Friday 30 July 2010

A132245, nur hasshimaa, LJ02


Dalam pembelajaran kursus Pengurusan Emosi minggu ini, saya telah didedahkan kepada sesuatu yang lebih menjurus kepada teori-teori dan kajian emosi yang telah dijalankan oleh beberapa orang pakar. Antara teori-teori tersebut adalah Darwin's Basic Theory of Emotion, Plutchik's Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory, Izard's Innate Facial Expression dan Learning And ExperienceTheory. 

Menerusi Teori Emosi Asas Darwin ( Darwin's BTE ), beliau telah menyatakan bahawa emosi terdiri daripada emosi asas ( primary emotion ) yang membawa maksud cirri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam merentas semua bangsa dan budaya. Contohnya, wajah yang sedang tersenyum merupakan mimik wajah yang paling mudah dikenali dan ditafsirkan. Di dalam buku 'The Expression Of The Emotion In Man And Animal', ekspresi  wajah melambangkan emosi kerana itu bahagian yang senang dilihat, bukannya organ lain. Sebagai contoh, apabila kita melihat wajah seseorang dengan wajah yang masam, dahi berkerut, menundukkan wajah disusuli dengan 'posture' tubuh yang serba tidak kena, kita akan mengetahui  bahawa sesuatu sedang menggangu fikirannya,  atau berada dalam keresahan.

Manakala menurut Teori Emosi Primari Plutchik ( Plutchik's PET ), terdapat tiga komponen penting iaitu bahasa emosi, dasar reaksi adaptif dan dimensi sesuatu emosi. Bahasa emosi digambarkan melalui bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Sebagai contoh, jika seseorang berada dalam kesedihan, perasaan itu mampu membuatkan seseorang menitiskan air mata. Perasaan sedih itu merupakan bahasa subjektif dan menangis itu ialah bahasa tingkahlaku. Bahasa fungsian ialah fungsi emosi tersebut terhadap seseorang seperti bersedih kerana mengingati seseorang yang telah tiada. Komponen kedua adalah reaksi adaptif yang terdiri daripada 8 reaksi seperti takut, meluat, gembira, terima, marah, terperanjat, sedih dan rasa ingin tahu. kesemua ini dianggap prototaip kepada semua emosi. Selain itu, ia turut menyatakan tentang 4 pasangan emosi yang bertentangan seperti penerimaan vs penolakan, perlindungan vs pemusnahan, penyatuan vs peleraian, dan orientasi vs eksplorasi. Manakala dari sudut dimensi emosi pula menerangkan tentang  3 perkara yang penting iaitu intensiti yang merujuk kepada darjah kekuatan sesuatu emosi, kesamaan pula memberi perkaitan emosi bekenaan seperti takut dan sedih, manakala polariti menerangkan kekutuban atau yang bertentangan.

Teori seterusnya adalah  Teori Rias Muka Tomkin (Tomkin's FFT ) yang telah membuat kajian apakah perbezaan dalam melakukan riak wajah sesuatu perasaan tanpa mengalami perasaan tersebut dengan melakukan riak wajah yang seiring dengan perasaan yang dialaminya ketika itu. Ternyata, membuat riak wajah ketika kita sedang mengalami sesuatu perasaan itu adalah lebih senang berbanding ketika tidak merasainya. Terdapat juga beberapa kritikan dalam teori ini seperti tidak semua senyuman itu menggambarkan perasaan gembira kerana senyuman boleh dijadikan sebagai bahasa komunikasi serta terdapat juga orang yang mampu menyembunyikan perasaan sebenarnya dengan senyuman.

Teori keempat adalah Ekspresi muka semula jadi Izard (Izard's Innate Facial Expression). ia menerangkan bahawa emosi adalah semula jadi dan proses pembelajaran dan pengalaman hanyalah menyumbang kepada pengaruh yang sedikit terhadap penunjukkan emosi tersebut.  teori ini disokong oleh Ekman yang telah mengkaji di lima buah negara dan mendapati terdapat keseragaman dari segi emosi dan riak wajah yang diekspresikan.

Seterusnya ialah Teori Pembelajaran dan Pengalaman (Learning & Experience Theories) yang boleh diterangkan melalui 2 pandangan iaitu pandangan biologi dan teori pembelajaran. Pandangan biologi menerangkan bahawa individu didedahkan dengan persekitaran tertentu yang melahirkan emosi. Maka, setiap individu melalui proses kognitif yang berbeza dan emosi ini lahir secara semula jadi. Dari sudut pembelajaran pula, emosi itu dipelajari sendiri oleh seseorang kerana ia terdorong oleh emosi masing-masing seperti perasaan takut terhadap sesuatu kerana terdapat perkara yang berlaku dalam hidupnya dan mengakibatkan fobia. Seperti takut kepada ketinggian, darah dan sebagainya.

Kesimpulannya, emosi boleh diekspresikan melalui riak wajah namun tidak semua riak wajah menggambarkan emosi yang sedang dihadapi. Tambahan lagi, terdapat pelbagai cara dalam mengeksperikan perasaan dan senyuman merupakan salah satu ekspresi yang sedang ditafsir disamping menjadi alat komunikasi dengan individu lain. Maka, senyum lah sentiasa sesungguhnya senyum itu adalah sedekah. :)

No comments:

Post a Comment