Friday 27 August 2010

AI27559 NOR RAIHANA LJ06

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua. Hari ini sudah tujuh belas hari kita, bagi umat Islam menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah kerana kita masih lagi diberikan peluang untuk menghirup udara Ramadhan. Hari-hari yang kita lalui tidak selalunya indah. Harapkan mentari hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Itulah antara ungkapan yang biasa kita dengar. Kadangkala kita tidak akan menjangka bahawa sesuatu yang buruk itu akan berlaku. Namun apabila ia benar-benar terjadi, kita sebagai hamba Allah yang lemah hanya mampu menerima, bersabar, Tawakal, dan Redha dengan segala dugaannya. Sesungguhnya, orang yang bersabar itu merupakan orang yang disayangi oleh Allah. Semoga saya dan keluarga juga diberi kekuatan untuk melalui dugaan yang maha berat sedang kami rasai. InsyaAllah.

Seperti biasa, pada setiap hari Rabu, saya dan rakan-rakan kembali mengikuti kuliah Pengurusan Emosi yang disampaikan oleh Dr Ahmad Zamri bin Mansor. Pada minggu ini, kami diberi penerangan berkenaan teori lain, iaitu Adaptation Level Theory dan Teori Solomon. Berbeza dengan kuliah-kuliah lepas, kuliah pada minggu ini agak ringkas, oleh itu, kami mungkin lebih mudah untuk memahami kuliah yang disampaikan. Secara peribadinya, bagi diri saya sendiri, kuliah berkaitan teori seperti Teori Fisiologikal, Teori Kognitif, dan Teori psikoanalitik agak sukar difahami kerana mempunyai agak banyak pecahan dan maklumat yang perlu difahami secara teliti.

Berbeza pula dengan kuliah teori yang disampaikan pada minggu ini berkenaan Adaptation Level Theory dan Thopry Solomon ini yang agak mudah untuk difahami. Sebelum saya merungkai lebih lanjut tentang teori ini, eloklah kiranya agar saya menyusuri terlebih dahulu tentang konsep-konsep yang mendasari kedua-dua teori ini. Menurut Adaptation Level Theory, kita akan memberi tindak balas terhadap ransangan baru berdasarkan tahap adaptasi yang kita rasakan ketika itu. Teori ini merupakan toeri yang agak umum. Adaptation Level Theory ini berkait rapat dengan tingkah laku manusia. Secara umumnya, teori ini menyatakan bahawa kita akan memberikan satu takat neutral atau membuat satu perbandingan tentang sesuatu yang pernah dilalui dengan sesuatu yang baru dilalui.

Hal ini bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Lazarus, Kanner, & Folkman pada tahun 1980. Mereka menyatakan bahawa penilaian kita terhadap sesuatu keadaan atau emosi itu bergantung kepada pengalaman emosi kita pada masa lampau. Mereka juga menyatakan bahawa, penilaian keadaan kognitif atau fikiran kita menentukan sejauh mana pengalaman emosi itu mempengaruhi tindakan kita. Sebagai contoh, apabila kita memperoleh satu pencapaian yang baik dalam hidup seprti peperiksaan, kita akan berasa sangat gembira. Walau bagaimanapun, apabila kita mendapat satu pencapaian yang lebih baik selepas itu, kita akan mula merasakan bahawa pencapaian kita sebelum ini tidaklah begitu baik dan memuaskan. Begitulah yang dikatakan tindak balas yang dirasakan berdasarkan ransangan terhadap adaptasi semasa kita. 

Teori kedua pula adalah berkaitan dengan Solomon Opponent Process Theory. Teori Soloman ini merupakan satu teori yang berlawanan atau bertentangan dengan Adaptation Level Theory. Teori Soloman ini diasaskan oleh seorang tokoh iaitu Richard Soloman sekitar tahun 1980. Konsep bagi Teori Soloman ini menjelaskan bahawa emosi seseorang berdasarkan adaptasi bukan sahaja perlu dilihat dalam jangka panjang, tetapi juga perlu dilihat dari sudut jangka masa pendek. 

Sebagai kesimpulannya, walaupun teori-teori ini mengemukakan pendapat dan perspektif pemikiran yang tersendiri, namun mereka mampu tampil dengan idea-idea yang bernas bagi menyampaikan hujah mereka. Sama ada tepat atau tidak pendapt dan pandangan mereka, perlulah dinilai sendiri oleh kita yang mempelajarinya. Walaupun kuliah pada minggu ini agak singkat, namun penyampaian yang diberikan oleh Dr Zamri amat berkesan, dan maklumat yang disampaikan sangat bernas untuk dilepajari.

No comments:

Post a Comment