Thursday 12 August 2010

A134284 NG EAIN YI LJ04

Salam sejahtera. Pada minggu lepas, kami diberi pendedahan pada emosi positif yang merangkumi emosi gembira, bahagia dan kasih. Kuliah minggu ini pula kami belajar tentang emosi-emosi yang negatif seperti takut, malu, sedih dan marah.

Pertama sekali, saya ingin berbincang tentang emosi takut. Takut merupakan reaksi emosi terhadap bahaya. Emosi ini dapat dikaitkan dengan perasaan risau dan juga kegelisahan. Ketakutan boleh diperoleh melalui perkara-perkara yang traumatik. Sebagai contoh, dalam "public speaking" saya akan mempunyai ketakutan untuk berucap di depan orang lain. Kaki saya akan mula menggeletar dan tangan saya akan berasa sejuk seakan-akan tiada peraliran darah dalam tangan saya. Kemudian, apabila saya mula berucap, percakapan saya akan tergagap-gagap. Semua teks yang perlu disampaikan akan saya terlupa. Boleh juga dikatakan bahawa saya mempunyai ketakutan untuk berucap atas pentas. Namun demikian, bukan semua perasaan takut berkaitan dengan perkara yang fizikal. Ketakutan manusia juga melibatkan  konsep abstrak. Profesor Ahmad Zamri Mansor mengaitkan konsep ini dengan "fear of the unknown". Makhluk-makhluk alam ghaib sering menjadi ketakutan orang ramai. Ini semua ialah imaginasi mahupun perkara sebenar, lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk mengesahkan kewujudan makhluk-makhluk ini.

Seterusnya, ialah perasaan malu. Perasaan malu wujud apabila seseorang itu berada dalam keadaan emosi yang tidak selesa di mana orang itu telah melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima dalam bidang sosial mahupun profesional. Maruah diri seseorang itu juga terlibat, bergantung pada situasinya. Terdapat 2 jenis perasaan malu, iaitu secara personal atau profesional. Perasaan malu personal timbul apabila seseorang itu melakukan kesilapan atau perhatian yang tidak diingini ditumpukan pada orang itu atas masalah peribadinya. Biasanya, perasaan malu ini akan diikuti dengan muka tersipu-sipu, berpeluh, tergagap atau gelisah. Keadaan yang sering menunjukkan perasaan ini ialah di mana apabila seorang gadis ditanya tentang lelaki yang diidami, gadis itu akan menunjukkan perasaan malu dengan mukanya yang tersipu-sipu.

Perasaan malu profesional pula adalah berbeza dengan personal yang hanya melibatkan kelakuan atau hal-hal peribadi peseorangan. Profesional malu melibatkan ahli korporat, ahli politik dan juga ahli kerajaan. Kemaluan ini biasanya melibatkan perkara yang lebih serius seperti kepentingan korporat, masyarakat dan negara. Seorang CEO jikalau semasa dalam pembentangan telah memberi maklumat yang salah kepada korporat lain, kemaluannya akan menjejaskan kepentingan syarikatnya.

Bercakap tentang sedih pula, emosi ini sering dihadapi oleh ramai apabila berlaku sesuatu perkara yang sensitif atau tidak diingini. Kesedihan merupakan satu emosi yang mempamerkan kehilangan atau ketidakadilan dan perasaan sedih yang mendalam akan membawa kepada depresi. Orang yang sedih akan menjadi pendiam, kurang bertenaga dan bersendirian. Pernyataan ini mengingatkan saya tentang hari peninggalan datuk saya. Tidak pernah saya nampak kesedihan yang begitu mendalam dalam diri ayah saya. Pada masa itu, ayah tidak bersuara sepanjang hari, rias mukanya nampak sangat penat.  Itulah kesedihan yang ditunjukkan apabila kehilangan orang tersayang dalam hidup.

Setahu saya, semua orang akan berasa marah apabila menghadapi perkara yang susah diatasi atau tidak disukai. Kemarahan dijelaskan sebagai sejenis respons psikofisiologi terhadap kesakitan, kesusahan atau rasa tergugat. Kemarahan boleh diekspresikan secara aktif atau pasif. Dalam emosi kemarahan yang aktif, orang yang marah itu akan melepaskan kemarahan secara lisan atau fizikal pada satu target. Sebagai contoh, rakan sekelas saya di tingkatan 6 dahulu bernama Randy. Dia merupakan seorang yang panas baran. Setiap kali dia berasa amat marah, dia akan melepaskan kemarahan pada benda-benda di sekitarnya seperti tumbuk papan hitam, papan kenyataan, pintu bilik darjah, serta mejanya. Cara melepaskan kemarahannya adalah secara fizikal dengan penyeksaan dirinya.

Apabila kemarahan adalah emosi yang pasif, ia akan ditunjukkan melalui kelakuan seperti diam merajuk, perangai "pasif-agresif", permusuhan dan ketegangan. Saya teringat tentang masa saya bekerja sebagai seorang guru tadika, di mana apabila sepasang kembar bergaduh, seorang akan suruh budak yang lain agar jangan berkawan dengan adiknya. Adik kembar itu pun memberitahu saya bahawa budak-budak lain tidak mahu berkawan dengannya, sambil menunjukkan mukanya yang merajuk.

Keempat-empat emosi negatif ini dapat dilihat dalam kehidupan harian kita. Kita mesti pandai mengawal emosi-emosi negatif ini agar tidak mudah terpengaruh dengan emosi-emosi ini yang akan menjadi penyakit mental sekiranya tidak diuruskan dengan cara yang betul. Kita haruslah luahkan kepada orang yang dipercayai.

No comments:

Post a Comment