Thursday 12 August 2010

A133579 AHMAD SHUKERY LJ04

          "Tup, tap, tup, tap.." derapan tapak kaki pensyarah ku yang mula melangkah masuk ke bilik kuliah. Jelas riak di wajahnya agak sedikit keletihan mungkin baru lepas menjalankan tanggungjawabnya. Namun, beliau terus melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberi kuliah pengurusan emosi kepada kami dalam minggu kelima ini. Hari ini juga merupakan hari pertama aku menyambut bulan Ramadhan al-mubarak di bumi UKM ini. Hari ini kuliah diteruskan dengan tajuk "emosi negatif".


          Sejujurnya, aku kurang senang dan kurang bersetuju dengan teori emosi positif dan negatif. Ini kerana emosi tidak boleh di labelkan sebagai positif dan negatif. Ianya kerana senyuman yang dikatakan positif itu juga boleh berubah kepada negatif dalam satu-satu masa. Lumrah alam bagi setiap perkara ada baik dan buruknya. Berbalik kepada tajuk kuliah aku pada hari ini, apa yang kami diberitahu emosi negatif termasuklah takut, marah, malu dan sedih. Takut merupakan salah satu emosi yang ada kaitan dengan cemas. Banyak faktor yang menyebabkan takut seperti kisah silam yang tragis, trauma akibat kemalangan dan sebagainya. Tetapi perasaan takut ini sebenarnya boleh di atasi. Contohnya, Dr.Sheikh Muzaffar Shukor merupakan seorang yang takut pada ketinggian. Namun dia berjaya atasi ketakutannya itu sehinggakan dia berjaya sampai ke ISS di angkasa lepas. Teringat semasa aku kecil dulu, aku takut bila keseorangan atau bersendiri pada suatu tempat. Tetapi setelah semakin membesar, aku belajar untuk tinggal berseorangan dan akhirnya sekarang aku berani tinggal seorang diri. Walaubagaimana pun, perasaaan takut ini juga boleh memberi kesan positif. Ibu bapa yang beragama islam sering kali mendidik anak-anak mereka terutama yang masih kecil supaya takut dengan Allah. Dari sini kita boleh mengatakan takut juga ada kelebihan yang tersendiri.


          Kami juga diberitahu bahawa malu merupakan salah satu emosi yang negatif. Aku agak tidak bersetuju ketika mengetahui hal ini. Pada pendapat aku, malu ini merupakan satu sifat yang positif. Berbalik pada kuliah tadi, dikatakan malu boleh dibahagikan kepada dua ciri iaitu peribadi dan professional. Sifat malu secara peribadi sering hadir dalam diri seseorang terutama sekali ketika bertemu dengan seseorang yang dia minati. Sifat malu secara peribadi ini hadir dengan kombinasi tersipu-sipu(blushing), berpeluh, gemuruh(nervous), tergagap-gagap(stammering) dan gelisah. Aku mempunyai seorang teman yang sangat pemalu dimana apabila dia berhadapan dengan aku atau hendak menyampaikan sesuatu, dia akan tergagap-gagap, gemuruh dan lain-lain. Pada awalnya aku ingat dia memang bersifat begitu, namun bila aku melihat dia dengan rakan-rakan yang lain, dia seperti biasa tidak seperti bila dia berhadapan dengan aku. Kombinasi yang dinyatakan boleh dikatakan agak relevan dan aku bersetuju dengan pendapat itu. Walau apa jua tafsiran negatif mengenai sifat malu ini, pendirian aku tetap sama bahawa malu ini banyak memberi kebaikan. Aku ada terbaca sebuah hadis iaitu diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:" Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga rasulullah SAW bersabda:" Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman." Hadis sahih imam Bukhari. Dan Rasullulah SAW sendiri juga merupakan seorang yang pemalu. Teori mengenai malu merupakan emosi negatif agak tidak relevan bagi diri aku.
          Kesimpulannya, meskipun ada beberapa lagi emosi negatif yang tidak aku nyatakan seperti marah dan sedih, apa yang penting di sini sebenarnya tidak semua emosi negatif itu akan sentiasa negatif dan sebaliknya. Seperti marah, ia sememangnya salah satu ciri emosi yang tidak elok, tetapi dalam situasi yang lain, marah ini boleh menjadi emosi yang patut di tunjuk atau diluahkan. Jadi, emosi sebenarnya tidak boleh ditakrifkan sebagai negatif atau positif. Ia tidak ada skala tertentu kerana setiap emosi yang lahir dari jiwa atau hati seseorang mempunyai kebaikan dan kekurangan tersendiri. Hanya individu itu yang perlu mengawal dan menggunakan emosinya sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment