Wednesday 25 August 2010

A121741 Mas Ayu LJ06

Minggu lepas aku belajar tentang teori-teori yang berkait rapat dengan pengalaman emosi. Ada tiga teori yang digunakan dalam menjelaskan pengalaman emosi ini. Teori pertama menekankan aspek fisiologikal, teori kedua menekankan aspek kognitif dan teori ketiga pula menekankan aspek psikologikal. Apabila membincangkan teori tersebut dan kaitannya dengan pengalaman emosi aku rasakan seperti aku membicarakan tentang isu telur dan ayam. Antara telur dan ayam yang mana satu datang dahulu? Analogi ini jelas mengambarkan teori fisiologi, JLT dan CBT yang melihat aspek emosi dan reaksi fisiologi. Semakin difikir keadaan ini kita seperti berkisar di titik yang sama. Tiada jawapan yang mutlak dalam menjelaskan keadaan tersebut. Berbeza pula dengan kuliah minggu ini. Teori aras adaptasi yang ku pelajari minggu ini dilihat lebih dekat dengan pengalaman individu dan bersifat realistik. Apabila aku fikir tentang idea yang diketengahkan dalam teori ini, aku tidak nafikan bahawa teori ini boleh memberi impak yang besar dalam menjelaskan adaptasi individu dengan perubahan persekitaran yang dialami dalam kehidupan.


Apabila membicarakan tentang proses adaptasi, aku teringat semasa aku di tahun satu dahulu. Perubahan persekitaran dan cara pembelajaran di sekolah dan universiti agak jauh berbeza. Transformasi dari alam sekolah ke universiti memerlukan aku berdepan dengan proses adaptasi. Pada peringkat awalnya aku agak jangkal, maklum sahaja di sini aku baru mengenali dunia universiti sebagai seorang mahasiswa. Aku kena peka dengan waktu bas, waktu kuliah dan bilik kuliah yang sentiasa bertukar. Aku juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan jenis tugasan yang diminta pensyarah bagi setiap subjek. Terasa asing di peringkat awalnya namun kini aku rasakan ianya adalah suatu yang biasa kerana itulah rutin sebagai mahasiswa universiti. Proses adaptasi itu berkait rapat dengan cara kita menyesuaikan diri dan sokongan persekitaran khususnya kawan-kawan. Titik neutral atau titik adaptasi yang dialami setiap individu berbeza mengikut cara setiap individu menyesuaikan diri dengan keadaan. Kadang-kadang ia juga berkait rapat dengan personaliti. Orang yang mudah mesra dikatakan mudah mengadaptasi dengan persekitaran baru berbanding orang yang kurang bercakap. Begitu juga dengan orang yang mudah berdikari. Mereka juga mudah mengadaptasi diri sesuai dengan tempat, masa dan situasi.


Jika seseorang individu mudah mengadaptasi dengan perubahan persekitaran mereka didapati lebih cepat bahagia dan kurang berasa tertekan berbanding dengan individu yang agak lambat mengadaptasi perubahan. Seorang pembuat kek yang mahir dan seorang pembuat kek yang baru belajar mengambil masa yang berbeza dalam menyiapkan jenis kek yang sama. Begitu juga dari aspek kualiti hiasan dan kekemasannya. Pembuat kek yang mahir mampu menyiapkan satu kek dalam masa yang singkat dan berkualiti. Semuanya kerana proses latihan dan pembelajaran yang berterusan. Kemahiran itu terbentuk hasil pengetahuan dan pengalaman. Elemen inilah yang memainkan peranan dalam menjelasakan proses adaptasi yang dialami dua orang pembuat kek tadi. Namun begitu, kita perlu ingat jika seseorang individu mengalami satu keadaan baru maka proses adaptasi juga akan berubah. Sebagai contoh pembuat kek yang mahir tadi ingin mencuba membuat satu jenis kek menggunakan resepi baru yang belum pernah dibuat sebelum ini maka dia juga mengambil masa yang lama seperti pembuat kek yang baru belajar tadi. Seseorang boleh mahir dalam sesuatu aspek kerana mereka telah mencapai titik adaptasi.Kepuasan seorang pembuat kek tidak akan pernah terhenti selagi dia tidak mengatasi kejayaan berhadapan dengan keadaan yang mengatasi titik neutralnya tadi. Aras adaptasi akan sentiasa menjadi titik neutral dan hanya sesuatu yang lebih tinggi daripada titik neutral sahaja yang mampu membuatkan individu itu bahagia.


Teori adaptasi mengatakan emosi akan menjadi seimbang dengan bergerak ke arah titik neutral untuk jangkamasa yang panjang. Menurut teori proses berlawanan yang dicadangkan oleh Richard Solomon, beliau mengatakan bahawa emosi bergerak menuju keseimbangan dengan bergerak ke arah titik neutral bukan sahaja untuk jangka masa panjang tetapi juga untuk jangka masa pendek. Menurutnya lagi setiap emosi akan menyebabkan emosi yang bertentangan timbul. Sebagai contoh, ketika majlis graduasi berlansung semua pelajar bermuka ceria kerana seronok telah tamatnya pengajian dan mendapat segulung ijazah. Pada masa tersebut perasaan gembira mengatasi perasaan takut tentang masa depan kerjaya masing-masing. Namun begitu sebulan selepas majlis graduasi aras perasaan takut lebih tinggi dan mengatasi aras perasaan gembira semasa majlis graduasi. Hal ini menjelaskan bahawa setiap emosi bertentangan akan wujud bersama bagi sesuatu keadaan namun arasnya sahaja berbeza. Apabila satu dari emosi bertentangan ini naik maka satu lagi emosi akan turun, begitu juga sebaliknya. Namun begitu, jika kita mengulangi pengalaman emosi yang sama maka kekuatan relatif emosi bertentangan akan naik. Sekiranya seseorang itu mengalami majlis graduasi kali kedua untuk memperoleh sarjana pula dia sudah dapat mengadaptasi perasaan takut tersebut. Pengalaman kali kedua ini menyebabkan dia lebih gembira kerana dia percaya ada peluang yang cerah untuk masa depannya hasil pengalaman lalu.

No comments:

Post a Comment