Thursday 12 August 2010

A133501 Jannah LJ04

Kelas pengurusan emosi pada waktu petang sememangnya memenatkan dan mengantuk. Tambah lagi kelas kali ini juga merupakan hari pertama umat Islam berpuasa. Masing-masing mesti memikirkan juadah apa yang ingin dibuka nanti. Begitu juga saya. Walaubagaimanapun, saya masih bertenaga dan bersemangat untuk ke kelas ini. Pada minggu ini, tajuk ini berlainan dengan tajuk minggu lepas iaitu EMOSI NEGATIF : TAKUT, MALU, SEDIH, DAN MARAH. Tajuk ini menarik kerana minggu lepas kami telah diperkenalkan dengan emosi positif dan kelas minggu ini seperti kesinambungan daripada minggu lepas dimana ada perbandingan yang jelas diantara positif dan negatif. Sebagai manusia, kita pasti tidak akan terlepas dari emosi negatif ini walaupun sekali. Saya kerap berasa takut, malu, sedih dan marah dan seterusnya saya dapat mendalami maksud untuk setiap emosi-emosi berikut.

Mengikut persepsi saya, takut akan timbul apabila kita berasa pelik dan menyeramkan di sekeliling kita. Sebenarnya, takut ialah satu respons yang kita dapat rasakan bahaya di sekitar kita. Ada pelbagai sebab mengapa kita takut. Salah satu sebabnya ialah dimana satu kejadian telah terjadi kepada seseorang itu dan menyebabkan trauma. Contohya seperti seorang ibu trauma melihat laut ( claustrophobia) kerana mengingatkan kejadian anaknya mati lemas. Ada kalanya, kita bukan takut apa yang berlaku di depan mata kita, tetapi juga konsep-konsep yang abstrak. Contohnya ialah seorang bapa risau dengan masaa depan anaknya yang akan berkahwin. Si ayah khuatir bakal menantunya tidak dapat mengawal rumah tangga. Itu adalah contoh takut bakal menantunya hilang kawalan. Kebiasaannya, ekspresi muka takut dapat dilihat seperti sebelah mata besar sedikit, bibir atas terangkat sedikit, kening kelihatan kedalam dan mulut tertarik. Selalunya apabila takut pada hantu atau terlihat kelibat hantu, bulu roma kita meremang dan badan menjadi sejuk dan menggigil.

Malu menjadi kebiasaan di kalangan pelajar terutama pelajar perempuan. Malu ialah keadaan yang tidak disedari kita telah dimalukan dan mampu mencemarkan maruah. Seperti pengalaman saya dimana cerita saya meminati seorang lelaki ini telah dihebahkan dan telah menjadi buah mulut orang lain. Saya berasa sangat malu dan tidak bertegur sapa dengan sesiapa pun ketika itu. Walaubagaimanapun, maruah saya tidak tercemar. Kebiasaanya maruah tercemar apabila mengaibkan diri dia sendiri seperti ditangkap khalwat. Saya difahamkan terdapat dua jenis malu iaitu individu dan profesional. Malu dari sudut individu adalah kesilapan sendiri seperti berjalan terlanggar kerusi dan jatuh. Sebab malu timbul daripada tindakan seseorang itu seperti kalah dalam pertandingan. Individu yang malu akan tersipu-sipu,berpeluh, tergagap-gagap dan gelisah. Terdapat individu yang menyembunyikan malu itu dengan ketawa atau senyum yang tidak ikhlas. Malu dari sudut professional timbul apabila fakta bercanggah dengan orang atasan dan ada individu yang sangup meletakkan jawatan kerana malu dengan apa yang telah dia lakukan.

                Sedih adalah keadaan emosi yang dirasakan kekurangan dan boleh membawa kepada kemurungan. Emosi ini memerlukan pihak kaunseling untuk membimbingnya dan memberikan motivasi. Selalunya bila bersedih, kita jadi pendiam, tidak bersemangat dan berseorangan. Contohnya, seorang budak perempuan duduk berseorangan di tangga kerana ibunya baru meninggal. Dia merasakan kekosongan di dalam dirinya. Tanda-tanda sedih seperti menunduk, murung, muram, dan tidak gembira. Mengikut kajian Forgas, orang gembira lebih cepat menerima maklumat berbanding orang yang bersedih.

                Berikutnya ialah marah. Marah ialah respons psychological kerana penderitaan, kesakitan dan juga ancaman. Marah juga merupakan tindakbalas terhadap persepsi ketidakadilan, kecurangan, konflik, dan penderaan. Contohya seperti apa yang Israel telah lakukan kepada saudara kita di Gaza dan menyebabkan kita marah dengan tindakan mereka. Marah dari segi aktif apabila seseorang itu menggunakan objek untuk melepaskan marahnya itu seperti mencampakkan pasu ke dinding dan dari segi pasif pula ialah pendam perasaan marah itu. Kita dapat mengawal marah dengan menenangkan diri dan terutama sekali bagi orang Islam,ambillah wudhu' kerana marah itu adalah sebahagian daripada syaitan. Dalam Islam juga, marah merupakan tanda kelemahan.

No comments:

Post a Comment