Friday 13 August 2010

A122963 Norhafizatulahwa LJ04

Pada minggu lepas, saya telah diajar tentang emosi positif. Walau bagaimanapun pada minggu ini, kami didedahkan pula dengan emosi negatif. Terdapat beberapa emosi negatif yang telah dipelajari pada minggu ini iaitu takut, malu, sedih dan marah. Sebagai manusia, kita akan melalui pelbagai peristiwa dalam hidup setiap hari. Tidak kiralah peristiwa tersebut adalah menyeronokkan atau sebaliknya. Oleh itu, sudah pasti setiap manusia akan merasai bermacam-macam perasaan sama ada positif atau negatif dan kita sudah pasti tidak dapat lari daripadanya. Pada minggu lepas saya sudah menceritakan serba sedikit berkenaan dengan emosi positif dan pada kali ini saya akan menceritakan pula tentang emosi negatif.

 

            TAKUT. Takut merupakan satu respon emosi terhadap bahaya yang akan menimpa dan turut berkaitan dengan kebimbangan. Dengan adanya perasaan takut ini, ia menjadi mekanisme untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai contoh, apabila seseorang terserempak dengan sesuatu yang akan membahayakan diri seperti terserempak dengan seekor harimau di hutan, dia akan berusaha menyelamatkan diri daripada berhadapan dengan harimau tersebut kerana semua orang tahu bahawa harimau adalah binatang buas yang sangat bahaya dan boleh membunuh kita. Oleh yang demikian, kita dapat lihat bahawa dengan adanya perasaan takut, kita dapat melindungi diri kita daripada menghadapi situasi-situasi yang akan membinasakan diri. Selain itu, takut juga sering dikaitkan dengan perasaan bimbang, cemas, ganas dan sebagainya.

            Perasaan takut yang dialami oleh seseorang juga disebabkan oleh beberapa perkara seperti kejadian yang mengakibatkan trauma kepada dirinya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu pernah mengalami situasi di mana dia hampir mati lemas di kolam renang berkemungkinan dia akan berasa takut yang teramat sangat apabila berada di kolam renang dan akan menjadi fobia sampai bila-bila. Manusia juga boleh menjadi takut kepada perkara-perkara-perkara seperti objek, keadaan fizikal, konsep-konsep abstrak seperti diejek, dikritik dan sebagainya. 

 

            Emosi negatif yang seterusnya pula ialah MALU. Emosi malu berlaku apabila seseorang berdepan dengan tindakan yang tidak dapat diterima tetapi diketahui oleh orang lain sehingga menyebabkan maruahnye tercemar, kehormatannya tergugat, hilang harga diri atau nama baik dan banyak lagi. Tetapi, sebesar mana rasa malu itu bergantung kepada kejadian yang menyebabkan seseorang itu berasa malu. Perasaan malu ini juga pernah dialami oleh diri saya sendiri apabila pada suatu hari, ketika saya sedang berlari untuk mengejar bas namun, tiba-tiba saya telah terjatuh dalam becak air dan menyebabkan pakaian saya kotor. Saya terpaksa menahan malu apabila semua orang memandang saya sambil tersenyum ketika saya menaiki bas itu. Selain itu, malu terbahagi kepada dua jenis iaitu individu dan profesional. Malu jenis individu berpunca daripada kesilapan diri sendiri di mana seseorang itu tidak menjangkakan atau tidak mengharapkan akan berlaku situasi yang memalukan dalam hidupnya. Manakala malu jenis profesional pula dialami oleh seseorang yang terkenal seperti pemimpin masyarakat yang sememangnya dikenali oleh orang ramai. Setiap tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan dan sudah pasti perkara buruk yang dilakukan akan diketahui oleh orang lain dan ini akan menjejaskan martabat dan memalukan diri mereka sendiri. 

 

            Selain emosi takut dan malu, SEDIH juga merupakan salah satu emosi negatif. Perasaan sedih adalah suatu perasaan yang menggambarkan kekurangan dan kehilangan. Contohnya, ketika kehilangan sesuatu yang kita sayangi, berjauhan dengan keluarga dan banyak lagi. Seseorang yang terlalu memendam perasaan sedih juga boleh mengakibatkannya mengalami tekanan yang teruk dan mereka hanya boleh dirawat atau ditenangkan oleh orang yang profesional dan mempunyai kepakaran sahaja. Emosi sedih boleh dikesan melalui tanda-tanda fizikal contohnya menundukkan wajah, mencebikkan bibir serta segala tindakan yang dilakukan perlahan dan kelihatan tidak bersemangat.

 

            MARAH. Marah adalah tindakbalas psikofisiologikal terhadap rasa sakit, penderitaan yang dirasakan (tekanan) dan ancaman. Emosi marah ini boleh lahir secara aktif atau pasif. Kemarahan yang diluahkan secara aktif ialah dengan cara melepaskan kemarahan tersebut secara terang-terangan seperti meninggikan suara, membaling sesuatu yang ada di depan mata dan sebagainya. Manakala, kemarahan yang dilahirkan secara pasif pula adalah dengan cara memendam perasaan marah di dalam hati sendirian. Walau bagaimanapun, kedua-dua cara ini mempunyai kelebihan atau kekurangan yang tersendiri. Jika kita terlalu mempamerkan rasa marah kita tanpa memikirkannya secara rasional terlebih dahulu, kita mampu untuk mencederakan orang lain dan  merosakkan perhubungan yang dibina. Dan sekiranya kita terlalu mememdam perasaan marah kita, lama kelamaan ianya akan memberikan tekanan kepada diri dan boleh mengundang masalah lain pula. Oleh itu, kita perlu menghadapinya dengan cara yang baik dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak.

 


No comments:

Post a Comment