Friday 30 July 2010

A123147 Syuhaidah LJ02

Tajuk bagi kuliah kedua adalah mengenai struktur asas emosi. Struktur asas emosi dapat diterangkan melalui beberapa teori iaitu  Darwin's Basic Theory of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izard's Innate Facial Expression, dan Learning & Experience Theories.

Berdasarkan Teori Emosi Plutchik, beliau mengatakan bahawa semua emosi adalah saling berkaitan. Terdapat tiga komponen yang diperkatakan dalam teori Plutchik iaitu bahasa emosi, reaksi adaptif asas dan dimensi emosi. Menurut Plutchik, bahasa emosi dapat digambarkan dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku dan bahasa fungsian.

Bahasa emosi dapat diterangkan berdasarkan pembacaan saya seperti yang dilaporkan dalam metro online baru-baru ini mengenai 2 beradik yang diculik selepas kereta milik bapanya dilarikan penjenayah. Ibu bapa mangsa meninggalkan kedua-dua anak perempuannya yang tidur dalam kereta dan mereka berdua keluar mengambil tempahan gambar di sebuah kedai gambar yang berdekatan. Kedua-dua beradik yang masing-masing berumur 17 tahun dan 6 tahun itu ditinggalkan dalam kereta dengan enjin kenderaan tidak dimatikan dan pintu tidak dikunci. Lima minit kemudian, ibu bapa mangsa menyedari bahawa kereta mereka dilarikan bersama dua anak mereka yang berada dalam kenderaan itu. Jadi, dalam situasi ini pertama sekali reaksi emosi ibu mangsa tersebut telah digambarkan melalui bahasa subjektif iaitu ibu bapa mangsa culik tersebut menjadi cemas, takut dan gelisah apabila anak mereka diculik dan kereta dilarikan. Seterusnya, tindak balas terhadap emosi yang terhasil akibat kecuaian yang tidak disangkakan itu telah menyebabkan ibu mangsa culik tersebut hampir terduduk tidak percaya dan pengsan kerana terkejut apabila anak-anaknya dilarikan perompak. Sementara itu, bapa mangsa pula bertindak membuat laporan polis. Tindakan ini merupakan reaksi emosi yang digambarkan dalam bahasa tingkah laku. Akhir sekali, pengalaman tersebut membuahkan bahasa fungsian terhadap pasangan tersebut. Contohnya, ketakutan dan kerisauan terhadap keselamatan anak-anak mereka telah memberi pengajaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati pada masa depan supaya pisang tidak berbuah dua kali. Laporan akhbar tersebut juga boleh dibaca melalui blog : http://ikafantasi.blogspot.com/

Menurut Plutchik juga emosi boleh berbeza dalam tiga dimensi iaitu keamatan (intensity), kesamaan (similarity), dan kekutuban (polarity). Dimensi emosi Plutchik ini dapat saya gambarkan dalam satu situasi percutian saya bersama-sama dengan beberapa orang rakan-rakan saya. Dimensi keamatan merujuk kepada darjah kekuatan emosi. Contohnya, keseronokan kami bercuti dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama-sama selepas peperiksaan selesai membawa kepada kegembiraan kepada kami. Seterusnya, kesamaan pula merujuk kepada perkaitan emosi misalnya, ketakutan dan kesedihan adalah lebih kurang sama daripada meluat dan keghairahan. Contoh situasi bagi kesamaan ini semasa kami bercuti ialah saya dapat lihat salah seorang rakan saya ketakutan untuk melakukan beberapa aktiviti yang dijalankan disebabkan dia sedih apabila mengenangkan kakaknya yang cedera semasa perkhemahan sekolah yang disertai oleh kakaknya itu. Kekutuban pula merujuk kepada emosi yang berlawanan. Contohnya, walaupun salah seorang rakan saya selalu mengatakan bahawa dia benci kepada ketinggian kerana dia mengalami hyperphobia tetapi kami dapat lihat dia begitu ghairah sekali apabila melakukan aktiviti tali tinggi (flying fox). Kami yang  kehairanan dengan gelagatnya cuba bertanya dan dia mengatakan bahawa dia telah cuba beberapa kali membuang kebenciannya terhadap ketinggian dengan menyukainya kerana ingin menghilangkan fobia yang dialaminya.

Seterusnya, menurut Teori Maklum Balas Wajah yang diperkenalkan oleh Tomkin, beliau mengatakan bahawa emosi secara asasnya adalah tingkah laku yang berkaitan dengan wajah, dan pengalaman emosi terbit daripada ekspresi wajah. Contohnya, artikel yang tertulis dalam La Tahzan mengatakan bahawa orang Arab suka memuji orang yang murah dengan senyuman. Ekspresi wajah senyuman seseorang dapat menunjukkan bahawa apabila seseorang tersenyum akan menghasilkan emosi rasa gembira. Manakala, ekspresi wajah yang muram dan muka yang masam pula mencerminkan kesedihan. Begitu juga dengan ekspresi wajah seseorang yang kelihatan kemerahan kerana malu. Jadi, setiap ekspresi wajah akan menghasilkan emosi.

No comments:

Post a Comment