Friday 13 August 2010

A129176 sazlina LJ 04

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia saya ucapkan kepada semua yang beragama  Islam dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam. Pada 11/8/2010 bersamaan 1 Ramadhan iaitu pada hari Rabu, merupakan hari pertama bagi umat Islam menunaikan ibadat puasa pada tahun ini. Bagi saya ia merupakan sesuatu yang sangat bermakna dan menguji kesabaran dan keimanan saya dalam menjalani ibadat puasa pada tahun ini kerana kuliah dijalankan seperti biasa, ditambah lagi dengan cuaca yang begitu meletihkan. Pelbagai perasaan atau emosi saya bercampur baur seperti letih, lapar, dahaga, mengantuk dan sebagainya menjadikan saya tidak senang duduk sewaktu kuliah berjalan. Semua itu tidak mematahkan semangat saya bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan melaksanakan tugas-tugas yang telah diberikan.

Kuliah pada kali ini membincangkan tentang topik " Emosi Negatif " seperti malu, marah, takut, sedih dan banyak lagi. Perasaan-perasaan ini wujud dalam diri kita tanpa kita sedari dan tanpa diduga disebabkan oleh tindak balas daripada sesuatu peristiwa atau keadaan. Sebagai contoh perasaan takut muncul apabila seseorang itu berada dalam keadaan terancam atau diancam, berdiri pada tahap yang terlalu tinggi atau berada dalam kawasan yang gelap tanpa cahaya. Keadaan-keadaan tersebut secara tidak langsung menimbulkan suatu perasaan yang akan bertindak balas dalam diri seseorang itu.

Seterusnya perasaan sedih akan lahir apabila seseorang itu mengalami sesuatu peristiwa seperti kehilangan barang-barang yang amat disayangi atau berlaku kematian orang yang paling dikasihi. Apabila seseorang individu itu berada dalam keadaan yang sedemikian, mereka lebih suka menyendiri, tidak suka bercampur dengan orang ramai, pergi ke suatu tempat yang boleh menenangkan perasaan yang sedih, ataupun menangis sepuas-puasnya sehingga terlepas beban atau kesedihan yang ditanggung.

Perasaan yang seterusnya adalah perasaan marah yang termasuk dalam kategori Emosi Negatif. Marah adalah suatu perasaan yang wujud apabila seseorang itu merasakan dirinya ditindas atau dizalimi oleh sesuatu pihak. Tertipu atau ditipu juga boleh mewujudkan emosi negatif ini disebabkan oleh perasaan tidak puas hati seseorang individu kepada individu yang lain dan ini mungkin akan menimbulkan perbalahan di antara kedua-dua pihak yang terlibat.

Perasaan yang terakhir adalah 'malu'. Perasaan ini dialami oleh semua orang tanpa diminta atau disedari. Perasaan ini wujud apabila seseorang itu ditimpa kemalangan yang kecil seperti tersalah menegur seseorang, terjatuh akibat tersandung batu, dan lain-lain lagi. Kebanyakan perasaan tersebut sangat meninggalkan kesan dalam diri kerana melibatkan orang ramai yang melihat kejadian yang berlaku itu pada ketika itu.

Akhir kata, kesemua perasaan ini pasti dialami oleh semua orang yang berada di muka bumi ini. Dan apa yang pasti kesemua perasaan ini memberikan kesan yang mendalam dalam diri kita..

No comments:

Post a Comment