Thursday 26 August 2010

A127070 Sakinah LJ06

            Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Encik Zamri dan rakan-rakan sekalian. Pada minggu ini, tajuk kuliah kami berkisar kepada teori-teori seperti Teori Aras Adaptasi dan Teori Solomon. Konsep asas Teori Aras Adaptasi mengatakan bahawa kita bertindak balas terhadap rangsangan baru berdasarkan tahap adaptasi kita pada masa kini. Teori ini merupakan teori yang lebih umum berkaitan dengan tingkah laku manusia. Aras adaptasi seseorang ialah fungsi aras neutral semasa individu tersebut bergantung kepada situasi rancangan yang khusus. Secara umumnya, kita menentukan titik neutral atau titik adaptasi untuk setiap satu daripada simulasi yang pelbagai. Apabila terdapat rangsangan luar masuk, kita akan membandingkan rangsangan luar ini dengan titik adaptasi sama ada ia lebih tinggi atau lebih rendah.

            Contoh yang sesuai ialah melalui pendengaran terhadap bunyi sekeliling. Cuba kita dengarkan bunyi di sekeliling dan sekiranya bunyi itu tidak kuat dan tidak juga perlahan, maka ia sebenarnya menghampiri titik adaptasi kita terhadap intensiti bunyi. Minda kita biasanya akan mentakrifkan bunyi yang berintensiti lebih tinggi dari titik adaptasi sebagai bunyi yang kuat. Manakala bunyi yang berintensiti lebih rendah akan ditakrifkan sebagai bunyi yang perlahan. Konsep aras adaptasi ini juga boleh digunakan untuk menerangkan fenomena psikologi. Contoh terbaik dapat dilihat dalam hal pendapatan seseorang individu. Jika sekiranya seseorang bekerja sambil belajar, gaji individu tersebut adalah sebanyak RM10,000 setahun. Apabila dia tamat belajar, gajinya akan bermula dengan RM25,000 setahun. Pada masa itu, dia akan merasakan gajinya itu sangat tinggi berbanding aras adaptasinya iaitu RM10,000. Namun, setelah beberapa tahun kemudian, dia akan sedar bahawa gajinya pada ketika itu sangat rendah berbanding gaji barunya sekarang iaitu RM50,000. Hal ini berlaku kerana aras adaptasinya telah meningkat. Hal ini meningatkan saya tentang pengalaman saya semasa berada di sekolah dulu. Saya sering mendapat keputusan yang memuaskan tetapi tidak cukup baik bagi diri saya. Oleh itu, saya merasakan bahawa saya tidak akan merasa lebih bahagia selagi saya tidak mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

            Teori yang seterusnya ialah Teori Proses Berlawanan Solomon atau lebih dikenali sebagai Teori Solomon. Richard Solomon adalah tokoh yang memperkenalkan tentang teori ini. Beliau telah membawa Teori Aras Adaptasi maju selangkah ke hadapan dengan melihat kecenderungan emosi untuk jangka masa yang pendek selain daripda jangka masa yang panjang. Teori ini mencadangkan bahawa emosi bergerak menuju keseimbangan dengan bergerak ke arah titik neutral bukan saja untuk jangka masa yang panjang tetapi juga untuk jangka msa yang pendek. Secara spesifik, setiap emosi akan menyebabkan emosi yang bertentangan terhasil. Solomon turut mengatakan bahawa emosi pada peringkat pertamanya akan menerbitkan keadaan primari iaitu keadaan yang diperolehi bukan melalui pembelajaran tetapi lebih kepada tindak balas yang automatik. Keadaan primari ini seterusnya akan mencetuskan keadaan emosi yang bertentangan. Emosi yang bertentangan ini bermula lebih lambat daripada keadaan primari tetapi ia hanya bertahan lebih lama dan kekuatannya meningkat dengan pengulangan manakala keadaan primari pula akan menjadi lemah.

            Emosi yang positif biasanya akan diiringi dengan emosi yang negatif. Hal yang sebaliknya juga boleh berlaku. Sebagai contoh, sekiranya seseorang melakukan senaman, dia akan merasa bosan dan menyesal kerana melakukannya akibat kepenatan. Walaubagaimanapun, dia akan merasa gembira selepas itu kerana ia telah menyihatkan badannya sekaligus menjauhkannya daripda penyakit. Berdasarkan teori ini, saya dapat mengaitkannya dengan pengalaman saya iaitu semasa saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Pada mulanya, saya merasa gembira kerana berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti kerana ia adalah impian saya sejak sekolah menengah. Namun begitu, ia turut disertai dengan emosi negatif kerana saya merasa sedih untuk berpisah dengan keluarga dan juga bimbang tidak dapt menyesuaikan diri di tempat baru atas faktor tidak pernah tinggal di asrama dan tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa teori ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai fenomena.

            Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa isi kandungan kuliah pada minggu ini adalah ringkas tetapi penuh dengan maklumat yang bermanfaat. Pada mulanya, saya tidak begitu faham dengan Teori Aras Adaptasi tetapi setelah meneliti semula, saya mulai faham tentang maksudnya. Teori Solomon pula menyedarkan saya bahawa setiap peristiwa yang kita alami selalunya akan menghasilkan emosi negatif atau positif yang diikuti dengan emosi yang bertentangan sesuai dengan situasi tersebut. Sekian.


No comments:

Post a Comment