Friday 20 August 2010

A123147 Syuhaidah LJ05

Perkuliahan pada kali ini membincangkan mengenai teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Teori fisiologikal terdiri daripada Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan pendekatan psikobiologikal.

Menurut Teori James-Lange, tindak balas fisiologikal terhadap rangsangan akan mencetuskan emosi. Perubahan-perubahan fisiologi yang berlaku akan menyumbang kepada persepsi manusia tentang emosi mereka. Contoh situasi yang boleh diterangkan berdasarkan teori James-Lange ini ialah mengenai laporan akhbar harian metro yang bertajuk "Amahku Gila". Laporan itu adalah mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cuba untuk terjun bersama bayi majikannya yang baru berusia lima bulan dari tingkat enam sebuah kondominium di Segambut. Ransangan daripada suara pembantu rumahnya yang bercakap seorang diri dan menangis di dalam biliknya, menyebabkan Azlinda menjadi takut dan bimbang. Tambahan pula, Azlinda turut menjadi bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini selepas mengesyaki pembantu rumahnya yang kematian anak sebelum datang bekerja di negara ini, mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar kawalan. Suara dan tangisan (ransangan) yang didengari oleh Azlinda menyebabkan perubahan fisiologikal (reaksi tubuh). Kebiasaannya jantung akan berdegup kencang, kelenjar-kelenjar peluh menghasilkan peluh dan bulu roma menegak apabila seseorang berada dalam situasi ketakutan dan kebimbangan (emosi). Oleh itu, ransangan yang menyebabkan respon fisiologikal seterusnya akan mencetuskan pengalaman subjektif bagi emosi dan kemudiannya melahirkan perasaan takut dan bimbang.

Mengikut Teori Cannon-Bard, beliau mengatakan bahawa sistem-sistem organ dijangkakan akan mencetuskan respon emosi. Reaksi-reaksi emosi terhadap rangsangan pula adalah pantas. Contohnya, dalam situasi Azlinda tadi, beliau bertindak segera menghubungi suaminya di pejabat. Kemudian apabila membuka pintu biliknya dan melihat pembantu rumahnya berdiri atas tangga dan bersedia untuk melompat keluar dari tingkap, Azlinda dengan segera menariknya dan terjatuh di atas lantai. Seterusnya, dalam keadaan panik itu, Azlinda menerkam ke arah pembantu rumahnya sambil menjerit meminta tolong dan merampas anaknya daripada pembantu rumahnya itu. Azlinda juga sempat menekan butang interkom dalam pergelutan itu untuk menghubungi pengawal keselamatan bagi memaklumkan cubaan pembantu rumahnya itu terjun melalui tingkap bersama bayinya. Saya telah merujuk buku "Psikologi Untuk Golongan Profesional" bagi lebih memahami tentang teori ini. Berdasarkan penjelasan buku ini, emosi sebahagian besarnya dikawal oleh otak dan terdapat dua lagi sistem fisiologi yang mempengaruhi respon emosional kita iaitu sistem saraf autonomik dan sistem endorin. Contoh yang diberi ialah apabila kita merasa takut atau marah, sistem saraf autonomik akan mengarah jantung dan paru-paru untuk mempercepatkan aktiviti mereka. Oleh itu, situasi yang dialami oleh Azlinda yang telah mengambil pelbagai tindakan drastik untuk menyelamatkan anak mereka sesuai seperti yang dinyatakan dalam Teori Cannon-Bard ini.

Seterusnya adalah mengenai teori psikobiologikal yang diperkenalkan Jack Panksepp. Menurutnya, terdapat 4 emosi asas iaitu takut, marah, panik dan pengharapan. Setiap daripada emosi tersebut pula dikaitkan dengan sistem perintah yang terdapat pada otak. Empat sistem asas ini kemudiannya saling berhubung antara satu sama lain bagi mengasilkan emosi yang lain. Contoh Azlinda tadi boleh menerangkan teori ini iaitu keempat-empat emosi asas tersebut wujud dalam situasi yang dialami olehnya. Pertama sekali, Azlinda mengalami perasaan takut apabila pembantu rumahnya itu sering tersasul memanggil nama anaknya dengan nama Nasywa. Nasywa merupakan anak perempuan kepada  pembantu rumahnya itu yang telah meninggal dunia dua tahun lalu. Keadaan itu menyebabkan Azlinda ketakutan sehingga tidak berani keluar rumah kerana khuatir sesuatu terjadi kepada bayinya itu. Kemudian, apabila perkara buruk itu benar-benar terjadi dia menjadi panik dan berjaya mengambil pelbagai tindakan untuk menghalang tindakan pembantu rumahnya itu. Azlinda agak marah kerana agensi pembantu rumah terbabit mengambil sikap lepas tangan. Dia juga berharap kejadian yang menimpa dirinya dijadikan teladan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengambil pembantu rumah warga asing dan menyiasat dahulu latar belakang mereka. Teori ini juga mengatakan bahawa neurotransmitter dopamine adalah berhubung kait dengan sistem pengharapan dan acetylcholine merupakan pengantara kepada sistem keberangan.

Jadi, contoh situasi ini membolehkan saya lebih memahami mengenai teori-teori yang berorientasikan fisiologikal ini #


No comments:

Post a Comment