Monday 2 August 2010

LJ02 A117396 Nurul Aishah Binti Saadun

Saya menghadiri kuliah ketiga pada 28 Julai 2010 dan pada kali ini saya didedahkan dengan struktur asas emosi. Jika kuliah sebelum ini menerangkan tentang definisi emosi dan bagaimana mengukur emosi, kuliah kali ini menjelaskan bagaimana struktur dan ekspresi emosi yang boleh dibahagikan kepada lima jenis teori iaitu, Darwin's Basic Theor of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izzard's Innate Facial Expression, dan Learning and Experience Theory. Setelah diperjelaskan, saya memahami bahawa struktur dan ekspresi emosi adalah merupakan ciri semulajadi manusia. Terdapat beberapa asas emosi yang dipanggil sebagai emosi primari. Yang jelasnya, ekespresi ini disampaikan dalam bentuk yang lebih kurang sama dalam budaya yang berbeza. Hal ini diperincikan melalui dua teori iaitu teori biologi dan teori pembelajaran.

 

Darwin mengatakan bahawa emosi primari adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami dan diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokoszka, 1993). Ekspresi wajah melambangkan emosi kerana muka senang dilihat dan bukan organ lain. Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana seseorang sering kali menunjukkan ekspresi muka yang menggambarkan emosinya. Namun begitu, saya berpendapat hal ini tidak semestinya tepat. Saya mempunyai air muka yang agak garang dan serius. Oleh itu, kebanyakan orang yang tidak mengenali saya sering kali tersalah tafsir riak wajah saya dan menyangkakan saya sedang marah. Kesannya, junior takut nak tegur saya kerana beranggapan saya garang dan baran.

 

Selain teori Darwin, terdapat beberapa lagi teori mengenai struktur dan ekspresi emosi yang telah disebutkan di atas. Plutchik mengatakan bahawa emosi boleh digambarkan melalui tiga bahasa berbeza, bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif iaitu bahasa biasa bagi emosi seperti takut, sedih dan gembira. Bahasa tingkah laku pula merujuk kepada apakah tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang dan bahasa fungsian merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang. Saya takut kucing. Setiap kali saya nampak kucing saya akan berasa gelisah dan tak senang duduk. Oleh itu, keluarga dan kawan-kawan yang mengenali perangai saya ini akan seboleh-bolehnya menjauhkan kucing dari saya.

 

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis teori yang menjelaskan tentang struktur dan ekspresi emosi. Terpulang kepada saya untuk meneroka dan mengetahui lebih lanjut mengenai tajuk ini. Setiap minggu perkara baru yang akan dipelajari. Semoga saya lulus peperiksaan. Amin.


No comments:

Post a Comment