Saturday 14 August 2010

A132529 Siti Nurliyana LJ04

Emosi negatif. Itulah topik kuliah yang dibincangkan untuk minggu ini. Antara emosi-emosi yang termaktub dalam kategori ini termasuklah takut, malu, sedih, marah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, seperti yang disuarakan oleh Prof Ahmad Zamri, saya juga kurang bersetuju dengan penglabelan emosi-emosi tersebut sebagai sesuatu yang negatif. Hal ini adalah kerana setiap perasaan yang kita alami adalah buktinya yang kita hidup sebagai manusia. Maka jika kita mengalami emosi tersebut, ianya sesuatu yang normal bagi setiap individu.

Emosi-emosi 'negatif' ini sebenarnya memang tidak dapat kita elakkan, namun kita perlu juga tahu bagaimana hendak mengawal emosi kita dan tidak bertindak melulu mengikut perasaan. Pertama sekali, perasaan takut hendaklah berpada-pada tanpa mengganggu keadaan mental seseorang. Selain itu, perasaan takut boleh dikatakan berkait rapat dengan rasa bimbang dan gelisah atau resah. Ketiga-tiga komponen emosi inilah yang seringkali menjadi penghalang kepada golongan belia masa kini dari menonjolkan potensi sebenar mereka. Sebagai contoh, seorang mahasiswa yang dibelenggu oleh emosi sebegini lebih suka menyendiri tanpa menyertai apa-apa aktiviti tambahan yang pada hakikatnya mampu meningkatkan 'soft skills' mereka. Namun begitu, sekiranya seseorang itu berjaya mengatasi ketakutan mereka, mereka akan mendapat kepuasan yang tidak terhingga. Contohnya Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, beliau telah mengaku yang beliau sebenarnya seorang 'batophobia' atau 'fear of heights' namun dia mampu memikul tanggungjawab sebagai angkasawan pertama Negara. Malah dia telah mencuba 'bungee jumping' sebagai persiapan untuk memajukan dirinya.

Seterusnya, perasaan malu sangat penting bagi kita terutama sekali dalam situasi-situasi sosial di mana ia menjadi pembatas tingkah laku kita. Bayangkan jika kita tidak kisahkan batas tingkah laku akibat perasaan tidak tahu malu, lama-kelamaan rasa hormat-menhormati antara masyarakat juga akan semakin hilang. Hal ini membuktikan betapa pentingnya perasaan malu ini. Tetapi dalam pada masa yang sama, jika kita biarkan diri dikawal oleh perasaan ini, hidup kita akan sentiasa terkongkong. Saya dapati yang kebanyakan kawan saya mengeluh mereka tidak mampu bertutur dalam bahasa inggeris, tetapi mereka sebenarnya mampu bertutur, cuma masalahnya mereka terikut-ikut dengan perasaan malu mereka. Kadangkala saya terfikir juga, kenapa kita rasa malu untuk bercakap di khalayak ramai? Biasanya pendengar kita tidak perasan pun tentang perkara-perkara yang kita cuba sembunyikan. Perasaan malu itu hakikatnya datang dari diri kita sendiri. Dan cara kita menanganinya membuat kita semua unik dalam konteks itu.

Jika disuruh menjelaskan tentang perasaan sedih, tiada perkataan yang mampu menerangkan sepenuhnya bagaimana rasa sedih itu. Sedih merupakan antara emosi yang amat berat boleh dirasai kita. Sedih mempunyai banyak tahap dan membawa kesan-kesan yang berbeza. Antara kesan yang paling merisaukan ialah kemurungan atau'depression'. Kemurungan perlu dipandang serius kerana ianya boleh member kesan buruk kepada kesihatan kita. Apabila kita berhadapan dengan kejadian yang menyedihkan, tidak salah untuk kita menangisi nasib kita. Menangis mampu mengurangkan kesan kemurungan itu. Walau bagaimanapun, bila tiba masanya kita perlu belajar menerima hakikat hidup kita dengan seadanya. Hanya dengan cara ini baru kita boleh berdiri dengan teguh pada keesokan harinya.

Sebagai umat Islam kita harus tahu bagaimana hendak mengawal kemarahan kita. Dalam keadaan marah, seseorang itu boleh hilang pertimbangan dan seeloknya janganlah membuat keputusan penting ketika dalam keadaan ini. Sepanjang hidup saya, saya memang tidak tahu bagaimana berdepan dengan orang yang sedang marah. Jika tersilap langkah, orang yang sedang marah berkemungkinan besar akan memaki hamun kita. Oleh itu, tindakan yang terbaik bila menghadapi situasi tersebut ialah kita perlu beri peluang kepadanya untuk meredakan kemarahannya dulu.

No comments:

Post a Comment