Thursday 12 August 2010

A134606 tingting LJ04

 

 ... laugh now cry later laugh | http://www.bing.com/images/search?mkt=en-MY&q=laugh+now+cry+later&F...

Pada minggu ini, saya telah mempelajari tentang emosi negatif iaitu takut, malu, sedih dan marah. Dalam kuliah ini, saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh pensyarah Encik Zamri bahawa emosi-emosi yang dialami oleh manusia ini tidak sepatutnya dilabelkan sebagai emosi yang negatif. Hal ini kerana emosi manusia adalah bersifat semulajadi. Selain itu,emosi negatif ini tidak sepatutnya membawa keburukan.

Emosi negatif pertama yang akan saya bincangkan ialah ketakutan (fear). Emosi ini merupakan tindakbalas, reaksi atau respon yang diberikan oleh seseorang individu semasa mereka berhadapan dengan situasi yang bahaya. Emosi takut ini sering dikaitkan dengan perasaan kebimbangan, keresahan, kecemasan dan sebagainya. Ketakutan ini juga dikatakan sebagai satu mekanisma yang dapat melangsungkan kesenangan kehidupan manusia. Contohnya, apabila berjumpa harimau, kita akan menunjukkan emosi takut dan dengan itu kita akan memikirkan cara untuk menyelamatkan diri. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan emosi takut?? Biasanya, seseorang itu akan berasa takut terhadap sesuatu yang tidak diketahui. Contohnya, sesetengah orang yang takut dengan kegelapan. Hal ini disebabkan kegelapan sering dikaitkan dengan waktu masa di mana perkara-perkara yang berunsur misteri atau jenayah berlaku. Sebab kita tidak akan tahu apa yang akan tersembunyi dalan kegelapan. Sesuatu yang tidak diketahui sering menakutkan. Selain itu, emosi takut ini wujud pada seseorang bukan setakat terhadap sesuatu tetapi juga konsep-konsep yang abstrak dan pengalaman atau peristiwa(trauma) yang dialami oleh seseorang itu. Misalnya, ada sesetengah orang yang takut mengeluarkan pendapat atau idea dalam kelas sebab takut diejek atau dikritik oleh orang lain. Emosi takut seseorang juga boleh diukur melalui ekspresi muka seseorang atau bahasa badan.Contohnya, mata terbuka,bibir atas ternaik, kaki atau tangan bergoncang.

Seterusnya ialah perasaan malu(embarrassment) juga merupakan salah satu emosi negatif. Emosi malu ini timbul dalam diri seseorang apabila tindakan atau perkara yang dibuat olehnya bercanggah dengan masyarakat yang berkemungkinan menjejaskan maruah diri atau namanya. Kebanyakkan orang akan mengalami perasaan malu ini dengan kesedaran perlakuan diri yang tidak sesuai atau  tidak senonoh. Kesilapan yang biasanya dilakukan oleh orang ramai ialah silap pakai kasut, terlupa berzip seluar atau terjatuh di tempat awam.Terdapat dua jenis malu iaitu dari segi peribadi (personal) dan juga professional. Bagi jenis peribadi, perasaan malu dilahirkan daripada tindakan individu atau perkara peribadi yang telah dibocorkan oleh orang lain. Contohnya seperti didapati berbohong atau gagal dalam sesuatu pertandingan. Seseorang yang berada dalam keadaan malu dapat dilihat jika dia tergagap-gagap, berpeluh, tersipu-sipu dan bergerak-gerak badannya. Tetapi, terdapat juga sesetengah orang yang menyembunyikan perasaan malunya dengan senyum dan ketawa.  Untuk jenis malu yang kedua iaitu malu dalam keadaan professional seperti seseorang ahli politik yang memberikan fakta yang salah ataupun malu sebab tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Misalnya, ahli politik ataupun pelakon-pelakon yang terkenal dimana tingkah lakunya yang tidak beretika telah didedahkan oleh masyarakat.

Emosi yang ketiga ialah perasaan sedih. Keadaan emosi ini disebabkan kekurangan atau kehilangan sesuatu seperti kehilangan kawan atau ahli keluarga tersayang yang akan mendorong kepada kemurungan. Kesedihan dapat dilihat melalui tingkahlaku seseorang yang tiba-tiba menjadi pendiam, tidak bersemangat, jarang bercampur dengan kawan dan lebih suka bersendirian. Biasanya, orang yang mengalami keadaan emosi sedih akan berkomunikasi dengan orang luar dengan menulis diari,blog ataupun surat. Tanda-tanda kesedihan seseorang juga dapat dilihat melalui simpton visual seperti badan bercerun, sentiasa tunduk kepala, menjulurkan bibir dan pergerakan badan yang lemah dan lambat.Terdapat kajian yang mengatakan bahawa biasanya orang yang sedih memproseskan maklumat dengan masa yang lama berbanding dengan orang yang berada dalam keadaan bahagia atau gembira. Orang yang sedih ini berfikir dengan banyak dan lebih kuat disebabkan keadaan emosi mereka yang terganggu dan tidak dapat fokus. Emosi sedih ini juga paling mudah dirasai oleh golongan wanita disebabkan emosi mereka yang lebih sensitif berbanding dengan lelaki. Sebagai contoh, biasanya perempuan yang mendengar lagu-lagu atau menonton drama yang berunsur kesedihan, emosi mereka mudah terpengaruh dan kebanyakka  akan menangis kerana perasaan sedih dan kasihan terhadap watak-watak atau tersentuh dengan lirik lagu tersebut.

Emosi yang terakhir ialah perasaan marah. Emosi ini merupakan tindak balas terhadap persepsi kita terhadap perkara seperti kecurangan, penghinaan,konflik, ketidakadilan dan sebagainya. Selain itu,emosi ini juga merupakan respon kepada tekanan atau ancaman yang dihadapi. Emosi marah ini dapat diekspreskan secara aktif dan pasif. Bagi kemarahan secara aktif, seseorang yang marah akan melepaskan geramnya dengan secara terus terang seperti bergaduh dengan orang tersebut atau membaling benda. Kemarahan pasif pula mereka yang memendamkan perasaan marah. Tahap kemarahan seseorang akan dimaksimakan  jika  dia mengetahui motif atau sesuatu keadaan yang dialami olehnya adalah dibuat dengan sengaja oleh sesuatu pihak. Contohnya, saya mempunyai seorang kawan yang telah dimainkan oleh rakan sekelasnya. Hal ini berlaku semasa tingkatan enam, kawan saya yang bernama yeo telah menerima surat cinta daripada seorang perempuan dan sebenarnya surat tersebut adalah buatan rakan lelaki sekelasnya dengan tujuan memainkan kawan saya. Apabila yeo mengetahui perkara ini, dia pula melepaskan perasaan marahnya dengan menumbuk rakan tersebut.

Sebenarnya, sesuatu emosi dapat dirasai mengikut cara kita melihat sesuatu perkara. Jika sesuatu perkara dipandang secara serong atau tidak tepat dan dengan itu akan melahirkan emosi yang negatif.

-Tamat-

No comments:

Post a Comment