Friday 3 September 2010

A 130188 RASHIDAH LJ07

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Minggu ini tajuk pengkuliahan kami adalah mengenai emosi dan ingatan. Sebelum kelas bermula, Encik Zamri telah menayangkan slaid mengenai Tsunami di Acheh. Pada ketika ini, emosi sedih saya mula datang kerana teringatkan suasana ketika pada mula-mula Tsunami melanda. Keadaan yang sangat dahsyat itu telah menginsafkan banyak pihak. Walaupun tiada keluarga saya tidak terlibat dalam bencana tersebut, namun apabila Encik Zamri menayangkan video tersebut, ia tetap memberi kesan kepada emosi saya. Hal ini menunjukkan secara tidak langsung bahawa emosi dan ingatan mempunyai perkaitan yang sangat rapat dalam minda seseorang individu.

Lebih mudah kiranya jika saya katakan bahawa emosi yang kuat terhadap sesuatu perkara boleh menyebabkan seseorang itu emosional walaupun sebenarnya pengalaman terhadap peristiwa tersebut hanyalah sedikit. Oleh itu, emosi dan ingatan dipengaruhi oleh dua keadaan iaitu kandungan emosi dan juga suasana emosi ketika sesuatu peristiwa itu berlaku. Kita akan mengingati peristiwa yang memberikan kesan kepada kehidupan seharian kita. Itulah yang dikenali sabagi kandungan emosi. Sebagai contoh, pada ketika usia saya enam tahun, saya telah mendapat hadiah yang pertama daripada kedua ibubapa saya. Walaupun setelah difikir, hadiah itu tidaklah seberapa, namun ia tetap memberikan kesan kepada ingatan dan seterusnya emosi saya kerana hadiah itu merupakan hadiah pertama yang dihadiahi oleh ibubapa saya. Emosi positif adalah lebih mudah dingati berbanding emosi negatif. Namun bagi pendapat saya, ia adalah bergantung kepada seseorang individu itu. Kadangkala ada individu yang merasakan emosi negatif adalah lebih menberikan kesan kepada memorinya. Sebagai contoh, saya merasakan mangsa-mangsa dera yang dipaparkan di dada-dada akhbar akan sentiasa mengingati kenangan pahit itu dalam sejarah kehidupan mereka.

Seterusnya ialah suasana emosi ketika peristiwa itu berlaku atau dalam erti kata lain ialah bergantung kepada 'mood' seseorang pada ketika itu. Ia terbahagi kepada dua iaitu keselarasan mood dan kebergantungan mood. Keselarasan mood ialah kecendurungan seseorang untuk mengingati sesuatu peristiwa bedasarkan emosi kita pada ketika itu. Sebagai contoh, ketika saya melihat rancangan televisyen 'Bersamamu', emosi saya menjadi sedih lalu menyebabkan saya teringat rakan saya yang juga mengalami keadaan yang sama iaitu miskin dan tidak cukup wang untuk ke sekolah. Kebergantungan emosi pula merujuk kepada berapa senangnya emosi lain yang sepadan timbul apabila sesuatu emosi sedang dialami. Sebagai contoh, saya dimarahi oleh guru dan ayah pada hari yang sama. Oleh itu, kecenderungan untuk saya mengingati peristiwa itu secara jangka masa yang panjang amatlah tinggi. Secara asasnya, tiada kajian yang menunjukkan bahawa emosi boleh mempengaruhi ingatan kita. Namun juga tidak dapat dinafikan bahawa emosi yang tinggi pada sesuatu peristiwa boleh menyebabkan ingatan terhadap peristiwa itu mudah dingati. Hal ini kerana emosi yang berbeza-beza boleh mengganggu atau membantu memori kita.

Seterusnya ialah kita lihat dari aspek fisiologikal iaitu peranan otak dalam membantu emotional memory. Terdapat tiga bahagian dalam otak yang memainkan peranan dalam emotional memory ini iaitu amygdala, cerebellum dan prefrontal cortex. Encik Zamri telah memberikan satu nama singkatan iaitu ASP (Assistant Senior Police) untuk memudahkan kami mengingatinya. Pertama ialah amygdala yang memainkan peranan penting  iaitu mengira emosi sesuatu peristiwa yang membawa makna kepada seseorang dan memberi isyarat pada otak lalu bergabung dengan pengalaman deria. Ia juga mempengaruhi persepsi menyebabkan kita sedar sesuatu peristiwa itu berlaku walaupun kita tidak memberi perhatian terhadap peristiwa tersebut. Namun begitu, amygdala lebih bertindak kepada emosi negative. Cerebellum pula membantu kita menyelaraskan pergerakan, mengingati perkara-perkara yang mempunyai nilai yang tinggi dan membantu kita mengingati sesuatu perasaan terutamanya ketakutan dalam jangka masa panjang. Seterusnya ialah prefrontal cortex yang hanya wujud apabila terangsang melalui gabungan tugasan minda dan keadaan emosi tetapi jika salah satu daripadanya tidak muncul, maka prefrontal cortex ini tidak memainkan peranan.

Kesimpulannya, emosi dan ingatan tidak dapat dipisahkan. Dengan adanya emosilah kita mudah mengingati sesuatu peristiwa dengan baik.# end

 

 

 


No comments:

Post a Comment