Friday 30 July 2010

A122963 Norhafizatulahwa LJ02

Pada minggu ketiga kuliah Pengurusan Emosi, para pelajar telah diberi penerangan berkenaan dengan Struktur Asas Emosi. Terdapat banyak teori yang telah dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji berkaitan dengan emosi. Antara teori-teori yang diperkenalkan ialah Darwin's Basic Theory of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izard's Innate Facial Expression dan Learning Theory. Struktur asas emosi bermula dengan teori evolusi atau teori biologikal. Kemudian,  Darwin memperkenalkan teori emosi asas atau dikenali dengan emosi primari. Selepas itu, muncullah teori-teori yang seterusnya berkaitan emosi yang diperkenalkan oleh Plutchik, Tomkin, dan Izard dengan pandangan yang berbeza-beza sehingga pada akhirnya Teori Pembelajaran diperkenalkan.

 

Pada minggu ini, saya akan menyentuh berkenaan dengan teori yang dikemukakan oleh Plutchik. Teori Plutchik dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu bahasa emosi, reaksi adaptif asas dan dimensi emosi. Bahasa emosi oleh Plutchik dapat digambarkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Manakala reaksi adaptif asas pula terbahagi kepada 8 asas emosi iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Bahagian yang terakhir dalam Teori Plutchik iaitu dimensi emosi pula terbahagi kepada tiga dimensi yang penting iaitu keamatan (intensity), kesamaan (similarity) dan kekutuban (polarity).

 

Untuk memahami dengan lebih mudah lagi berkaitan bahasa-bahasa emosi yang dinyatakan oleh Plutchik ini, saya lebih gemar untuk mengaitkannya dengan pengalaman seharian saya. Sebagai contoh, saya sebagai seorang manusia akan mengalami perasaan-perasaan seperti sedih, takut, gembira dan sebagainya. Emosi yang saya alami ini dikategorikan dalam bahasa subjektif dimana bukan saya sahaja yang akan mengalaminya malah setiap orang yang mempunyai perasaan juga akan turut merasainya. Dengan adanya emosi tersebut maka akan tercetuslah pula bahasa tingkahlaku iaitu susulan daripada emosi-emosi yang kita dirasai. Apabila saya kehilangan sesuatu yang saya amat sayangi dalam hidup, secara automatik saya akan menangis. Situasi yang saya alami ketika itulah dipanggil bahasa tingkahlaku. Bahasa emosi seterusnya ialah bahasa fungsian iaitu merujuk kepada bagaimana sesuatu emosi itu memberi peranan kepada seseorang. Misalnya, seorang rakan saya baru sahaja kehilangan ayahnya dan dia sentiasa bersedih dan sukar untuk menerima hakikat diatas kehilangan tersebut. Ini kerana, dia sangat rapat dengan ayahnya ketika arwah ayahnya masih hidup.

 

Dalam reaksi adaptif asas, dapat digambarkan kepada empat pasang kutub yang bertentangan. Salah satu daripadanya ialah perlindungan atau protection (melepaskan diri atau escaping) lawan kepada kemusnahan atau destruction (menyerang atau attacking). Sebagai contoh, apabila saya berada dalam situasi yang mencemaskan atau menakutkan saya akan berusaha untuk melepaskan diri jika tidak saya akan mendapat kesusahan. Selain itu, dalam reaksi adaptif asas Plutchik juga turut menyatakan emosi-emosi berlawanan yang utama iaitu penerimaan/meluat, takut/marah, gembira/sedih dan terkejut/berharap.

 

Seterusnya, dimensi emosi yang diutarakan oleh Plutchik terbahagi kepada intensiti iaitu darjah kekuatan emosi yang dialami oleh seseorang. Misalnya, apabila kita terlalu  menyukai sesorang intensiti kita untuk menyayangi seseorang itu juga akan meningkat. Kesamaan atau similarity pula merujuk kepada perkaitan emosi yang dialami. Kita akan cenderung untuk merasai dua emosi yang sama dengan lebih mudah berbanding emosi yang berlainan. Contohnya, takut dan sedih lebih mudah timbul dalam masa yang sama tetapi takut dan gembira tidak boleh. Ini menunjukkan ada hubungan antara takut dan sedih. Dimensi tearkhir ialah kekutuban atau polarity, iaitu merujuk kepada dimensi emosi yang berlawanan.

 

Secara keseluruhannya, kita diciptakan dengan pelbagai emosi sama ada emosi positif atau emosi negatif. Emosi-emosi yang dialami ini sememangnya meninggalkan kesan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Begitu jugalah dengan teori-teori yang dicipta. Setiap pencipta teori sudah pasti mempunyai pendapat yang berlainan antara satu sama lain mengikut pengalaman yang dirasai masing-masing.


No comments:

Post a Comment