Thursday 9 September 2010

A132484 AMIRAH LJ08

             Hahaha!!! Saat aku menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada tanggal 04 Julai 2010, aku begitu bersemangat untuk menyambung pengajianku dalam bidang sains iaitu jurusan kimia dengan hati yang riang dan azam yang tinggi untuk mencapai target yang telah aku tetapkan...Kali pertama aku menjejakkan kaki ke UKM, aku telah nekad bahawa beradanya aku di UKM hanyalah untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cerah dan membawa harapan ibu dan bapaku yang tercinta..Kawan-kawan??? bukan lagi menjadi tujuan utama untuk aku menuju kejayaan.. Pengalaman aku dengan insan yang bergelar rakan yang banyak mencipta kenangan pahit dalam hidupku kini bukan lagi sesuatu yang boleh aku jadikan suatu memori yang patut diingati tetapi ianya kini menjadi motivasi untuk aku bergantung kepada diri sendiri dalam melaksanakan apa jua hal sekalipun... Situasi ini banyak mengajar aku untuk lebih berdikari...
              Hari demi hari, saat demi saat aku berada di UKM berlalu tanpa aku sedari sehinggakan aku sekarang telah pun hampir setengah semester melanjutkan pengajian...Namun begitu,walaupun dalam masa yang singkat,aku telah merasai jerit perih, susah senang kehidupan di universiti ini,dan aku sedar bahawa kehidupan di universiti ini tidaklah semudah yang disangka.
Alhamdulillah aku berjaya menyesuaikan diri dengan suasananya.Terdapat banyak ragam manusia yang aku jumpa termasuklah rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah.Aku menghadapi masalah dalam pengajianku yang melibatkan subjek matematik kerana aku mengalami kesukaran dalam memahaminya. Ini disebabkan penggunaan bahasa Melayu dalam sesi pembelajaran sedangkan aku telah dibiasakan belajar matematik dalam bahasa Inggeris sejak aku berada di sekolah rendah lagi. Tambahan pula aku merupakan seorang yang sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam menuntut ilmu, namun nasib aku agak sedikit malang kerana aku menghadapi masalah dalam subjek matematik.
              Ini disebabkan pensyarahku telah pun memberi amaran supaya sebarang masalah dalam memahami atau menjawab soalan matematik hendaklah dibawa berbincang bersama rakan-rakan.Walaupun begitu,aku cuba untuk berjumpa dengan pensyarahku untuk bertanyakan soalan,tapi malang sekali nasib aku apabila pertanyaan aku tidak dilayan,namun dengan azam yang tekad dalam memahami subjek matematik,aku tetap mencuba buat kali kedua tetapi hasilnya tetap sama.Apakan daya aku?Aku teruskan usaha untuk terus menjawab soalan yang disediakan dalam website tetapi kebanyakan jawapannya tidak sama dengan jawapan yang diberi.Makin lama aku makin hilang semangat,makin pudar harapanku terhadap matematik padahal aku amat mencintai subjek ini.Sampai satu tahap,aku sudah mulai hilang mood untuk belajar,apatah lagi untuk bergelak ketawa bersama rakan-rakan.
              Aku sudah hilang punca untuk aku rujuk bagi aku bangkit kembali bersemangat mencari semula ilmu yang telah aku sia-siakan. Akhirnya,aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung berjumpa dengan kedua ibu bapaku dan teman hidupku yang sentiasa bagi kekuatan untukku. Aku ingin mendapatkan nasihat dan semangat daripada mereka agar diriku dapat kembali kepada diriku yang asal. Tibanya aku di rumah,aku terus memeluk ibuku dengan seerat-eratnya dan meluahkan segala-galanya kepada ibuku dengan ditemani linangan air mata yang laju bercucuran.Aku melepaskan segala yang terbuku dihati setelah sekian lama aku menahan,dan akhirnya aku berasa amat lega dan puas kerana aku dapat berkongsi bebanan yang aku tanggung dengan ibuku yang tercinta.Ibuku terus memelukku dalam dakapannya sambil menenangkan aku dengan memberi motivasi dan semangat.Ibu dan teman setiaku juga sentiasa memberi nasihat supaya aku jangan sesekali meninggalkan kitab suci Al-Quran tiap kali selepas solat agar hatiku sentiasa dalam keadaan tenang dan sentiasa tabah dalam menghadapi setiap ujian yang datang.
              Sejak hari itu,aku telah melupakan perkara-perkara yang tidak penting dan tidak berkaitan dengan hidupku,yang aku nampak hanyalah kejayaan aku di masa hadapan yang bertunjangkan doa ibu bapaku dan juga insan tersayang.Aku mulai bangkit sedikit demi sedikit,dengan meletakkan matlamatku di hadapan tanpa sebarang tolehan ke belakang kerana niatku hanya satu iaitu untuk mencapai kejayaan buat masa depanku,ibu bapaku dan juga buat insan yang sangat bermakna dalam hidupku. 
              Tidak ternilai penghargaan yang dapat aku berikan kepada mereka yang telah berjaya memotivasikan aku secara zahir dan batin  dan kerana merekalah aku berada dititik asalku untuk mencapai sasaran sebenar hidupku. Bagi diriku,MOTIVASI teramatlah penting buatku bagi mengatasi EMOSI aku dalam berdepan dengan liku-liku hidup ini.

No comments:

Post a Comment