Friday 6 August 2010

A133661 Tiara LJ03

      Assalammualaikum dan salam sejahtera, pada minggu ini tajuk yang telah dibincangkan ialah Positive Emotion : Happiness. Emosi terbahagi kepada dua iaitu emosi positif dan juga emosi negatif. Bersikap positif bermakna mempunyai sisi baik dari sesuatu yang tidak berpusat kearah sisi jahat manakala bersikap negatif pula memberi erti dimana kita mempunyai pandangan yang tudak baik terhadap sesuatu perkara. Emosi positif dan negatif tidak dapat mengisi pemikiran kita pada satu masa bermaksud salah satu menjdai dominan kepada yang satu lagi. Emosi adalah dorongan yang paling penting dan kuat dalam diri kita. Oleh itu, mengenali emosi positif dan emosi negatif dapat memberi kita cara untuk mengendali emosi kita agar melakukan tindakan yang munasabah dan tidak terlalu heroik.

      Salah satu contoh emosi positif adalah Happiness atau Kebahagiaan. Kebahagiaan merupakan suatu perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan. Umumnya, kegembiraan amat berkait dengan sesuatu kejadian atau pencapaian yang khusus, sedangkan kebahagiaan berkait dengan keadaan yang lebih umum seperti kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga. Bagaimanapun, kedua-dua perasaan ini adalah amat berkait dan juga amat subjektif. Kebahagiaan seseorang tidak dapat diukur atau digambarkan, dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat. Orang yang kelihatan bahagia tidak semestinya bahagia, dan orang yang kelihatan tidak bahagia tidak semestinya tidak bahagia. Cuma orang itu sendiri yang tahu (iaitu berasa) sama ada dia bahagia atau tidak. Pengertian kebahagiaan berbeza-beza antara seorang dengan seorang. Ada yang berasa bahagia kalau dia mendapat makananpakaian dan kediaman yang paling sederhana, terelak daripada penyakitkelaparan, dan perang. Sebaliknya, ada orang berasa tidak bahagia meskipun hidupnya dalam keadaan yang aman, mewah, sihat, dan senang-lenang. Ada orang berasa tidak bahagia sekalipun, walaupun dia mempunyai kuasastatus, dan kekayaan.

      Lazimnya, seseorang akan berasa gembira jika apa yang dihajati dan diingininya dapat diperoleh dan dinikmati. Dengan kata yang lain, kegembiraan dan kebahagiaan adalah amat berkait dengan jangkaan. Ini dapat menerangkan mengapa seorang yang hanya mendapat kenaikan gaji sebanyak RM50 boleh berasa lebih gembira berbanding seorang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100. Keadaan ini boleh terjadi apabila orang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM50 hanya menjangka dia akan mendapat RM30, sedangkan orang yang mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100 berasa kecewa kerana dia menjangka akan naik pangkat dan mendapat kenaikan gaji sebanyak sekurang-kurangnya RM200. Contoh ini juga dapat menerangkan mengapa seorang yang hanya mendapat gaji sebanyak RM1,500 sebulan dapat berasa lebih bahagia, berbanding orang yang mendapat gaji sebanyak RM15,000 sebulan.


      Namun demikian, jangan pula kita lupa bahawa emosi dan perasaan bahagia manusia adalah bersifat fana dan sementara. Kebahagiaan tidak pernah dan tidak akan kekal abadi kerana dalam kenyataan hidup, adalah mustahil sama sekali bagi sesiapa untuk memperoleh dan menikmati apa yang dia hajati dan ingini. Apatah lagi manusia sendiri tidak faham dan tidak tahu hati nuraninya, keinginan, dan hawa nafsunya. Tambahan pula, keinginan dan hawa nafsu manusia sentiasa berubah-ubah, malahan bertentangan sesama diri. Seorang yang berpuas hati dengan kenaikan gaji sebanyak RM100 tidak semestinya berasa gembira kalau dia juga mendapat kenaikan gaji sebanyak RM100 pada tahun yang berikut. Justeru itu, manusia sering kecewa, hampa, sedih, bimbang, dan putus asa. Semakin banyak keinginan yang dihajati itu tidak termakbul, semakin tidak bahagialah hidup seseorang. Semakin seseorang tidak berasa bahagia, semakin kuat pula perasaan kecewa, sedih, dan tidak puas hati menekan dirinya. Perasaan kecewa, sedih, dan tidak puas hati akan mendorong manusia memperjuang dan menggila-gilakan kebahagiaan. Akibatnya, mereka akan terpinga-pinga dalam mencari-cari kebahagiaan, dan mengorak langkah baru demi mencapainya. Umpamanya, dalam cita-cita menikmati kebahagian berkat dari wang, seorang pemuda sanggup menyamun atau membunuh, dan seorang wanita mungkin sanggup menjual kehormatannya.


      Memang benar, manusia mengalami kekecewaan, ketegangan hidup, serta ketidakpuasan jauh lebih kerap dan banyak daripada menikmati kebahagiaan dan kepuasan. Tetapi kalau kita sedar bahawa kebahagiaan terletak pada hidup, dan hidup itu ialah kebahagiaan, maka sudah tentu kita akan berasa bahagia selama-lamanya. Kebahagiaan tetap dapat dicari, dialami dan dirasai, jika kita berpuas hati dengan keadaan hidup yang berada pada kita itu. Tegasnya, kita akan hidup penuh bahagia sekiranya kita berpuas hati dengan status quo kita, sambil itu berikhtiar memperbaiki status quo kita tanpa menjejaskan kepentingan dan kebahagiaan orang lain. Perbuatan memperolehi kebahagiaan dengan mengakibatkan kerugian atau kesengsaraan pada orang lain tetap akan dikutuki oleh masyarakat.


      Bentukkan kebiasaan penerapan emosi positif supaya emosi negatif tidak dapat muncul. Emosi positif dan negatif tidak boleh muncul serentak. Dengan kebiasaan emosi positif yang menjadi dominan akhirnya emosi positif akan menguasai pemikiran kita sepenuhnya sehingga emosi negatif tidak dapat masuk. Tetapi, awas! dengan kemunculan salah satu emosi negatif dapat mengganggu dan merosakkan perubahan bantuan membina (positif).


Marilah kita terus dan terus menuntut ilmu dan beramal..

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

No comments:

Post a Comment