Friday 13 August 2010

A133541 Muhammad Hafiz LJ04

Bulan yang dirindui kini kembali membawa seribu keberkatan. Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh dengan keberkatan, penuh dengan fadhilat. Saya ingin mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan al-Mubarak. Semoga kita semua dapat mentaati dalam menunaikan ibadah puasa pada tahun ini. Moga kita dapat memanfaatkan bulan Ramadhan untuk memperbaiki kelemahan diri kita, insya Allah. Sempena bulan Ramadhan ini, saya rasa elok untuk kita mempraktiskan segala ilmu dan pengetahuan mengenai pengurusan emosi. Bulan Ramadhan ini dapat dijadikan sebagai platform terbaik untuk menguruskan emosi kita semua. Jadi dalam coretan saya kali ini, saya ingin menceritakan mengenai emosi negatif. Memang elok sangat dengan bulan yang mulia ini agar kita dapat menghindarkan atau mengurangkan emosi-emosi negatif ini.

 

            Baiklah, di sini ingin saya menceritakan mengenai seorang kawan kepada saya yang pandai menguruskan emosi beliau termasuklah emosi negatif. Jadi apa yang saya ingin gariskan di sini ialah bagaimana beliau menguruskan emosi yang negatif. Ketika itu beliau masih belajar di peringkat sekolah menengah. Semasa berada di sekolah menengah, beliau merupakan seorang pemimpin pelajar ataupun pengawas sekolah. Menjadi seorang pemimpin pelajar bukanlah tugas mudah. Teradapat pelbagai cabaran dan dugaan tidak kurang juga masalah. Pada ketika itu, kami berada di tingkatan 4. Tugas utama kami ialah menjaga kebajikan pelajar-pelajar tingkatan 1 yang baru mendaftar pada tahun itu. Tugas untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang baru masuk ini tidaklah semudah yang disangkakan. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling kerana berada di dalam suasana yang asing bagi mereka. Jadi semasa dalam proses untuk mereka menyesuaikan diri, pada masa inilah merupakan waktu yang amat sukar bagi kami. Kami harus melayan segala karenah pelajar-pelajar baru untuk membantu mereka menyesuaikan diri. Pada ketika ini, kami tidak dapat rehat yang secukupnya, tidak dapat fokus di dalam kelas dan kebajikan diri kami sendiri pula terabai. Berdasarkan keadaan kami, emosi-emosi negatif mula timbul. Kami sering marah-marah. Pelajar-pelajar baru menjadi mangsa kemarahan kami. Walaupun mereka hanya melakukan kesalahan yang kecil, mereka tetap diberi denda atau hukuman. Selalunya hukuman yang diberikan tidak rasional tetapi mereka tidak dapat membantah dan hanya menurut kata kami. Namun di antara kami semua, kawan kepada saya masih lagi dapat mengawal emosi dan dapat menghadapi emosi-emosi negatif yang mula timbul itu.  Beliau menggunakan beberapa pendekatan untuk mengawal kemarahan. Antaranya ialah pendekatan melalui agama. Ketika kemarahan mula membara, beliau akan beristighfar berulang-ulang kali. Sekiranya beliau sedang berdiri, beliau akan duduk. Sekiranya kemarahan masih belum reda, beliau akan berbaring sebentar. Sekiranya masih belum hilang, beliau terus mengambil wudhuk dan mengerjakan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai mengerjakan solat, beliau akan sambung beristighfar sehingga kemarahan beliau benar-benar reda.

 

            Jadi di sini kita dapat lihat bagaimana emosi dapat dikawal dengan menggunakan pendekatan agama. Selain daripada pendekatan agama, terdapat beberapa pendekatan yang lain untuk digunakan untuk mengawal emosi atau berdepan dengan emosi-emosi negatif ini. Tidak lupa untuk saya terangkan bahawa tidak semua emosi negatif itu membawa kesan yang negatif pada seseorang itu. Sebagai contoh takut. Apabila kita takut, otak kita akan membuat keputusan sama ada untuk lari ataupun lawan. Ketika berhadapan dengan bahaya, kita akan berasa takut dan berasa ingin menyelamatkan diri dengan lari ataupun lawan dengan bahaya itu sekiranya kita mampu. Dengan erti kata lain, takut membantu kita untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri daripada bahaya. Di sini terdapat kesan yang positif daripada emosi yang negatif. Begitu juga dengan emosi yang positif, kadangkala akan mendatangkan kesan yang negatif kepada kita. Oleh itu, tidak semua perkara yang kita tidak suka itu tidak baik untuk kita dan tidak semua perkara yang kita suka baik untuk kita. Kita perlu sedar bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Sekian.

No comments:

Post a Comment