Friday 27 August 2010

A133720 Nurul LJ06

Kuliah pengurusan emosi pada minggu lepas merangkumi dua tajuk besar iaitu Teori Aras Adaptasi dan Teori Proses Berlawanan Solomon. Secara konsep asasnya, kita akan bertindak balas terhadap rangsangan baru mengikut aras adaptasi yang kita alami. Penilaian kita terhadap sesuatu situasi akan menyumbang kepada pengalaman emosi. Aras adaptasi ini tidak tetap dan sering berubah-ubah. Setiap orang mempunyai aras adaptasi yang berlainan mengikut situasi yang dialami. Aras adaptasi kita berada pada tahap neutral apabila kita berjaya menyesuaikan diri dengan sesuatu keadaan namun, ia boleh meningkat dan menurun apabila kita berada dalam sesuatu situasi yang baru.

Sebagai contoh, Aina seorang pelajar yang bijak dalam subjek Matematik dan sering mendapat A dalam mata pelajaran tersebut. Pertama kali mendapat A dia berasa sangat gembir namun lama-kelamaan baginya, A itu adalah perkara biasa dan dia tidak berasa gembira sebagaimana pertama kali dahulu. Dia akan berasa lebih gembira dan berpuas hati jika mendapat anugerah pelajar terbaik bagi subjek tersebut pula kerana aras adaptasinya pada saat itu akan meningkat. Namun, aras adptasinya boleh menurun jika dia secara tiba-tiba mendapat B. Maka, lahirlah perasaan sedih dan kecewa yang menggambarkan emosinya ketika itu. Saya sendiri pernah mengalami situasi yang mana berasa sangat gembira dan teruja apabila ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Namun, setelah menjadi pelajar di sekolah tersebut, perasaan gembira itu sudah tiada kerana ia sudah menjadi perkara biasa bagi saya. Hal ini menunjukkan bahawa aras adaptasi saya berada pada tahap neutral dan kegembiraan saya ketika mendapat tawaran menggambarkan aras adaptasi saya meningkat.

Teori Proses Berlawanan Solomon pula adalah hasil daripada pengubahsuaian Teori Aras Adaptasi yang dikemukakan oleh Richard Solomon pada 1980. Mengikut Teori Solomon, keseimbangan emosi ke  arah titik neutral bukan sahaja berlaku pada jangka masa panjang malah pada jangka masa pendek juga. Setiap emosi yang berlaku akan menyebabkan emosi berlawanan berlaku kerana emosi ini hadir secara berpasangan. Teori ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu peringkat permulaan dan peringkat berlawanan.

Emosi yang bertentangan ini lahir selepas emosi permulaan dan ianya bertahan lama. Emosi ini akan menjadi lebih kuat apabila berlaku secara berulang-ulang dan akan melemahkan emosi pertama. Saya berikan satu contoh yang mudah untuk difahami. Seseorang yang takut pada ketinggian akan berasa gerun dan takut ketika pertama kali melakukan aktiviti seperti 'flying fox'. Namun, semakin lama dia melakukan aktiviti tersebut, perasaan takut pada mulanya akan bertukar menjadi gembira dan seronok dengan apa yang dilakukan. Ini menunjukkan bahawa emosi permulaan telah digantikan dengan emosi berlawanan setelah dilakukan secara berulang-ulang.

Dulu, saya sering malas untuk mengulangkaji pelajaran tetapi setelah menyedari ianya akan membantu saya dalam menjawab soalan peperiksaan, saya menjadi rajin dan bersemangat untuk melakukannya. Jadi, jelaslah bahawa emosi itu hadir secara berpasangan.

No comments:

Post a Comment