Thursday 19 August 2010

A133500 Ng Sin Mun LJ05

Semalam saya telah menghadiri kuliah ke-5 Pengurusan Emosi yang bertajuk "Teori Fisiologikal, Kognitif dan Psikoanalitik". Walaupun kami telah mengetahui jenis-jenis emosi dan teori perkembangan emosi itu, kami masih tidak memahami perhubungan antara minda dengan emosi atau turutan kejadian daripada rangsangan hingga kepada pencetusan emosi. Dalam kuliah ini, kami memahami teori-teori yang dikemukakan oleh para pakar mengenai bagaimanakah emosi itu tercetus dan bagaimanakah pencetusan emosi itu begitu spesifik.

Kebanyakan orang menganggap bahawa emosi tercetus selepas dirangsang sesuatu keadaan dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku kita, iaitu dipanggil sebagai 'common sense theory'. Namun begitu, mereka jarang memberi penekanan terhadap peranan minda dan sistem tubuh badan kita dalam pengalaman sesuatu emosi. Justeru, teori fisiologikal muncul dan menekankan peranan minda dan sistem saraf dalam pengalaman sesuatu emosi.

Teori James-Lange telah mengubah turutan dalam 'common sense theory'. Menurut teori ini, selepas dirangsang sesuatu stimulus, reaksi tubuh badan mendahului pengalaman emosi kita. Contohnya, apabila tapak kaki kita terpijak paku, kami akan mengangkat kaki dengan segera sebelum berasa derita disebabkan kesakitan itu. Akan tetapi teori ini bercanggah dengan teori Cannon-Bard yang berpendapat bahawa tindak balas tubuh badan terlalu lambat untuk mencetus emosi sedangkan emosi itu biasanya dialami dengan kadar segera, dan manusia masih beremosi sungguhpun sistem sarafnya tidak berfungsi. Teori Cannon-Bard mencadangkan bahawa reaksi tubuh badan berlaku selepas pengalaman emosi, manakala rangsangan luaran dan dalaman mempengaruhi sistem saraf dan minda sebelum mencetus emosi itu.

Oleh itu, turutan kejadian pengalaman emosi untuk teori James-Lange dan teori Cannon-Bard adalah seperti berikut:-
James-Lange: Situasi - Reaksi Tubuh - Pengalaman Emosi
Cannon-Bard: Situasi - Sistem Saraf - Minda - Pengalaman Emosi -Persepsi/Pandangan terhadap Emosi - Reaksi Tubuh

Teori Kognitif pula mencadangkan bahawa minda kita berperanan utama dalam menjana dan memandu emosi kita. Minda kita berperanan menilai dan melabelkan emosi kita melalui proses kognitif dan seterusnya menjana emosi yang berkaitan. Menurut Schacter, selepas tubuh kita bertindak balas terhadap rangsangan, minda kita menafsir reaksi fisiologikal kita berasaskan tanda dan pengalaman lepas sebelum memberikan tanggapan terhadap situasi tersebut. Perasaan itu dimanakan dan oleh itu tercetuslah emosi. Turutan kejadian penjanaan emosi itu adalah seperti berikut: Situasi - Reaksi Tubuh dan Penilaian Kognitif - Emosi.

Namun, minda kita adalah amat subjektif. Kita menganalisis sesuatu situasi hanya berdasarkan fikiran kita sendiri. Oleh itu, salah anggap terhadap sesuatu emosi mungkin berlaku apabila kita salah menilai sesuatu emosi atau punca emosi itu. Misalnya, Ali bercakap kepada Ahmad dengan nada yang kasar dan tercungap-cungap. Ahmad itu mungkin menganggap Ali berbuat begitu kerana Ali berasa marah, sedangkan perbuatan Ali itu mungkin kerana Ali baru habis bersenam. Juga terdapat perpindahan emosi dari sesuatu situasi kepada situasi yang lain, dan situasi kedua itu biasanya tidak berkaitan dengan emosi yang dialami. Lazarus telah mencadangkan komponen emosi iaitu pengalaman emosi dan tingkah laku penyelesaian. Tingkah laku yang ditunjukkan semasa pengalaman emosi itu sebenarnya adalah untuk menangani emosi tersebut supaya tidak keterlaluan.

Turutan pengalaman emosi mengikut cadangan Lazarus adalah:

1/Penilaian kognitif primer - Apakah akibat emosi ini? (Contohnya, tindakan agresif terhadap benda atau orang lain);
2/Penilaian kognitif sekunder - Adakah cara-cara saya mengatasi emosi ini?;
3/Desakan tindakan - Desakan minda supaya tindakan dilakukan;
4/Reaksi somatik bercorak - Tingkah laku yang dibuat;
5/Proses menenteramkan diri
6/Tindakan langsung untuk mengatasi emosi

Langkah 3 dan 4 merupakan tindakan fisiologikal; manakala langkah 5 dan 6 adalah tidak sama dengan langkah 3 dan 4 serta merupakan proses mengatasi keadaan emosi melalui pemikiran dan tingkah laku.

Teori Penilaian Kognitif Arnold pula mencadangkan bahawa penilaian boleh dibuat secara serta-merta apabila situasi itu ada kaitan dengan kita. Dalam keadaan ini, emosi dan tingkah laku yang timbul adalah dipandu jangkaan dan berdasarkan pengalaman lepas. Sebagai contoh, seseorang yang pernah terkurung dalam lif atau bilik yang tertutup akan mengalami klaustrofobia, iaitu ketakutan terhadap ruang tertutup. Dia akan secara serta-merta berasa takut apabila memasuki lif atau bilik yang ditutup pintunya kerana mengenangkan pengalaman lepas yang mengerikan itu. Proses ini melibatkan sistem saraf iaitu bahagian-bahagian otak kita yang bertanggungjawab menguruskan komponen yang berkaitan.

Teori Psikoanalitik lebih menekankan kepada emosi-emosi negatif terutamanya kebimbangan (anxiety) dan kemarahan. Ia juga tidak sama dengan teori-teori lain yang menekankan peranan minda sedar kerana mengikut teori ini, minda tidak sedarlah sebenarnya yang memandu pengalaman emosi kita. Antara penyokong teori ini adalah Sigmund Freud yang juga mengasaskan teori terhadap minda-minda kita yang berlainan, iaitu minda sedar, minda bawah sedar dan minda tidak sedar. Menurutnya, minda tidak sedar merangkumi pengalaman masa lampau yang telah dilupai tetapi menjadi sumber kuat dalam pencetusan emosi dan apabila dibangkitkan akan menyebabkan kesakitan dan kederitaan.

No comments:

Post a Comment