Friday 13 August 2010

A133756 AMANINA LJ04

Pada sesi pembelajaran kali ini, saya telah mempelajari tentang struktur emosi negatif. Terdapat 4 komponen utama yang mewakili emosi negatif iaitu marah , sedih , takut dan malu. Berdasarkan input yang diberi, marah ialah respons perasaan terhadap kesengsaraan , kesakitan , ketegangan , dan juga ancaman. Marah mampu membawa kita bertindak menjadi lebih pasif atau agresif. Bagi diri saya, marah menjadikan saya lebih pasif. Saya akan mendiamkan diri dan bermasam muka dengan orang yang saya marah. Sedih pula ialah suatu perasaan yang menggambarkan kehilangan dan kekurangan. Sedih boleh memberi kesan kepada seseorang menjadi lebih pendiam , kurang bertenaga , dan mengasingkan dirinya daripada orang ramai kerana sedih ialah perasaan yang berlawanan dengan kegembiraan. Oleh itu, sedih boleh membawa ketegangan dalam kehidupan seseorang. Saya pernah membaca sebuah keratan akhbar yang berkisarkan tentang tindakan berani seorang gadis yang dalam ketegangan akibat tidak mampu menguruskan perasaan sedih beliau yang telah ditinggalkan kekasih hatinya. Gadis itu kemudiannya bertindak nekad untuk melompat turun dari bangunan Puduraya, Kuala Lumpur. Tindakan berani gadis berkenaan berjaya dihalang oleh pegawai bomba dan penyelamat. Jelas di sini dapat dilihat apabila kita tidak mampu menguruskan emosi negatif kita dengan baik, maka ianya mampu memberi impak yang buruk kepada diri kita sendiri. Selain itu, takut pula ialah perasaan kebimbangan tentang sesuatu. Perasaan takut ini kemungkinan boleh didapati melalui masa lampau bagi seseorang yang pernah menghadapi kejadian trauma. Sebagai contoh, ketika saya masih kecil, seekor lipas telah memasuki baju saya dan merayap-rayap di seluruh badan saya. Disebabkan kejadian yang tidak diiingini tersebut, saya mulai takut apabila berdepan dengan lipas. Beralih kepada komponen terakhir iaitu malu. Malu ialah suatu perasaan yang tidak menyenangkan ketika bertindak secara sosial atau profesional yang tidak mampu diterima oleh sesuatu keadaan atau didedahkan dan disaksikan oleh orang lain. Seseorang yang malu boleh dlilihat melalui perubahan air mukanya yang mula kemerah-merahan, tersipu-sipu, gugup, tergagap-gagap, gelisah dan juga berpeluh-peluh. Kita ambil contoh seseorang yang tidak biasa bercakap di hadapan khalayak ramai. Sebelum memulakan ucapan atau persembahan, beliau akan mula merasa gugup, berpeluh-peluh dan gelisah. Ketika meneruskan ucapan atau persembahan, beliau mula tergagap-gagap dan air mukanya mula berubah menjadi kemerah-merahan. Dalam keadaan tidak sedar, beliau sebenarnya mengalami perasaan malu. Sejujurnya, saya juga pernah mengalami perasaan yang sama ketika pertama kali membentangkan tugasan saya di sekolah dahulu. Pada pendapat saya, semua orang pernah mengalami keadaan dan perasaan ini cuma cara menguruskannya membuatkan kita berbeza antara satu sama lain. Kadangkala, senyum atau ketawa dengan kuat juga sedikit sebanyak mampu menutup perasaan malu kita. Jadi, jikalau anda terlihat seseorang senyum atau ketawa dengan kuat, tidak semestinya dia berasa gembira atau seronok, kemungkinan juga dia berasa malu.#
   
                                         Anda marah?

              La Tahzan..Janganlah bersedih...

                                  Arghh..takut!!

                             Malu ke?

No comments:

Post a Comment