Sunday 31 July 2011

A131579 Mah Wan Cheng LJ01- Makna Sebenar Emosi

Salam sejahtera. Ini merupakan jurnal pertama saya dalam kursus ZT2253 selepas saya menghadiri kuliah pertama Pengurusan Emosi bertajuk "Pengenalan" dan "Struktur Asas Emosi" pada 27 Julai 2011,hari Rabu yang lalu. Secara jujurnya, saya hanya berpendapat bahawa emosi merupakan salah satu saluran untuk menunjukkan pemikiran sendiri melalui pelbagai perasaan seperti gembira, sedih, gementar, takut dan lain-lain lagi dan sudah tentunya tidak seluas dan sedalam pun seperti yang diajar oleh Dr. Zamri sebelum kuliah ini. Ini telah menanam minat saya dalam kursus ini kerana kelebihan untuk memahami emosi orang lain dapat menguatkan perhubungan sesama insan dan juga banyak membantu dalam menangani penyakit-penyakit dalam karier perubatan kelak.

 

Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi didefinisikan sebagai interaksi yang kompleks antara faktor objektif dan subjektif dengan pengaruh sistem hormone dan saraf dalam badan kita. Dan ini telah membawa empat komponen, iaitu perasaan (feeling), proses kognitif (cognitive process), perubahan fisiologi (physiological change) dan tingkah laku berkaitan (associated behaviors). Hampir kesemua komponen ini wujud dalam setiap situasi yang kita hadapi dalam kehidupan seharian, misalnya semasa menjawab soalan yang ditujukan oleh pensyarah dalam sesi perbincangan kumpulan kecil. Saya terkejut dan berdebar-debar apabila dr. menamakan saya untuk menjawab soalan tertentu yang tidak terdapat dalam latihan. Dalam beberapa saat yang seterusnya, saya akan cuba memikir balik pengetahuan yang telah saya dapat dalam kuliah dan pembacaan sebelum ini. Semua persoalan sedang dikaitkan secara sistematik dalam minda. Namun, tekanan darah saya menaik dan tangan saya mula bergetar serta mengalami kesejukan dalam proses mendapatkan jawapan daripada ingatan. Pada akhirnya, saya meringkaskan poin pada kertas dan menyuarakan kepada pensyarah dan rakan-rakan sekalian.

 

Ukuran tahap emosi turut didedahkan dalam kuliah tersebut. Terdapat tiga cara utama untuk mencapai tahap emosi, iaitu laporan kendiri, kelihatan secara langsungnya serta pengukuran dalam aspek fisiologi badan. Laporan kendiri boleh diperoleh melalui sesi temu bual, borang survey dan pengawasan diri dengan rekod tindakan dari semasa ke semasa. Cara ini amat memerlukan kesanggupan dan sikap kejujuran pada diri untuk mengupaskan segala masalah yang didapati secara terbuka hatinya. Oleh itu, ia sering tersekat dengan perbezaan perspektif, budaya kaum serta norma masyarakat di sekeliling seseorang tersebut. Cara yang kedua pula banyak bergantung pada daya pemerhatian yang teliti untuk mendapati sebarang kemusykilan pada orang tersebut. Ini tidak mudah dilakukan sedangkan seseorang itu mungkin menyembunyikan emosinya dan tidak ditunjukkan pada luaran. Seterusnya tinggallah cara yang lebih saintifik iaitu peninjauan aspek fisiologi badan. Antara aspek yang  ketara dan biasa ditinjaui ialah tekanan darah, kadar denyutan jantung, tahap ketegangan otot dan kadar pernafasan. Cara ini mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi kerana pengukuran dibuat dengan alat dan ini boleh mengelakkan faktor kemanusiaan yang menjejaskan analisis.

 

Selain itu, saya juga didedahkan beberapa teori untuk menjelaskan emosi manusia. Dalam teori asas emosi Darwin (Darwin's basic theory of emotion), emosi kita terdiri daripada emosi primari yang merupakan ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspreskan dalam bentuk yang seragam oleh semua bangsa dan budaya pada wajah (Kokoszka, 1993). Apabila badan kita menerima rangsangan biarpun dari luar atau dalaman, otak kita yang berfungsi sebagai pusat kawalan minda dan pergerakan akan menafsirkan bahan rangsangan tersebut, membuat analisis yang secukupnya dalam masa yang tersingkat dan menghantar isyarat / arahan menerusi sistem saraf dan endokrin kepada bahagian badan yang lain, contohnya muka dan tangan untuk membawa pergerakan. Sebab itulah, emosi bersifat adaptif selepas penafsiran dan pengiktirafan di otak kita.

