun, setelah aku pergi ke JPPel, aku menjadi sedikit gusar.  Kata pegawai di JPPel, sesiapa yang mendapat biasiswa JPA tidak boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam tempoh dia belajar di universiti.  Aku merasakan peluangku untuk belajar di negara orang dalam masa yang terdekat ini semakin kabur.  Namun, walau apapun yang bakal terjadi, aku percaya dengan takdir Tuhan.  Kecintaanku untuk pergi belajar di negara orang begitu menebal di dalam diriku dan itulah yang menjadi pendorongku selama ini.  Semua ini boleh aku kaitkan dengan tajuk yang aku pelajari dalam kuliah pengurusan emosi pada minggu ini, di mana emosi dapat memberikan motivasi kepada seseorang.


Mengikut Baron & Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi.  Juga, emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional (Lang et al, 1992).  Sebagai contoh, adalah pembunuhan.  Antara motif pembunuhan adalah kerana ingin mendapatkan duit dan juga disebabkan oleh kebencian (emosi ).  Baru-baru ini, kes kehilangan hartawan kosmetik, Datuk Sosilawati telah mendapat perhatian ramai.  Samada dia diculik atau tidak masih tidak dapat dipastikan lagi. Apa yang diharapkan di sini, semoga dia selamat walau di mana dia berada.


Juga, berita tentang pergolakan di antara negara kita dengan negara jiran iaitu Indonesia yang mana hampir saban hari dipaparkan di muka-muka akhbar begitu membimbangkan rakyat kedua-dua negara.  Kerjasama dan hubungan baik yang telah dibina beribu tahun lagi mungkin akan musnah disebabkan oleh emosi-emosi negatif yang menguasai diri para pemimpin.  Moga-moga para pemimpin dari kedua-dua negara dapat menjalinkan semula hubungan baik yang telah retak dengan berfikiran rasional dan tidak mengikut emosi negatif.

Contoh yang lain pula adalah cinta akan memotivasikan seseorang untuk terlibat dalam tingkahlaku tertentu.  Jika seseorang itu cinta dan sayang kepada kedua ibubapanya, dia akan selalu mendoakan mereka di dalam doanya dan sering berhubung dengan mereka. Dan seperti kisahku juga, oleh kerana kecintaanku untuk belajar ke luar negara begitu tinggi, aku mempelajari pelbagai bahasa asing dengan begitu tekun. 


Walaupun begitu, tidak semua keadaan, emosilah yang menjadi pendorongnya. Atau dalam erti kata yang lain, tidak semua pendorong adalah berasaskan kepada emosi.  Contohnya, jika seseorang itu mempunyai achievement motive, dia akan belajar dengan bersungguh. Selain itu, seseorang itu akan makan jika dia merasa lapar, bukannya disebabkan oleh emosi. 


Akhirnya, di sebalik kesibukan hari raya ini, aku sempat untuk menghabiskan ayat-ayat terakhirku untuk menulis jurnal ini, walaupun di permulaannya, aku tiada idea.  Semoga Ramadhan yang telah lepas itu, telah berjaya memberi perubahan di dalam diri kita semua.  Akhir kata, selamat hari raya aidilfitri kepada pensyarah dan keluarga serta rakan- rakan.


No comments:

Post a Comment