Thursday 26 August 2010

A123147 Syuhaidah LJ06

Perkuliahan pada minggu ini adalah membincangkan mengenai Teori Aras Adaptasi dan Teori Berlawanan Solomon.

            Teori adaptasi mengatakan bahawa kita bertindak balas terhadap ransangan baru berdasarkan tahap adaptasi kita sekarang. Kita secara automatiknya boleh menentukan titik neutral atau titik adaptasi bagi setiap satu daripada pelbagai jenis rangsangan.

 Perkara yang selalu kita alami akan menjadikan kita adaptasi terhadap sesuatu situasi. Misalnya, semenjak daripada tingkatan satu sehinggalah tingkatan enam saya tinggal di asrama. Oleh itu, apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk menyambung pengajian di UKM, perkara ini tidak begitu menjadi masalah kepada saya kerana saya telah dapat menentukan titik adaptasi dengan pengalaman semasa saya semasa tinggal di asrama dahulu. Semasa minggu pertama tinggal di asrama sekolah dahulu pula, saya dapati terdapat ramai dalam kalangan rakan-rakan saya yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama. Terdapat segelintir daripada mereka yang hampir setiap malam menangis semasa hendak tidur kerana terkenangkan keluarga masing-masing. Namun, setelah beberapa minggu tinggal di asrama, mereka akhirnya dapat mencapai titik adaptasi diri mereka dengan kehidupan sebagai seorang pelajar di asrama.

            Selain itu, Asmawati (2004), memberikan contoh tentang seseorang yang baru berpindah ke daerah Sepang dan tinggal di rumah yang berdekatan dengan KLIA. Pada mulanya, individu tersebut akan mengalami kesukaran untuk tidur nyenyak pada waktu malam kerana bunyi kapal terbang. Tetapi lama-kelamaan individu tersebut akan dapat tidur nyenyak kerana telinganya sudah dapat mengadaptasi terhadap bunyi bising tersebut. Realitinya, bunyi kapal terbang tetap kuat, tetapi dengan pendedahan yang berterusan, sensitiviti deria kita terhadapnya berkurangan. Oleh sebab adaptasi deria didapati berlaku secara automatik, maka proses yang berlaku secara semulajadi itu membolehkan manusia menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku.

            Teori Berlawanan Solomon pula mengatakan bahawa setiap emosi akan menyebabkan emosi yang bertentangan timbul. Situasi emosi pada peringkat pertama akan menerbitkan keadaan primari, iaitu keadaan yang diperolehi bukan melalui pembelajaran tetapi tindak balas automatik. Keadaan primari seterusnya akan mencetuskan keadaan emosi yang berlawanan. Emosi yang berlawanan ini pula bermula lebih lambat daripada keadaan primari tetapi bertahan lebih lama dan kuat daripada keadaan primari.

Satu contoh yang berkaitan dengan Teori Berlawanan Solomon ini adalah mengenai pengalaman saya semasa menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Pada mulanya, apabila saya terpilih menyeryai PLKN saya rasakan perkara tersebut agak menyusahkan dan membantutkan rancangan saya untuk bekerja dengan saudara saya sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Tambahan pula pada masa itu PLKN baru diperkenalkan dan pelbagai perkara yang tidak enak didengar telah berlaku dalam program tersebut. Berita-berita yang terpapar dalam media sedikit sebanyak juga telah menimbulkan kebimbangan dan pelbagai reaksi emosi negatif kepada diri saya dan juga keluarga. Namun, selepas saya merasai sendiri pengalaman dalam PLKN, saya dapat merasai keseronokan yang sebenarnya. Hal ini disebabkan terdapat pelbagai aspek positif dalam perlaksanaan PLKN. Kelebihan bagi tempoh jangka pendek menyertai PLKN dapat membentuk tahap disiplin yang lebih baik kepada saya, manakala bagi jangka panjang pula, PLKN dapat memberikan pelbagai faedah kepada diri saya. Misalnya, selain dapat mengukuhkan semangat patriotisme dan memupuk perpaduan kaum, saya juga dapati PLKN dapat meningkatkan perwatakan positif dan pembinaan sahsiah diri saya.

Selain itu, pengalaman emosi yang sangat positif juga boleh diiringi oleh emosi yang sangat negatif. Contohnya, Sternberg (1997), dalam 'Social Readjustment Rating Scale' mendapati bahawa berkahwin dianggap lebih menekan dan lebih mencabar berbanding dengan menghadapi kerenah ketua yang cerewet, walaupun berkahwin sebenarnya merupakan sesuatu perkara yang menggembirakan. Jadi perkara yang menyeronokkan (berkahwin = emosi positif) juga mungkin menghasilkan tekanan (emosi negatif).

            Kesimpulannya, melalui teori aras adapatasi, emosi individu akan menjadi seimbang dengan bergerak ke arah titik neutral untuk jangka masa panjang. Manakala berdasarkan teori proses berlawanan pula emosi bergerak menuju keseimbangan ke arah titik neutral bukan sahaja untuk jangka masa panjang tetapi juga untuk jangka masa pendek.


No comments:

Post a Comment