Thursday 7 October 2010

A127214 Habibah LJ11

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kali ini kuliah yang disampaikan oleh Dr. Zambri adalah mengenai Mengurus Emosi individu dan Keluarga. Bagaimanakah seseorang individu itu mengurus emosi mereka? Adakah setiap individu mempunyai persamaan dalam mengurus emosi mereka? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Setiap individu pastinya mempunyai cara yang tersendiri dalam menguruskan emosi mereka. Perbezaan yang ketara dapat kita lihat di antara lelaki dan perempuan dalam cara mereka menguruskan emosinya. Secara fitrahnya lelaki dan wanita diciptakan mempunyai perbezaan yang akan saling melengkapi. Oleh hal yang demekian, penyatuan antara lelaki dan wanita dalam alam perkahwinan akan melahirkan sebuah keluarga. Jadi, kebijaksanaan dalam melahirkan sebuah keluarga yang bahagia memerlukan pemikiran yang rasional, dan bukannya secara emosional.

Permulaan kuliah kami didedahkan dengan perbezaan antara sifat lelaki dan wanita yang merupakan sebahagian daripada pengurusan individu terhadap emosi mereka. Sejauh manakah kebenaran penyataan "Jika kebijaksanaan diukur dengan emosi, boleh dikatakan bahawa lelaki lebih bijak daripada wanita hanya kerana wanita lebih bersifat emosional?" Bagi pendapat saya dan sebagai seorang wanita, ada juga kebenaran melalui pernyataan ini. Hal ini kerana, seperti yang kita sedia maklum, wanita sememangnya dilahirkan sebagai seorang yang berhati lembut dan berjiwa keibuaan, oleh itu, tidak hairanlah kami bersifat emosional berbanding lelaki yang masih maintain cool dan boleh berfikiran rasional walaupun berada dalam keadaan tertekan. Itulah kelebihan lelaki dan kelemahan kami sebagai wanita, yang akhirnya kita sememangnya saling melengkapi antara satu sama lain dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia.

Berhubung dengan konsep keluarga bahagia, keluarga bahagia adalah keluarga yang dibina atas suatu ikatan perkahwinan yang amat kuat dan mesra untuk tolong menolong, berkasih sayang, bahagia membahagiakan dan damai mendamaikan antara satu sama lain. Selain itu juga, dalam berkluarga, ketenteraman haruslah diwujudkan. Oleh itu, ketenteraman hnya akan wujud dengan adanya keluarga yang sihat, dipenuhi kasih sayang dan penuh tanggungjawab. Oleh hal yang demikian, bapa sebagai ketua keluarga haruslah memainkan peranan yang penting dalam membina kehidupan keluarga yang sempurna.

Dalam kehidupan bekeluarga, masing-masing mempunyai sikap dan peribadi yang berlainan. Si ibu, ayah dan anak-anak adalah manusia biasa, kadang kala, emosi yang menganggu mereka di luar akan dibawa-bawa ke dalam kehidupan bekeluarga. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan sebagai pendidik untuk menghidupkan emosi positif dalam keluarga itu. Melalui kewujudan emosi positif dalam keluarga ini, sudah semestinya akan mewujudkan suasana keluarga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang. Sebagai contoh dalam keluarga saya, kami mempunyai suatu masa khas duduk bersama meluangkan masa bersama, berkongsi cerita dan masalah jika ada. Kebiasaannya selesai solat magrib berjemaah, kami sekeluarga akan duduk bersama-sama dan berkongsi cerita mengenai apa-apa sahaja. Salah satunya, waktu ini ayah sering memberi nasihat dan pesanan-pesanan kepada kami sebagai anak-anaknya supaya saling hormat menghormati diantara satu sama lain dalam ahli keluarga, begitu juga dengan orang luar. Kami tidak pernah selindung jika menghadapi apa-apa masalah. Masalah diluahkan dan diselesaikan bersama-sama untuk mengelakkan wujudnya emosi negatif dalam kehidupan kami bekeluarga.

Walau bagaimanapun, dalam kebahagiaan yang dikecapi pasti akan ada sesuatu peristiwa yang akan membawa sesebuah keluarga itu menghadapi masalah. Tidak semuanya indah dalam kehidupan bekeluarga, pasti ada pahitnya, itulah fitrah kehidupan.  Oleh itu, di sini peranan emosi sangat memainkan peranan yang penting. Jika emosi negatif tidak dikawal dan diurus, timbul banyak masalah dalam rumah tangga. Jadi, seseorang individu itu perlulah bersikap matang dalam pemikirannya. Selain itu, mereka haruslah celik emosi dam mempunyai EQ yang tinggi supaya dapat menyedari bahawa emosi manakah yang harus dikawal dan dielakkan dalam membina keluarga yang bahagia. Untuk mengukuhkan lagi kebahagiaan bekeluarga, sebuah keluarga disarankan mengaplikasikan EI dalam kehidupan iaitu dari segi kesedaran diri, pengurusan diri, empati dan pengurusan perhubungan. Melalui ini, sikap tolak ansur dapat disemai antara ahli keluarga. Sebagai contoh, jika si suami berada dalam keadaan tertekan dan marah, si isteri haruslah mangambil tindakan dengan berdiam diri, bukannya menunjukkan kemarahan terhadap sikap suami tersebut demi mengelakkan peperangan berlaku.

Bagi yang mempunyai perancangan untuk berumah tangga mahupun baru berumah tangga. Pastinya menginginkan sebuah perkahwinan yang sangat bahagia. Melalui perkahwinan bahagia inilah akan timbulnya emosi positif yang akan membahagiakan pasangan suami isteri. Oleh itu, menurut  Dr Aisha Ramdan, cara terbaik untuk memperolehi perkahwinan yang bahagia ialah dengan mengadakan perkahwinan yang telah betul-betul dirancang dan sentiasa memperbaharui perancangan tersebut, menganggap pasangan sebagai saudara sesama Islam, tidak menganggap sesuatu yang melampaui, menjadi teman baik bagi pasangan kita, menjadikan diri seorang yang suka berlawak, memberi kejutan kepada pasangan, mengaku kesalahan diri, tidak mengungkit kesalahan lalu, habiskan masa bersama dan mengakui kesalahan diri sendiri. Tip-tip ini sangat berguna kepada pasangan yang berkahwin supaya hubungan kekal sehingga akhirnya.

Kesimpulannya, kebijaksanaan dalam mengawal emosi adalah sangat penting dalam mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini kerana, tanpa adanya kawalan emosi yang baik, hubungan kekeluargaan pastinya tidak kukuh akibat daripada tidak mengetahui emosi manakah yang perlu diketepikan atau diutamakan. Bahagianya sesebuah keluarga itu adalah berdasarkan pimpinan daripada rasionalnya pemikiran ketua keluarga dalam mengawal masalah yang dihadapi bukan berdasarkan emosi yang tidak dapat dikawal.

.


No comments:

Post a Comment