Thursday 5 August 2010

A123147 Syuhaidah LJ03

Kuliah pada minggu ini adalah membincangkan mengenai emosi positif iaitu gembira, bahagia dan kasih. Kebahagiaan merupakan keadaan emosional yang ditandai dengan rasa kenikmatan, kesenangan dan kepuasan.

            Salah satu perkara yang menarik minat saya pada kuliah kali ini adalah tentang bagaimana bahagianya kita?. Seseorang yang bijak dalam menyesuaikan diri dikatakan lebih bahagia. Oleh itu, individu yang mempunyai penyesuaian yang tinggi dapat menghadapi segala masalah yang timbul dengan tenang. Contohnya, penyesuaian dalam kalangan pelajar baru di universiti memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan mereka di universiti. Terdapat kajian yang membuktikan bahawa salah satu punca pelajar gagal menyempurnakan pengajian mereka adalah disebabkan oleh masalah penyesuaian. Pelajar ini tidak dapat menangani pelbagai cabaran dan tuntutan di kampus lalu mengalami pelbagai masalah penyesuaian sehingga terdapat antara mereka yang gagal meneruskan pengajian ke semester yang seterusnya. Pelajar yang tidak dapat membuat penyesuaian dengan kehidupan sebagai seorang pelajar universiti sentiasa berasa dalam keadaan tertekan. Perkara ini agak sesuai seperti yang diperkatakan dalam buku La tahzan di bawah tajuk  Kendalikan Perasaan Anda, iaitu emosi dan perasaan seseorang akan bergolak disebabkan oleh dua perkara iaitu kegembiraan yang memuncak dan musibah yang berat. Oleh itu, sesiapa yang mampu menguasai perasaannya dalam setiap peristiwa atau situasi, baik yang memilukan dan juga menggembirakan, maka dia berhak mendapat penghargaan iaitu hati yang teguh dan stabil serta menperolehi kebahagiaan yang tenang dan kenikmatan kerana berjaya mengalahkan nafsu.

            Selain itu,perbincangan tentang faktor-faktor kebahagian turut menarik perhatian saya. Kebahagiaan dikatakan terdiri daripada dua komponen yang utama iaitu keadaan emosi untuk jangka masa panjang dan keadaan emosi untuk jangka masa pendek. Keadaan jangka masa panjang merujuk kepada gambaran bagi latar belakang emosi yang berterusan yang agak stabil daripada bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Keadaan emosi untuk jangka masa panjang berkemungkinan disebabkan oleh pengalaman yang dialami ketika kanak-kanak dan dilengkapi dengan pengalaman purata yang berterusan sepanjang hayat seseorang. Contohnya, jika seseorang kanak-kanak mempunyai pengalaman emosi yang menakutkan seperti selalu menjadi mangsa penderaan oleh ibu bapanya semasa zaman kanak-kanak dan terus mempunyai pengalaman emosi yang negatif sehingga dewasa, individu tersebut dikatakan mempunyai keadaan emosi yang negatif untuk jangka masa panjang. Seterusnya, keadaan emosi jangka masa pendek pula adalah berdasarkan peristiwa yang baru dialami dalam hidup seseorang. Contohnya ialah memulai pekerjaan yang baru, menerima kelahiran anak, memenangi sejumlah wang, kegagalan dalam peperiksaan dan sebagainya.

            Model additive pula mengutarakan bahawa kebahagiaan masa sekarang yang dimiliki oleh seseorang adalah kombinasi additive antara keadaan emosi jangka masa panjang dan keadaan emosi jangka masa pendek. Pandangan ini ada benarnya. Misalnya, jika seseorang pelajar yang telah diberi didikan dan bimbingan sebaik mungkin sejak kecil oleh ibu bapanya tentang kepentingan menuntut ilmu, pelajar tersebut akan sentiasa berusaha untuk belajar. Pendedahan tersebut akan sentiasa membawa kepada pemikiran positif dalam diri pelajar tersebut dalam usaha mencari ilmu. Seterusnya, pencapaian yang dimiliki oleh pelajar sekarang seperti berjaya menamatkan pengajiannya dengan pencapaian yang cemerlang adalah satu pencapaian yang membanggakan dalam diri individu. Jadi, kombinasi additive antara keadaan emosi jangka masa panjang dan keadaan emosi jangka masa pendek membawa kepada kebahagiaan sekarang.

            Terdapat beberapa faktor jangka masa panjang dalam aspek kebahagiaan seperti kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi, senaman, genetik dan juga keagamaan. Satu artikel menarik tentang kebahagiaan boleh dibaca melalui laman blog di http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/ . Contoh bagi faktor kesihatan ialah seseorang yang sentiasa menjaga kesihatannya dengan baik sejak kecil seperti mengamalkan pemakanan sihat, sentiasa bersenam dan sebagainya akan mempunyai badan yang sihat dan kemungkinan besar bebas daripada pelbagai penyakit. Hal ini disebabkan pemakanan dikatakan penyumbang terbesar kepada pelbagai penyakit.

Jadi, kebahagiaan adalah penting kepada manusia kerana sudah menjadi naluri semulajadi manusia walaupan di mana mereka berada atau apa pun pekerjaan yang mereka lakukan, mereka impikan kehidupan yang bahagia.

 

 


No comments:

Post a Comment