Friday 30 July 2010

A130854 RAFIDAH LJ 02

Assalamualaikum...w.b.t… dan Salam Sejahtera…

            Bersua kembali kita di dalam jurnal pembelajaran kali kedua. Tajuk yang telah dibincangkan pada minggu ini ialah struktur dan ekspresi emosi. Menurut Kokosza 1998, teori dominan semasa yang berkait dengan struktur dan ungkapan emosi manusia  menyatakan bahawa terdapat hanya beberapa sahaja emosi asas yang digelar sebagai "primary emotions" atau emosi primer yang merupakan sifat semulajadi manusia yang dialami oleh manusia di seluruh dunia merentasi pelbagai budaya. Secara umumnya terdapat dua jenis teori, yang pertama ialah teori evolusi yang telah diasaskan oleh Charles Darwin.

Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals" (1872), Darwin telah berhujah bahawa ekspresi emosi berkait dengan emosi tertentu adalah merupakan sesuatu yang sama merentasi semua budaya dan ini bermakna ianya merupakan sesuatu yang semulajadi. Teori kedua pula ialah teori pembelajaran, di mana kedua-dua emosi dan ekspresi adalah datang dari setiap individu melalui pengalamanya tentang kebudayaan persekitaran.

            Bagi mengenalpasti tiga emosi asas yang spesifik, kita perlu mempertimbangkan bukti yang ada untuk emosi asas, beberapa kritikan dan juga alternatif yang ada. Menurut Kemper 1987, para pendokong teori emosi asas telah berhujah bahawa sistem saraf autonomik (autonomic neural system) dan struktur saraf yang berkaitan hanya mampu memperantarakan secara terus beberapa emosi asas sahaja, iaitu lebih kurang empat atau lima emosi asas. Izard 1992, menyatakan bahawa emosi-emosi ini mempunyai tiga karakter.

Pertama, ianya mempunyai substrat-substrat neural yang semulajadi sruktur otak yang "hard-wired" untuk berurusan atau berhubung dengan ekspresi dan persepsi emosi yang spesifik. Yang kedua, ekspresi emosi asas adalah bersifat universal, iaitu melangkaui semua budaya. Dan untuk yang ketiga, emosi asas ini mempunyai keadaan perasaan yang berkaitan dengan mereka. Teori emosi asas juga turut menerima kritikan. Di mana sesetengah pengkaji mempercayai bahawa sebenarnya emosi asas ini adalah tidak wujud.

Sebagai ganti mereka membuat hipotesis bahawa satu bahagian elemen asas membentuk emosi-emosi ini dan semua emosi ini adalah kombinasi daripada elemen-elemen ini (Turner & Ortony, 1992).

            Robert Woodworth (1938), adalah orang yang pertama mencadangkan satu sistem berstruktur untuk emosi-emosi pada satu kontinum. Setelah memperinci tugasan Woodworth, Harold Scholseberg (1952) mencipta satu struktur tiga dimensi berkaitan emosi. Tiga dimensi emosi asas yang dikesan oleh beliau adalah keseronokan/ketidakseronokan, perhatian/penolakan, dan tidur/ketegangan jiwa (tahap pengaktifan). Robert Plutchik (1962–1982) telah membangunkan satu model yang lebih lengkap yang bersifat revolusionari tentang struktur emosi dan melalui model ini, beliau cuba untuk menunjukkan semua emosi adalah saling berkaitan. Plutchik (1982), telah berhujah bahawa emosi boleh diterangkan dalam tiga bahasa yang berbeza, di mana beliau menyatakannnya sebagai bahasa subjektif, bahasa badan (kelakuan), dan bahasa berfungsi.

Bahasa subjektif adalah bahasa yang lazim untuk emosi dan meliputi perkataan-perkataan seperti 'takut', 'gembira', dan 'sedih'. Bahasa badan memberitahu kita apakah reaksi yang akan dilakukan oleh individu tersebut sebagai tindak balas terhadap emosi yang terhasil dan bahasa pula berfungsi untuk menggambarkan apakah yang dilakukan oleh emosi terhadap seseorang. Dengan demikian, takut (bahasa subjektif) akan membawa kepada kelakuan untuk mengelakkan atau melarikan diri (bahasa kelakuan) dan seterusnya menyediakan fungsi untuk mempertahankan diri (bahasa kefungsian).

Sebagai contoh, seorang pelajar tingkatan tiga yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memperoleh keputusan yang cemerlang. Dia berasa sungguh gembira dengan keputusan yang diperolehinya lantas dia melompat kegembiraan dan meraikan kecemerlangan yang diperolehinya. Dia menjadikan kejayaan yang diperolehinya sebagai inspirasi untuk lebih cemerlang di masa hadapan.

Sekian sahaja coretan jurnal pembelajaran untuk kali ini, semoga berjumpa lagi di jurnal akan datang.

Sekian, Wassalam,,,,#   


No comments:

Post a Comment