Saturday 14 August 2010

A129289 NORAZMAN LJ04

                Assalamualaikum dan salam Ramadan untuk semua, khususnya untuk Encik Ahmad Zamri, pensyarah kami untuk kursus Pengurusan Emosi ZT 2253.Pada minggu ini, kuliah yang dipersembahkan oleh encik sudah masuk kepada kuliah yang kelima, dan untuk kali ini kami didedahkan tentang emosi negatif.


                Emosi negatif ini sangat berlainan dengan emosi positif yang kami pelajari pada minggu yang lalu, kerana emosi ini lebih berkait rapat dengan perkataan emosi itu sendiri, seperti yang digunakan oleh remaja masa kini, iaitu perkataan 'emo' yang bermaksud terasa hati (dalam hal ini merujuk kepada emosi negatif).


                Emosi negatif terbahagi kepada 4 perkara iaitu takut, malu, sedih dan marah. Takut adalah reaksi emosi iaitu bahaya yang akan datang, dan ini biasanya berkaitan dengan cemas.Emosi takut juga boleh diperoleh daripada pengalaman lalu, contohnya oleh pengalaman yang memberi trauma kepada seseorang. Saya sendiri seorang yang mempunyai pengalaman menghadapi trauma.Saya pernah mengalami kemalangan motosikal, dan berlaku tidak jauh dari rumah saya beberapa tahun yang lalu.Walaupun saya cuma mengalami cedera ringan, namun setiap kali keadaan cuaca bertepatan dengan keadaan ketika saya mengalami kemalangan itu, saya berasa menggeletar, dan berpeluh, selain memandang ke bawah (keadaan ketika kemalangan itu berlaku adalah ketika hujan lebat).Hal ini membuktikan bahawa pengalaman yang memberi trauma ataupun pengalaman traumatik juga mampu memberikan perasaan takut kepada seseorang individu itu.


                Emosi malu juga termasuk di dalam kumpulan emosi negatif. Malu adalah satu perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri.Malu terbahagi kepada 2 jenis, iaitu malu sendiri dan malu dalam konteks profesional.Malu sendiri lebih berkisar kepada kesilapan sendiri, ataupun ketika sedang berbohong (dan pembohongan itu diketahui ramai bahawa ianya palsu).Gagal dalam sesebuah pertandingan juga boleh menyumbang kepada malu sendiri.Saya juga pernah mengalami keadaan malu sendiri ini, di mana pada ketika itu saya menyertai sebuah kem motivasi.Saya tersandung di celahan akar pokok ketika aktiviti merentas hutan, bukan sekali tetapi 5 kali, sehinggakan peserta di belakang saya tertawa terbahak-bahak melihat saya dalam keadaan itu.Saya sendiri tidak ingat mengapa saya tersandung sehingga 5 kali, sedangkan itu bukanlah kali pertama saya memasuki dan menjalani aktiviti merentas hutan.Saya berasa sangat malu sehingga saya enggan untuk berjalan lagi.Ternyata perasaan malu sendiri ini menjadikan saya seorang yang lebih berhati-hati di dalam melakukan apa sahaja pekerjaan.


                Beralih kepada emosi yang seterusnya iaitu emosi sedih.Sedih dapat didefinisikan sebagai sebuah emosi yang menunjukkan perasaan kehilangan dan kerugian, akibat sesuatu atau seseorang yang begitu penting dalam hidup kita.Pada kebiasaannya, seseorang  yang mengalami perasaan sedih akan menunjukkan tanda-tanda seperti mendiamkan diri, kurang bertenaga dan memencilkan diri daripada orang ramai.Emosi sedih ini adalah emosi yang paling banyak saya alami sepanjang hidup saya, kerana kehidupan saya yang bolehlah dikatakan agak rumit.Tetapi dalam kes-kes emosi sedih yang saya alami, saya paling merasa sedih ketika saya kehilangan rakan karib saya untuk selama-lamanya kerana dia mengalami kemalangan jalan raya 2 tahun lalu.Dan yang saya sedih adalah ketika berita arwah kemalangan disiarkan hanya sekali sahaja dalam berita tengah hari, dan tidak diulang dalam berita pada sebelah malam.Jika saya tidak menonton televisyen tengah hari itu, sehingga ke hari ini saya tidak akan tahu yang rakan karib saya sudah tiada lagi di dunia ini.Saya juga gagal menghadiri pengebumian jenazah arwah disebabkan saya ketika itu sedang menuntut di Tingkatan Enam, yang memerlukan saya untuk fokus untuk menghadapi STPM yang bakal menjelang.Alhamdulillah, atas usaha dan berkat doa, restu ibu bapa, serta semangat arwah yang saya genggam, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, untuk menyambung cita-cita arwah yang tidak kesampaian.


                Emosi yang terakhir dalam kumpulan emosi negatif ialah marah.Marah bermakna reaksi psikofisiologi, merasa derita atau sengsara, ataupun terancam. Ancaman itu pula mungkin benar, ataupun hanya bayangan semata-mata.Marah boleh terbahagi kepada 2 iaitu marah aktif dan marah pasif.Marah aktif bermakna orang yang marah itu terus mengeluarkan kata-kata kesat atau perbuatan.Marah pasif pula lebih tertumpu kepada rajukan, dan juga menghadapi tekanan.Menurut perspektif Islam, orang yang marah adalah orang yang lemah.Hal ini kerana orang yang marah itu tidak dapat mengawal dirinya daripada dikuasai emosi marah itu (yang dinyalakan oleh syaitan).Jadi dalam konteks Islam, dia adalah seorang yang lemah.Saya bukan seorang yang mudah marah.Hal ini kerana saya sejak dari kecil lagi sudah diajar tentang cara-cara untuk mengawal marah.Namun kadangkala kemarahan itu muncul juga, dan saya mungkin akan melakukan perkara yang tidak diduga.

No comments:

Post a Comment