Monday 2 August 2010

LJ01 A117396 Nurul Aishah Binti Saadun

Saya mengikuti kursus ZZZT 2253 Pengurusan Emosi yang dikendalikan oleh Encik Ahmad Zambri bin Mansor. Subjek ini menjadi pilihan untuk melengkapkan subjek U2 saya pada sesi ini. Hal ini adalah kerana saya mempunyai masalah Adjustment Disorder with Depressed Mood dan subjek ini diharap dapat membantu saya menangani masalah tersebut. Pada kuliah kedua, iaitu bersamaan 21 Julai 2010, saya diperkenalkan dengan emosi di mana menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi merupakan interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif. Subjektif dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi dan berdasarkan fakta-fakta yang nyata. Interaksi ini menyebabkan berlakunya pengalaman afektif, proses kognitif, penyesuaian fisiologi yang seterusnya membawa kepada tindakan atau perilaku seseorang.

 

Saya mengalami masalah claustrophobia iaitu, perasaan takut atau gelisah apabila berada di tempat-tempat sempit dan terbatas. Ia lazimnya diklasifikasikan sebagai anxiety disorder dan selalu mengakibatkan serangan panik. Hal ini selalunya berlaku apabila saya  melalui lebuh raya yang mempunyai terowong atau lebih spesifik lagi Terowong SMART. Saya berasa terancam apabila berada di tempat yang sempit dan setiap kali melalui terowong, saya akan menjadi paranoid. Saya sering membayangkan sesuatu malapetaka akan berlaku dan saya akan terperangkap di dalam terowong dan mati di situ. Ini membawa kepada kesukaran untuk bernafas dan denyutan jantung semakin laju. Saya akan memikirkan di mana saya nak melepaskan diri sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Proses ini akan berterusan hinggalah saya keluar dari terowong tersebut. Selalunya saya akan mengelak untuk melalui mana-mana jalan yang mempunyai terowong. Sehingga sekarang, saya masih tidak dapat mengatasi perasaan takut memasuki terowong.

 

Pada sesi kuliah ini juga, saya difahamkan bahawa emosi lebih luas maknanya dari perasaan dan emosi dan motivasi adalah saling berkait. Emosi sebagai motivasi kepada tingkah-laku dan motif boleh menjadi emosional. Saya tidak suka ke kelas, oleh itu saya memerlukan motivator untuk mendorong saya ke kelas. Secara jujurnya, waktu kuliah subjek ini adalah waktu tidur saya. Saya akan berasa sangat malas untuk menghadiri kuliah ini walaupun saya meminati subjek Pengurusan Emosi. Mujurlah saya mempunyai motivator iaitu Akif Farhan yang turut mengikuti kuliah yang sama. Saya suka lepak dengan Akif kerana beliau mengingatkan saya kepada adik saya, Safiuddin Saadun. Perasaan ke kelas dengan Akif, macam bawa adik saya ke sekolah. Oleh itu, saya berjaya menghadiri kuliah subjek ini setiap minggu dan diharapkan berkekalan.

 

Saya juga belajar sesuatu yang baru iaitu kita boleh mengukur emosi. Sebelum ini, saya tidak tahu bahawa emosi boleh diukur. Emosi boleh diukur melalui laporan verbal seseorang dan terdapat beberapa cara untuk mengukur emosi seperti melalui kaedah wawancara, borang kaji selidik serta pemerhatian secara langsung.  Menarik sungguh. Apa yang dapat saya simpulkan pada kuliah kali ini adalah bahawa emosi dan perasaan adalah berbeza namun saling berkait, serta emosi boleh diukur melalui kaedah tertentu. Apa yang pasti, saya tidak boleh ponteng kelas kerana setiap minggu pasti ada perkara baru yang saya akan belajar.

 

 


No comments:

Post a Comment