Friday 27 August 2010

A133661 Tiara LJ06

      Pada minggu ini kuliah yang telah diberikan bertajuk Adaptation Level Theory, Teori Asas Adaptasi dan  Solomon Opponent Process Theory, Teori Proses Berlawanan Solomon. Berdasarkan teori tersebut, emosi kita berubah-ubah mengikut sesuatu keadaan atau pada keadaan yang tertentu. Konsep asas Teori aras adaptasi berpendapat bahawa kita bertindak balas terhadap situasi yang baru dengan mengikut aras adaptasi kita. Kita akan secara automatiknya membina suatu titik neutral atau tahap penyesuaian mengikut setiap satu keadaan yang dialami. Penilaian kita terhadap sesuatu situasi atau keadaan akan mendorong kepada pengalaman emosi kita. Aras adaptasi ini sentiasa berubah-ubah kerana kita tidak akan berpuas hati dengan apa yang ada pada sekarang selama-lamanya. Aras adaptasi boleh meningkat atau menurun mengikut keadaan yang dialami pada ketika itu. Peningkatan aras adaptasi ini akan membuatkan kita berasa gembira, manakala sesuatu keadaan yang menyebabkan aras adaptasi lebih rendah daripada aras adaptasi kita akan menyebabkan kita mempunyai emosi negative seperti tidak berpuas hati dan kecewa.

      Contohnya disini adalah apabila seseorang mendapat gaji pertamanya sebanyak RM2000 sebulan. Pada mulanya dia akan berasa gembira dan bersyukur kerana mungkin itu adalah kali pertama dia mendapat duit sebanyak itu hasil daripada titik peluhnya sendiri. Lama kelamaan, dia mungkin akan berasa biasa dan tidak lagi teruja seperti dahulu, dan ini kerana sudah menjadi kebiasaan. Selain itu mengikut pengalaman saya sendiri ialah ketika saya mula menjejak kaki di UKM ini. Pada Minggu Mesra Pelajar yang diadakan bagi pelajar tahun satu iaitu saya sendiri, pelbagai aktiviti telah diadakan sehingga kami dilepaskan lewat, waktu rehat yang singkat dan juga tidur yang tidak mencukupi. Hal ini membuatkan saya berasa tegang dan penat pada hari pertama dan kedua. Tetapi pada hari seterusnya, saya mula membiasakan diri dengan situasi berkenaan dan kini sudah hampir dua bulan berada di UKM, saya telah berasa seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan saya dengan normal. Tiada lagi perasaan tegang dan kepenatan tidak lagi dirasai seperti dahulu.

      Teori Proses Berlawanann Solomon pula adalah hasil pengubahsuaian daripada Teori Aras Adaptasi yang dijelaskan oleh Richard Solomon pada tahun 1980. Beliau menyatakan bahawa kita sentiasa mengimbangi emosi kita ke titik neutral bukan sahaja dalam jangka masa panjang malah juga berlaku dalam jangka masa yang pendek. Teori ini menyatakan bahawa emosi-emosi yang kita hadapi ini sering lahir secara berpasangan di mana reaksi atau tindak balas emosi terhadap rangsangan akan diikuti oleh reaksi-reaksi emosi yang berlawanan. Iaitu sesuatu emosi yang timbul akan menimbulkan sesuatu emosi lain yang bertentangan dan biasanya emosi ini bermula dengan lambat tetapi bertahan lebih lama.  Emosi-emosi tersebut digelar sebagai emosi yang berpasangan. Apabila emosi yang pertama sedang dialami, emosi kedua yang bertentangan itu akan ditekankan secara automatiknya. Setelah sesuatu masa, emosi yang bertentangan itu akan menjadi lebih kuat dan seterusnya akan menggantikan emosi yang pertama tersebut.

     Pengalaman saya yang satu lagi adalah saya menyertai perkhemahan di Sungai Tekali. Aktiviti-aktiviti seperti climbing rock, flying fox, dan mendaki bukit membuatkan saya berasa bimbang kerana tidak pernah dilakukan oleh saya sebelum ini. Apabila saya melaluinya, saya berasa seronok dan ingin mencuba lagi.  Kesimpulannya, pelbagai yang kita aplikasikan dalam kehidupan seharian berkaitan dengan pengalaman kita sedikit sebanyak mempengaruhi emosi dan perasaan kita.

No comments:

Post a Comment