 

Primari emosi teori Plutchik (Plutchik's Primary Theory of Emotion) menggambarkan tiga aspek bahasa dalam emosi, iaitu bahasa subjektif, tingkah laku dan fungsian. Saya difahamkan bahawa sesuatu perasaan (subjektif) akan menunjukkan tanda-tanda atau pergerakan(tingkah laku) yang berperanan untuk membangkitkan tindakan supaya dapat menjauhkan dirinya daripada sumber rangsangan yang menimbulkan perasaan (fungsian). Sebagai contohnya, saya berasa sedih kerana tidak mendapat keputusan peperiksaan seperti yang dijangkakan. Akibatnya, saya mengalirkan air mata dan minat terhadap subjek itu berkurangan. Namun selepas bertenang selama beberapa jam kemudian, saya berkeputusan untuk menguatkan kesungguhan untuk banyak membaca dan mengulangkaji bersama rakan-rakan yang cemerlang. Perasaan takut, gembira, sedih, terperanjat, marah, meluat, terima serta rasa ingin tahun boleh diklasifikasikan sebagai lapan tindak balas adapsi asas dalam teori ini. Saya turut tidak sangka bahawa emosi mempunyai bidang dimensi, iaitu darjah kekuatan (intensity), hubungan/perkaitan (similarity) dan kekutuban/kelawanan (polarity). Pengetahuan ini dapat membantu kami untuk mengenalpastikan tahap dan jenis emosi yang ada bagi mengatasinya dengan efektif jika ia merupakan unsur negatif.

 

Di samping itu, mimik muka semula jadi yang dicadangkan oleh Izard (Izard's Innate Facial Expression) juga menambahkan beberapa kenyataan tentang emosi manusia. Di bawah teori ini, emosi manusia ialah sejenis tindakbalas yang dizahirkan daripada naluri dan batin secara semula jadi dengan bantuan sistem saraf. Oleh itu, keupayaan untuk menunjukkan pelbagai ekspresi muka tidak perlu diajar seperti ilmu pengetahuan lain. Sebelum ini saya tertanya-tanya kenapa bayi yang baru dilahirkan dapat menunjukkan muka sedih dan senyum sedangkan mereka tidak pernah diajarkan untuk berbuat sedemikian.  Mereka akan ketawa apabila kita mengusik-usik dan bermain dengan mereka. Mereka juga akan menangis apabila permintaan mereka tidak dipenuhi. Adakah ini merupakan anugerah Tuhan sebagai kemampuan minimal untuk memulakan kehidupan mereka di bumi ini? Rasanya inilah jawapannya. Mengikut Scherer dan Wallbott (1994), konsep kesejahteraan yang terselit dalam emosi muka adalah mantap dan stabil tetapi yang berbezany ialah bagaimana emosi dialami dan dikawal dan bukannya bagaimana ia dizahirkan.

 

Teori maklum balas muka Tomkin (Tomkin's Facial Feedback Theory) pula mengulas tentang hubungan antara pergerakan muka dengan emosi. Memang tidak susah didapati bahawa kami lebih cenderung untuk ketawa terbahak-bahak dalam keadaan kami betul-betul berasa gembira dan tiada sebarang sekatan terutamanya pada bahagian muka untuk menunjukkan expresi. Seperti yang dibentangkan oleh Zajonc, otot muka memainkan peranan yang penting menentukan jenis mimik muka yang dipaparkan. Secara lazimnya, perubahan otot muka telah menjejaskan aliran darah dari bahagian muka sehingga ke otak dan ini akan memanipulasikan sama ada kesan permanasan atau penyejukan pada otak. Emosi-emosi positif seperti kegembiraan dan kegirangan didorong oleh kesan permanasan dalam otak dan sebaliknya. Dalam konteks yang lain, ekspresi muka ditunjukkan tidak semestinya merupakan petunjuk sakti emosi yang dialami pada waktu tersebut. Hal ini kerana wajah yang dipaparkan turut merupakan salah satu saluran interaksi sesama individu dan kami bukannya gembira setiap kali kami senyum pada orang lain.

 

Akhir kata, kuliah ini telah banyak membuka minda saya tentang emosi dan ekspresi pada muka. Pemerhatian yang teliti amat diperlukan supaya tekaan perasaan dalaman seseorang itu dapat dibuat dengan tepat dan saksama dan seterusnya memahami emosi yang dialami pada saat  tersebut. Mahupun sesetengah emosi telah dikatakan diwarisi daripada generasi yang lalu, namun kita masih boleh mengawalkannya supaya ia dapat dipaparkan dengan cara yang betul dan sesuai. Aspek ini sangat penting bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk kita. Kita juga akan mendapati bahawa kebanyakan emosi akan ditunjukkan apabila dicetuskan oleh faktor di sekeliling kita dan kepelbagaiannya bertambah sepanjang perkembangan serta pembangunan nilai kita.

No comments:

Post a Comment