Saturday 28 August 2010

A128283 HAFIZAH ABDULLAH LJ06

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang membaca jurnal saya pada minggu ini…

Sebelum memulakan bicara, ingin saya mengatakan bahawa kuliah kita pada minggu ini sangat ringkas tetapi isi kandungan yang tersirat dalam kuliah ini amat sukar saya fahami. Mungkin ada segelintir kawan-kawan yang menghadapi masalah yang sama dengan saya dan mungkin ada sesetengah daripada isi kelas boleh faham dengan jelas mengenai hal yang dibicarakan oleh pensyarah kita yang sudah bertungkus-lumus untuk memberikan penerangan kepada kita semua. Pada minggu ini, kita semua telah didedahkan mengenai teori yang berkaitan dengan Teori Asas Adaptasi dan Teori Solomon. Pada keseluruhannya, teori asas adaptasi ini telah membicarakan tentang konsep asas tindak balas apabila kita berada di dalam proses adaptasi. Manakala, Teori Solomon pula menceritakan tentang hasil ubah suaian daripada Teori Asas Adaptasi.

                Dalam Teori Asas Adaptasi, didapati bahawa asas adaptasi seseorang ialah ketika berada pada tahap neutral di mana ia berfungsi berkaitan dengan situasi rangsangan yang spesifik. Secara automatic, kita akan memastikan kedudukan titik neutral atau adaptasi bagi setiap jenis rangsangan. Penilaian situasi pula menyumbang kepada pengalaman emosi kita. Penilaian kognitif kita pada sesuatu situasi menentukan kehebatan pengalaman emosi kita. Sebagai contoh, apabila kita mendengar bunyi yang wujud di sekeliling kita, sama ada ia kuat atau lembut bunyinya, ia menandakan bahawa bunyi itu sebenarnya berada pada tahap asas adaptasi kita bergantung pada tahap kedalamannya. Jika didapati bahawa bunyi itu semakin tinggi atau semakin rendah pada suatu ketika, ia sebenarnya menandakan bahawa tahap adaptasi kita bertindak naik dan turun sewajarnya. Hasilnya, tahap adaptasi kita turun dan naik seadanya. Jika kita sedang berbahagia sekarang, dengan pendapatan yang bagus, dengan kelulusan yang bagus, serta kesihatan yang baik, kita tidak akan berpuas hati dengannya sehinggalah semua ini akan bertambah baik lagi dalam masa seterusnya. Tahap adaptasi kita sebenarnya sentiasa berada pada tahap yang neutral dan kebiasaanya, apabila tahap adaptasi ini berada pada tahap atas daripada tahap neutral ini, barulah kita akan berasa bahagia dan gembira. Kesimpulan bagi teori ini ialah, manusia hanya akan berpuas hati dengan hidupnya apabila berada pada tahap yang benar-benar tinggi hingga dapat memberi erti kepuasan yang sebenar pada diri mereka.

                Namun demikian, dapat dikatakan bahawa Teori Solomon ini mempunyai tentangan terhadap Teori Asas Adaptasi. Hal ini kerana, teori ini adalah hasil ubah suai daripada Teori Asas Adaptasi yang membicarakan mengenai model fisiologikal yang disunting oleh Richard Solomonin pada tahun 1980 berikutan dengan kisah tingkah laku yang menagihkan. Dalam teori ini, dikatakan bahawa keseimbangan emosi ke arah tahap neutral bukan sahaja berlaku pada jangka masa yang lama, bahkan ia turut berlaku dalam jangka masa yang singkat. Setiap emosi akan menyebabkan emosi yang bertentangan untuk berlaku. Ini menegaskan bahawa emosi itu berpasangan, dan apabila satu emosi itu berpasangan, maka, yang lain itu adalah emosi yang telah ditewaskan. Secara ringkasnya, penerangan bagi keadaan emosi ini ialah, suatu perasaan itu pada awalnya mencungkil tahap asas emosi, kemudiannya, tahap asas ini akan bertukar dan mencetuskan keadaan yang bertentangan. Sebagai contoh, pada awalnya, seseorang itu akan berasa bagus dan gembira kerana telah memenangi hadiah yang berupa wang yang lumayan dalam sesebuah pertandingan, namun demikian, perasaan yang positif itu akan berubah menjadi negative iaitu sebuah penyesalan kerana dia mendapati bahawa duit itu dapat dihabiskan dalam sekelip mata sahaja.

Oleh yang demikian, kedua-dua teori ini telah menerangkan sejauh mana kita dapat mengadaptasikan emosi kita dalam kehidupan seharian kita. Kita akan berasa gembira apabila hati kita berada dalam keadaan yang menyenangkan dan kita akan berasa sedih apabila sesuatu perkara yang dapat meruntun jiwa kita menghampiri jiwa kita. Sebagai manusia, kita seharusnya dapat menghadapi kesenangan dan kesusahan dengan hati yang ikhlas kerana kita memang telah ditakdirkan untuk menghadapi arus kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran. Sekian sahaja dari saya.

Sekian, terima kasih. End#


No comments:

Post a Comment